Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon Niezam Zaidi bersama pengarah dan penolong pengarah mengaku bersalah miliki dadah

Oct 12, 2021 | 4:21 PM
Foto INSTAGRAM NIEZAM ZAIDI
Foto INSTAGRAM NIEZAM ZAIDI -

KUALA KANGSAR: Pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, bersama dua lagi individu yang merupakan pengarah filem dan penolongnya, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Selasa (12 Oktober), atas pertuduhan memiliki dadah pada Ahad lalu.

Muhamad Niezam, 28 tahun; pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 49 tahun; serta penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Menurut kertas pertuduhan, Muhamad Niezam didakwa memiliki 1.15 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, di sini, sekitar 7.15 pagi 10 Oktober lalu.

Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin pula masing-masing didakwa memiliki 0.3g dadah jenis kanabis serta 0.38g dadah jenis methamphetamin pada waktu, tarikh dan di lokasi sama dalam pertuduhan ke atas Muhamad Niezam.

Muhamad Niezam dan Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 ($6,504) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Saiful Zaidrin didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin.

Nur Syuhada memohon ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dikenakan masing-masing ke atas Muhamad Niezam serta Mohd Latiff; dan RM8,000 juga dengan seorang penjamin terhadap Saiful Zaidrin.

Namun, Intan Shafini memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan mengambil kira tanggungan ketiga-tiga tertuduh, selain kesemuanya turut hilang sumber pendapatan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM3,000 ke atas Muhamad Niezam, Mohd Latiff (RM2,600) dan Saiful Zaidrin (RM3,200) masing-masing dengan seorang penjamin.

Mohd Shazmeer juga menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk sebutan semula kes ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia.

Awal sebelum ini, pihak penerbitan sebuah telfilem tampil menyatakan mereka tidak terlibat dengan tangkapan pelakon mereka, Niezam dan pengarah serta penolong pengarah yang terbabit.

Ini kerana kesalahan yang dilakukan mereka bertiga adalah bersifat pribadi.

Syafiqa Zamri yang merupakan Penerbit Eksekutif Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd, memberitahu kepada media seberang, beliau mengakui penglibatan mereka. Rakaman drama di Kuala Kangsar sebenarnya sudah selesai Sabtu lalu dan mereka sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur untuk menyambung rakaman di sini. Hanya Niezam sahaja yang tidak terlibat lagi kerana sudah selesai penggambaran.

Bakat Niezam dalam bidang lakonan dikesan oleh penerbit filem dan bos Metrowealth Pictures, David Teo, yang yakin Niezam memiliki masa depan cerah dalam bidang lakonan.

Drama pertamanya adalah Diari Platun tentang kehidupan pasukan askar Wataniah yang disiarkan di Astro Prima. Dia kemudian tampil dalam filem pertama, Budak Pailang bersama pasangan suami isteri, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal.

Niezam juga pernah berlakon bersama dua pelakon asal Singapura, Atikah Suhaime dan Shenty Feliziana. Bersama Atikah, dia menjayakan drama Dewi Lasak dan filem dokumentari seram, Highland Tower.

Dia bergandingan dengan Shenty dalam filem Mat Moto arahan Ahmad Idham pada 2015. - Berita Harian Malaysia/Laman Beautiful Nara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg