Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelakon Johan As'ari pilih usahawan mangga kelulusan PhD sebagai bakal isteri
Pelakon Johan As'ari pilih usahawan mangga kelulusan PhD sebagai bakal isteri
Pelakon Johan As'ari pilih usahawan mangga kelulusan PhD sebagai bakal isteri
KUALA LUMPUR: Pelakon Johan As'ari, 37 tahun, mendedahkan bakal mengahwini seorang wanita yang juga usahawan mangga harum manis di Perlis dan berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik dari sebuah universiti di London, United Kingdom (UK).
Kata Johan, beliau sudah mengenali dan menjalin hubungan jarak jauh dengan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai 'N' itu sejak lima tahun lalu.
Malah, pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu berkata, persiapan menuju perkahwinan sudah 90 peratus selesai, namun memilih merahsiakan tarikhnya buat sementara waktu.
"Saya bersyukur sekiranya Allah memudahkan jalan untuk kami melangsungkan perkahwinan. Harapan saya, semoga apa yang dirancang menjadi kenyataan apabila tiba masanya.
"Boleh dikatakan persiapan perkahwinan hampir 90 peratus selesai. Cuma, tarikh tidak boleh dihebahkan, takut tidak jadi pula nanti.
"Bagaimanapun, perbincangan bersama keluarga dan pasangan sudah dilakukan dan ada yang mahu taja baju perkahwinan. Jadi, perjalanan menuju perkahwinan sudah nampak," katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada malam gala filem Tujuh Dua Belas di Starling Mall, baru-baru ini.
Ditanya mengenai keperibadian 'N' yang berjaya menambat hatinya, Johan berkata, wanita itu lebih berusia dan seorang yang sentiasa memberi sokongan kepadanya dalam apa sahaja yang dilakukan.
"Dia suka beri saya semangat, sokongan dan kekuatan untuk melakukan apa sahaja yang saya mahu buat.
"Ada masa saya juga tidak bersemangat seperti buat 'live' di TikTok, dia pasti galakkan saya dengan memberi semangat.
"Ini termasuk penyertaan saya dalam pertandingan menyanyi pun disokong. Dia tak ajar saya dengan duit. Disebabkan itu, saya bertambah yakin dan bersemangat," katanya.
Mengulas penerimaan keluarga terhadap wanita berkenaan, Johan berkata, keputusannya itu mendapat maklum balas positif.
"Keluarga tiada masalah, malah mereka juga memberi galakan kepada saya. Keluarga saya juga sering bertanya kepada saya bila mahu mendirikan rumah tangga," kata Johan.
Terbaru, Johan menggalas watak penculik bernama Bentayan dalam filem pertama arahan Thorpe Ali berjudul Tujuh Dua Belas yang menemui penonton di pawagam minggu ini.
Filem Tujuh Dua Belas mengetengahkan kisah Safia lakonan Farali Khan yang mahu menyelamatkan anak saudaranya, Adam (Adam Darwish) selepas diculik sekumpulan penyeludup organ manusia.
Apa yang menarik, filem menelan belanja RM1.2 juta ($357,652) itu menampilkan pesilat kelahiran Indonesia yang popular di platform media sosial iaitu Chintya Chandranaya.
Penggambaran dilakukan pada Januari 2022 di beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur, selain Gopeng, Lenggong dan Pengkalan Hulu, Perak. - BHM ONLINE
