Pelakon Indonesia enggan dilabel 'Ratu Seram'

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon Indonesia enggan dilabel 'Ratu Seram'

Pelakon filem 'KKN Di Desa Penari', Aulia Sarah ingin teroka peranan lain
Jan 10, 2023 | 5:30 AM

Pelakon Indonesia enggan dilabel 'Ratu Seram'

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
ULAR JADI TEMAN: Aulia Sarah perlu membiasakan dirinya dengan ular, gerak tari dan dialek Jawa bagi membawakan watak Badarawuhi dalam filem 'KKN Di Desa Penari: Luwih Dowo, Luwih Madeni'. - Foto BH oleh KHALID BABA
ULAR JADI TEMAN: Aulia Sarah perlu membiasakan dirinya dengan ular, gerak tari dan dialek Jawa bagi membawakan watak Badarawuhi dalam filem 'KKN Di Desa Penari: Luwih Dowo, Luwih Madeni'. - Foto BH oleh KHALID BABA -

GERAK tangannya yang lembut ketika menari diatur penuh rapi dengan iringan irama mistik yang membuat bulu roma penonton berdiri.

Di sebalik kecantikan wajah ratu desa penari yang sebenarnya makhluk ghaib bernama Badarawuhi ini, ada sesuatu tentang dunia misterinya yang sering ditemani ular disorok daripada pengetahuan ramai.

Melihat Badarawuhi dalam filem seram KKN Di Desa Penari: Luwih Dowo, Luwih Medeni ini, langsung teringatkan filem seram silam yang dibintangi Suzzanna Martha Frederika seperti Bangunnya Nyi Roro Kidul, Malam Satu Suro dan Perkahwinan Nyi Blorong.

Hantunya mewujudkan aura seram tetapi berwajah cantik.

Apabila bertemu dengan pemegang watak Badarawuhi iaitu pelakon Indonesia, Aulia Sarah, 31 tahun, di pawagam GV Vivo City kelmarin, sememangnya bintang ini lemah lembut dan anggun.

Aulia hadir bersama tiga pelakon KKN Di Desa Penari: Luwih Dowo, Luwih Medeni, Tissa Biani, Calvin Jeremy dan M Fajar Nugraha bagi mempromosikan filem berkenaan di Singapura.

Filem kali ini menambah babak tambahan sebanyak 40 minit pada filem asal KKN Di Desa Penari yang ditayangkan tahun lalu dan mendapat sambutan hangat di Nusantara ini.

Ia turut menyisipkan adegan prolog filem Sewu Dino di tengah-tengah kredit filem sebagai tarikan.

Pada awal tahun ini, laman CNN Indonesia melaporkan filem terbitan MD Pictures dan diedarkan ke Singapura dan Malaysia oleh Antenna Entertainments ini ditonton lebih 10 juta orang dan menjadikannya filem paling laris Indonesia dalam sejarah.

Filem ini bersandarkan kisah sebenar yang tular menerusi Twitter pengguna akaun SimpleMan.

Nama watak-watak dan desa diubah untuk kegunaan filem ini dengan beberapa pelakon bertemu dengan orang sebenar yang mengalaminya sebagai bahan kajian.

Aulia yang bermula dalam dunia hiburan sebagai model keturunan Jawa dan Sunda serta merupakan finalis peraduan ratu cantik Gadis Sampul 2005, menyifatkan penglibatannya dalam filem seram ini sebagai memberi impak pada kerjaya seninya.

Katanya yang mula berlakon dalam filem Kawin Kontrak dan sinetron Pernah Muda pada 2008:

"Badarawuhi ini bukan manusia. Ia adalah sosok makhluk ghaib yang menjaga penghuni hutan serta desa. Justeru ia begitu peka akan tetamu yang datang ke situ, siapakah mereka. Salah seorang pelajar yang datang berkunjung untuk projek kemasyarakatan ini, Widya menjadi sasarannya.

"Tetapi kerana perkara terlarang dilakukan dua pelajar lain iaitu Bima dan Ayu, maka Badarawuhi ini memanipulasikan situasi sehingga mengorbankan dua orang ini yang awalnya bukan yang dia inginkan."

Menurut Aulia, cabaran dihadapinya untuk menggalas peranan ini kerana ia merupakan filem seram pertama yang dijayakan.

"Dari segi cabaran, saya payah menggali watak ini atau membuat kajian di YouTube atau keadaan sekeliling sebab Badarawuhi ini bukan manusia. Bagaimana harus saya menjiwainya? Awalnya, besar betul bebanan yang saya rasakan.

"Tidak pasti ke mana harus saya bawa watak ini pergi. Kebetulan, sebelum memulakan penggambaran, saya harus melalui latihan menari dan proses membaca skrip bersama pelakon lain.

"Saya harus pandai menari dan bermain ular. Saya tidak takut dan anggap ia biasa sahaja. Cuma sebab bukan setiap hari kita temui ular, jadi tetap ada jurang komunikasi dan kedekatan dengan haiwan ini," tambahnya.

Aulia juga akur semua pelakon generasi muda juga tidak biasa bertutur dalam dialek Jawa, sesuatu yang diperlukan bagi filem ini.

"Selain masalah bahasa, saya juga harus biasakan memakai satu kostum sahaja yang digunakan Badarawuhi dari awal hingga penghujung filem. Kostum saya benar-benar melambangkan tradisi Indonesia. Naik sesak dibuatnya sebab pakaiannya ketat juga dan tiada peluang bersalin pakaian lain," jelasnya.

Ditanya adakah perkara yang ingin diubah pada watak yang dimainkannya jika diberi kesempatan, Aulia tertawa seraya berkata:

"Tiada ciri yang baik pada Badarawuhi ini. Dia watak antagonis. Jadi semua yang dilakukannya jahat.

"Sememangnya kalau ikut naluri kemanusiaan saya, saya ingin sahaja melihat Badarawuhi ini memaafkan Ayu dan Bima di atas kesalahan mereka tidak mengikut adat desa ini. Jangan sampai dua anak muda ini dikorbankan. Kasihan.

"Tapi kalau Badarawuhi jenis yang pemaaf dan Ayu serta Bima tidak meninggal dalam filem ini, bosan pula ya jalan ceritanya?"

Kemungkinan juga peranan Badarawuhi ini cukup berkesan di mata karyawan filem sehingga Aulia ditawarkan satu lagi watak seram yang menurutnya lebih menggerunkan dalam filem Waktu Maghrib yang akan menemui penonton di pawagam bulan depan.

"Watak hantu kali ini lebih menyeramkan dari segi penampilan dan mimik mukanya. Dia bertudung," ujarnya.

Waktu Maghrib arahan Sidharta Tata ini mengupas kepercayaan tentang waktu Maghrib yang sudah lama dipegang umat Islam di Nusantara.

Seorang ayah yang khuatir mengingatkan anaknya agar segera pulang selesai ibadah di masjid. Di tengah jalan, gadis ini melihat perempuan berbaju putih lusuh yang sangat mengerikan.

Apakah Aulia bimbang diberi label 'Ratu Seram' seandainya pihak penerbitan kerap memberikannya watak hantu selepas ini?

Katanya yang bakal menamatkan zaman bujang bersama kekasihnya Aditya Randra beberapa bulan lagi:

"Sebenarnya, saya agak takut juga kalau ramai melabel saya sebagai pelakon yang hanya mampu jadi hantu atau berlakon dalam genre seram sahaja.

"Pastinya, saya akan berhati-hati dalam memilih filem selanjutnya. Kalau pun diberi filem seram sekali lagi, pastinya ia memerlukan saya menggalas cabaran lebih besar atau wataknya mengasah kemahiran lakonan saya."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg