Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon Iskandar Shah sahut cabaran 'jadi jahat'

Hero drama 'Mr Ballerino' lebih teruja hidupkan watak licik daripada jadi wira
Aug 6, 2021 | 5:30 AM
TERUJA KEMBARA MASA: Antara perkara yang Iskandar Shah senangi membawa watak Nizam, jejaka era 1970-an adalah pakaian 'retro' yang diberikan kepadanya, diperolehi daripada kedai jimat-cermat barangan lama. - Foto MEDIACORP SURIA
TERUJA KEMBARA MASA: Antara perkara yang Iskandar Shah senangi membawa watak Nizam, jejaka era 1970-an adalah pakaian 'retro' yang diberikan kepadanya, diperolehi daripada kedai jimat-cermat barangan lama. - Foto MEDIACORP SURIA -

JIKA peranan 'Abang Sado' atau wira baik hati menjadi idaman sebilangan pelakon lelaki yang baru membina nama dalam persada seni, berbeza pula dengan pelakon dan pengacara Swap Kerja, Iskandar Shah.

Beliau menantikan cabaran dalam setiap watak yang digalas maka menjadi pelakon antagonis dengan kejahatan yang terselindung di sebalik senyuman manis menjadi idaman.

Ini dikongsi Iskandar, 28 tahun, dalam satu sesi Zoom, yang antara lain membincangkan tentang watak jahat Nizam yang dibawakannya dalam siri drama kembara masa Suria dan meWATCH, Krono.

Alumni Anugerah Skrin 2016 ini turut berkongsi tentang titik tolak diberi watak lelaki kaki pukul, mulut manis tetapi berniat jahat dalam telefilem khas Hari Raya Haji tahun lalu, Di Akhir Garisan.

Soalan (S): Ceritakan peranan anda sebagai Nizam dalam 'Krono'.

Iskandar: Kejahatan Nizam tidak menyerlah. Dia ibarat ular yang kelicikan dan kejahatannya hanya mampu dikesan pada episod 10 dan selanjutnya. Mungkin pada episod 7, orang dah boleh nampak niat jahat yang cuba disembunyikan.

Sewaktu Nizam masih muda dan belajar di London, watak negatifnya tidak begitu kelihatan. Dia masih sekolah pada tahun 1970-an, jadi tak ketara peranan antagonisnya.

Hanya apabila dia sudah lebih dewasa, di mana peranan itu dimainkan oleh Sahfuddin Mahfudz, barulah kegelapan wataknya mula dibongkar dan kelihatan.

Kerana Krono drama jenayah kembara masa, maka pastikan anda tahu ada dua Nizam pada era 1970-an... saya dan watak yang dimainkan Abang Sahfuddin.

S: Bagaimana Iskandar sesuaikan diri dengan watak antagonis?

Iskandar: Apabila saya mulakan kerjaya lakonan saya selepas tamat Anugerah Skrin, saya biasanya main watak budak-budak baik.

Namun, saya bersyukur diberi pihak penerbitan watak antagonis yang bergandingan dengan Suhaillah Salam dalam Di Akhir Garisan.

Mak saya sebenarnya tak sukakan watak suami muda yang jahat tu. Mak suka tengok saya dalam Mr Ballerino, jadi budak baik-baik. Dia tak suka kalau saya memukul orang atau dipukul orang.

Namun, sebagai anak seni yang gemar meneroka, saya sukakan watak yang berwarna-warni daripada setakat jadi 'Abang Sado' atau watak utama yang nampak baik dan lurus bendul sahaja.

Kalau main watak baik selalu, ia menjadi terlalu membosankan pula. Maka, saya mahukan cabaran watak yang membolehkan saya meneroka emosi berbeza.

Saya sendiri terperanjat... macam biar betul apabila saya ditawarkan watak antagonis dalam Krono.

Cuma kerana ia merupakan percubaan pertama saya menghidupkan watak antagonis seperti 'ular' ini... yang tak begitu nampak kejahatannya dan ia terselindung, maka saya melakonkannya secara selamat.

Sampaikan pihak penerbitan seperti Hakimi dan Tawfik Daud, serta pengarah Faisal Ishak minta saya berikan segalanya dan tidak perlu takut sebab ini peluang keemasan menghidupkan watak jahat.

Saya bukan dari keluarga seni dan tiada pula pendidikan formal dalam bidang teater. Banyak yang perlu saya tinjau untuk hidupkan watak yang kejahatannya terbenam, tetapi dalam baik, dia sebenarnya mempunyai niat tidak baik terhadap orang lain.

