POPULARITI yang diraih menerusi drama rantaian Melur Untuk Firdaus tanpa diduga membuka langkah bagi pelakon muda Malaysia, Meerqeen, untuk mengorak langkah di Indonesia.
Meerqeen memberitahu laman Utusan Online bahawa tawaran menjayakan drama dalam talian untuk Bank Rakyat Indonesia berjudul Modus Operandi menjadi titik tolak membina nama kukuh di negara jiran tersebut.
Beliau menambah drama itu bukan sahaja membuka langkah pertamanya ke sana, tetapi turut memberikan pengalaman baru untuknya terus meneroka peluang kerjasama dengan produksi lain di Indonesia.
"Sebelum ini, saya ke sana untuk bertemu peminat dan memenuhi pelbagai undangan rancangan televisyen. Rentetan daripada kunjungan pertama itu, lebih banyak rezeki yang mula terbuka untuk saya mencuba.
"Sebagai pelakon baru, saya gembira dengan tawaran yang datang. Mereka nampak sesuatu dalam diri saya dan ia merupakan penghormatan besar buat saya yang masih belum punya nama kukuh di sana," kata pelakon berusia 21 tahun ini.
Modus Operandi menjalani penggambaran selama seminggu di Jakarta dan turut dibintangi Krito Immanuel, Yusuf Mahardika, Diandra Agatha dan Maudy Effrosina.
Yang menariknya, Meerqeen diberikan peranan sebagai teraju utama dalam drama berkenaan dan gembira dapat bekerjasama dengan pengarah yang cukup berpengalaman, iaitu Makbul Mubarak.
"Memang saya teruja dan pada masa sama gemuruh untuk bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman. Ini merupakan penerbitan pertama saya di sana dan sedikit sebanyak ada perbezaan ketara, terutama dalam cara kerja.
"Tapi, saya gembira kerana mereka banyak membantu, terutama semasa proses prapenerbitan. Kami terlibat dalam sesi latihan bagi melicinkan proses seterusnya. Ini memang memberikan pengalaman berharga buat saya," tambahnya lagi.
Meerqeen juga bersyukur apabila turut dirisik beberapa syarikat penerbitan lain yang melihat potensi dirinya untuk terus menyerlah dalam bidang lakonan dan pengacaraan.
Tambahnya, beliau masih memikirkan tawaran yang diterima, namun tertarik dengan sebuah syarikat penerbitan yang berminat menggunakan khidmatnya sebagai pengacara untuk sebuah program televisyen.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan beberapa tawaran yang diterima. Kepercayaan yang diberikan ini membakar semangat saya untuk terus berusaha gigih dan membuktikan kehadiran dalam bidang seni bukan main-main," katanya lagi.
Modus Operandi telah ditayangkan sejak 4 November lalu menerusi saluran YouTube BRI (Bank Rakyat Indonesia).