Pelakon filem ‘pecah panggung’ Indonesia, Ipar Adalah Maut, Michelle Ziudith, yang sudah berkecimpung dalam bidang lakonan selama 13 tahun sejak usianya muda remaja, memang sudah diberikan pelbagai peranan mencabar.
Bagaimanapun, Michelle, 29 tahun, mengakui beliau sering terbawa-bawa dengan watak yang digalas sehingga payah mengikis watak itu meskipun sudah tamat penggambaran.
Sebagaimana yang dijelaskan kepada laman web, Voi, rasa resah sering membelenggu jiwanya khususnya jika peranan yang dimainkan merupakan watak antagonis yang bercanggah dengan peribadinya yang sebenar.
“Kadangkala saya terlalu suka dengan cara watak itu berbual dan bergaya sehinggakan ia menjadi sebahagian daripada kehidupan saya.
“Tapi kalau watak itu watak jahat dan kasar, saya jadi marah dengan keperibadiannya. Keresahan, justeru itu, muncul,” katanya yang ditemui di Senayan, Jakarta Pusat.
Menurut Michelle yang mula berlakon pada usia 16 tahun, masalah yang dialami watak yang dijayakan mampu membuatnya marah atau menangis tanpa henti.
Kerana beliau suka meneroka sedalamnya sesuatu watak yang diserahkan kepadanya, sukar untuknya mengasingkan watak tersebut daripada dirinya di luar set penggambaran.
“Saya ni terlalu membebani fikiran dengan bermacam emosi. Kadangkala saya gementar apabila ditawarkan projek idaman saya.
“Macam-macam yang saya fikirkan sebelum masuk set penggambaran. Ia membahayakan diri saya juga kalau terlalu terbabit dengan watak yang dibawa,” tambahnya.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna beliau tidak berani menghidupkan watak mencabar yang tampak pelik atau tidak pernah dibayangkan kerana memaksanya keluar daripada zon selesa.
“Saya jenis yang mudah ‘terjun botol’ dan akan melakukan sesuatu mengikut desakan situasi sekeliling.
“Tiba-tiba saya akan buat sesuatu yang orang lain tidak dapat bayangkan.
“Saya seronok mencuba. Berikan apa sahaja watak, saya akan menerokanya sebaik mungkin,” kongsi Michelle, anak sulung dua beradik yang juga seorang penyanyi.
Bagi filem, Ipar Adalah Maut, beliau membawa peranan sebagai isteri (Nisa) yang dicurangi suami (Aris) yang berselingkuh dengan adik Nisa sendiri (Rani).
Michelle terlalu menjiwai sehinggakan terus menampar habis-habisan pelakon, Davina Karamoy, yang membawa watak Rani.
Beliau juga tidak dapat memandang wajah pelakon, Deva Mahenra, yang menghidupkan watak Aris kerana terlalu marah dan tidak senang dengan perilakunya yang menipu di sebalik luaran yang alim dan penyayang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg