Topic followed successfully
Go to BHkuPelakon remaja M'sia yang mula dengan iklan kian bina nama
Pelakon remaja M'sia yang mula dengan iklan kian bina nama
Shamsul Danish impikan watak mencabar yang uji emosi dan minda
Pelakon remaja M'sia yang mula dengan iklan kian bina nama
SEJAK usia empat atau lima tahun, pelakon remaja Malaysia, Shamsul Danish, sudah teruja merakam video dirinya dengan kamera komputer riba seakan-akan beliau adalah pelakon profesional.
Ketika meniti usia 14 tahun, Danish, menunjukkan bakatnya di Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) dengan keinginan membawa watak ganas samseng yang dihidupkan Datuk Adi Putra dalam filem KL Gangster.
Walaupun muka 'budak baik' yang dimilikinya dirasakan tidak kena dengan paparan wajah lelaki kasar berbahasa kesat yang ingin ditonjolkannya, bakat seni Danish menarik perhatian.
Kini, anak tunggal berusia 16 tahun itu dianggap sebagai antara bintang remaja berpotensi besar setelah membawa watak Mika, anak luar nikah wanita yang dirogol bapanya dalam filem saspens dan psiko-'thriller', Eva.
Namun sebelum menjejakkan kaki ke set penggambaran filem, Danish merupakan pelakon pelbagai iklan bermula dengan jenama Qu Puteh yang diusahakan usahawan sensasi Datuk Seri Vida. Antara iklan yang menampilkannya termasuk susu, ayam goreng Kentucky Fried Chicken (KFC) sempena musim Piala Dunia baru-baru ini, serta kereta mewah Audi.
Beliau yang ditemui Berita Harian di pawagam Cathay Cineleisure sempena promosi Eva baru-baru ini menjelaskan iklan merupakan pembuka rezeki dan jalan untuknya meneroka bidang seni yang dianggap cinta pertamanya.
Kata Danish yang ditemani ibunya, Sharifah Mudinah Alsaggoff:
"Iklan pertama saya adalah jenama minuman kecantikan Datuk Seri Vida, Qu Puteh.
"Selepas itu, mulalah saya dapat iklan lain sampai ke hari ini dari jenama susu, air minuman, KFC sampailah kereta Audi.
"Berlakon iklan lebih tekankan gaya dan penampilan. Kalau buat drama dan filem, kita perlu kaji watak lebih mendalam lagi."
Sepertimana ramai hero Malaysia lain seperti Datuk Hans Isaac, Datuk Eizlan Yusof, Remy Ishak, Azlee Khairi dan Azhar Sulaiman, menjayakan iklan membuka ruang buat mereka menembusi dan memperkukuh kehadiran dalam industri seni dan hiburan.
Sharifah Mudinah, yang menjadi pendorong buat anak tersayang, menambah:
"Danish sebenarnya pemalu dan pendiam orangnya. Tapi apabila dia dah selesa dengan seseorang, barulah dia mula mesra.
"Bakat seninya bagaimanapun saya sudah kesan sejak umur empat atau lima tahun. Dia akan buka 'laptop', ambil video dan sembang-sembang bersahaja macam pelakon atau pengacara televisyen.
"Dari situlah, saya tahu budak ini memang nak jadi pelakon. Semasa di DFKL, saya tengok dia bersungguh-sungguh nak bawa watak ganas walaupun macam tak selari dengan penampilannya. Nak juga jadi watak Adi Putra.
"Sesudah acara itu, ada yang datang minta nombor telefon untuk diusulkan Danish hadiri sesi uji bakat.
"Iklan Qu Puteh adalah yang pertama dia jayakan. Mereka cari budak untuk tunjukkan khasiat minuman kecantikan agar nampak putih berseri."
Berlakon merupakan satu kelainan buat Danish pada awalnya. Beliau merupakan bakat tetap bagi syarikat D Alpha Legacy Sdn Bhd termasuk Frontliner dan Eva.
"Cabaran terbesar saya dalam Eva adalah untuk menangis. Sebagai lelaki, memanglah macam 'kental' kalau kita menangis. Apa lagi kita perlu nangis dari sebelah mata sahaja.
"Mula-mula memanglah tak boleh buat, tetapi akhirnya berjaya juga. Watak Mika yang saya bawakan ini bercelaru. Susah nak nampak dia gembira macam remaja sebayanya.
"Kerapkali dia hidup tertekan sebab tengok ibunya masih dibelenggu trauma dan berkelakuan pelik serta menyorok sesuatu," cerita Danish, yang melihat Shukri Yahaya sebagai pelakon idolanya yang tenang dan mampu menghidupkan watak sebaik mungkin sehingga ia kelihatan realistik.
Remaja ini juga melihat dua bintang Eva, Nadia Aqilah dan Nadia Brian, sebagai contoh karyawan seni yang bersungguh-sungguh memperkaya seni mereka dengan kerja keras dan komitmen.
Melihat masa depannya, jika diizinkan, Danish ingin bergelar pelakon sepenuh masa tetapi turut mempunyai cita-cita membina kerjaya dalam bidang minyak dan gas.
Di luar bidang seni, anak muda ini suka mengembara, bermain permainan video bola FIFA serta melakukan perkara yang membahagiakan ibunya.
"Umi saya selalu pesan agar tidak membuat orang menunggu kita di set, bermain 'game' di set atau menyusahkan orang yang bekerja bersama kita. Permudahkanlah urusan orang agar pekerjaan kita pun dipermudahkan," jelas Danish.
"Berlakon iklan lebih tekankan gaya dan penampilan. Kalau buat drama dan filem, kita perlu kaji watak lebih mendalam lagi." - Shamsul Danish.