Dengan bantuan pelakon lain seperti Erwin Shah Dawson, Raimi Safari dan pelakon veteran, Azhar Nor Lesta, yang mampu memberi saya ruang memberi tindak balas pada lakonan mereka, saya usahakan hidupkan watak antagonis ini semampu yang boleh.

S: Bagaimana pengalaman berlakon dengan Suhaillah sebelum ini?

Iskandar: Suhaillah adalah rakan gandingan yang berusaha membina keserasian dengan sesiapa sahaja yang berlakon dengannya.

Dia ibarat menyalakan api dalam diri kita untuk berikan reaksi yang menghidupkan sesebuah adegan.

Jarak usia kami memang berbeza tetapi Suhaillah berjiwa muda dan pelakon yang hebat, menjadikan pengalaman berlakon sebagai suami mudanya yang kaki pukul itu mudah untuk diharungi.

Pada babak terakhir, Suhaillah beritahu saya yang masih teragak-agak agar buat apa sahaja, baik tampar, tendang atau menumbuknya untuk nampakkan watak orang yang memang gila dan tak berihsan terhadap isterinya.

Alhamdulillah, Di Akhir Garisan mendapat respons yang baik daripada ramai.

S: Bagaimana ibu Iskandar membantu?

Iskandar: Saya jenis yang takkan mudah berpuas hati dengan lakonan saya walaupun orang luar akan kata mereka rasakan watak saya hidup.

Saya akan beritahu ibu saya kalau saya rasa ada kekurangan pada lakonan saya. Beliau akan beri pandangan jujurnya.

S: Bagaimana pengalaman bekerjasama dengan Azhar?

Iskandar: Saya kenali Abang Azhar dari zaman saya jadi kru belakang tabir menyiapkan set pencahayaan lagi.

Dari dahulu dengan sekarang, beliau suka beri nasihat dan memang tegas. Malah, beliau yang pastikan lenggok bahasa kami pada konteks latar set tahun 1970-an selari dengan era tersebut. Kadangkala 'terlari' juga, jadi macam bahasa moden.

S: Apakah yang sedang Iskandar jayakan kini?

Iskandar: Dengan rambut ala K-Pop saya kini, saya memainkan watak seorang warga Malaysia dalam Identiti, siaran drama buat meWATCH juga.

Saya bergandingan dengan Norman Ishak. Norman mainkan watak pemuda yang ingin jadi pelakon tetapi kebanyakan orang tidak menyukainya kecuali watak saya.

Tapi dalam baik, identiti saya dicurinya dalam drama yang bermain dengan minda dan aspek fantasi cereka sains.

Bagi saya, Identiti ini menarik kerana kita dapat cungkil bakat lakonan baru seperti finalis Anugerah 2021, Raliff Ismail dan pelakon muda Iskandar Mazlan yang berdarah seni.

S: Apakah yang anda rindukan dalam tempoh pandemik ini?

Iskandar: Meneruskan amanah sebagai pengacara Swap Kerja. Kerana sekatan kembara, rancangan ini tertunda.

Saya pula memang suka mengembara ke tempat yang bukan menjadi kunjungan pelancong biasa. Saya sukakan suasana di gunung Himalaya, tujuh hari tak mandi pun tak apa.

Saya masih ingat ketika sampai di hotel di sana, saya berdepan dengan keadaan air warna coklat bertakung di tandas. Semuanya kerana ribut pasir yang melanda.

Ia mengajar kita erti kesyukuran di Singapura. Keadaan tidak mewah di sana. Cuacanya sangat sejuk malah pada musim panas suhunya 7 darjah Celsius manakala pada waktu malam, boleh turun sampai -5 darjah Celsius.

Saya menjalani penggambaran sewaktu bulan puasa. Saya jangkakan wabak Covid-19 ini akan berlarutan lama. Tak tahulah apabila semuanya reda, masihkah saya ditawarkan peluang mengacara bagi Swap Kerja?

  1. 'Krono' disiarkan di Suria pada 10.30 malam setiap Khamis. Ia juga boleh ditonton di aplikasi meWATCH.

"...sebagai anak seni yang gemar meneroka, saya sukakan watak yang berwarna-warni daripada setakat jadi 'Abang Sado' atau watak utama yang nampak baik dan lurus bendul sahaja.

Kalau main watak baik selalu, ia menjadi terlalu membosankan pula. Maka, saya mahukan cabaran watak yang membolehkan saya meneroka emosi berbeza." - Pelakon Iskandar Shah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg