Topic followed successfully
Go to BHkuPelakon seni Aric wakil S'pura ke Anugerah Kreatif Akademi Asia
Pelakon seni Aric wakil S'pura ke Anugerah Kreatif Akademi Asia
Jaya raih Anugerah Nasional (Singapura) Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Pelakon seni Aric wakil S'pura ke Anugerah Kreatif Akademi Asia
SETIAP kali ingin mengundurkan diri daripada bidang lakonan, setiap kali itu akan ada peristiwa yang membuatkan pelakon Singapura, Aric Hidir Amin, membatalkan hasratnya.
Boleh dikatakan sudah hampir 100 kali niat meninggalkan bidang lakonan itu terlintas di fikiran Aric, 37 tahun, sepanjang sedekad bergelar anak seni.
Keresahan yang dirasakan seandainya tiada rezeki untuk meneruskan seni yang membuatnya ligat berkarya mengasak-asak jiwanya.
Semakin usianya matang, semakin hatinya ingin mencari ketenangan untuk mengenali siapa dirinya dan apa matlamat hidupnya.
Sekali lagi, keinginannya untuk lupakan sahaja lakonan yang membawanya menjelajah ke Malaysia untuk projek khidmat penstriman Viu Devoted itu timbul di benak baru-baru ini.
Namun, semangat yang pudar dibangkitkan pula oleh berita gembira beliau dipilih sebagai pemenang nasional (Singapura) bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA) 2022.
Ini bermakna Aric yang membawa watak antagonis bernama Mo dalam drama terbitan Ochre Pictures, S.P.Y, akan mewakili Singapura untuk bersaing dengan pemenang pelakon pembantu lelaki dari negara Asia Pasifik lain dalam acara dua hari di Dewan Chijmes, Singapura, mulai 7 Disember ini.
Pesaingnya adalah Sam Wang (New Gold Mountain) dari Australia; Oscar Leung (Flying Tiger 3) dari Hong Kong; Vishal Jethwa (Human) dari India; Arbani Yasiz (The Earth of Three Colours) dari Indonesia; Nadhir Nasar (Nusyuz Berkiblat Cinta) dari Malaysia; Zaijan Jaranilla (The Broken Marriage Vow) dari Filipina; Wu Kang-Ren (Light The Night) dari Taiwan dan Jumpol Adulkittiporn (Off) dari Thailand.
Ketika dihubungi Berita Minggu, Aric berkata:
"Saya bersyukur dengan kemenangan dan selanjutnya pencalonan bagi anugerah ini di peringkat serantau.
"Ia amat bermakna buat saya selepas sedekad menjadi anak seni. Ia bagai memberi semangat baru untuk saya tahu bahawa kemahiran yang dipinjamkan Allah kepada saya ini ada manfaat tersendiri.
"Maklumlah, saya adalah pelakon yang lebih condong pada projek filem dan drama seni lebih daripada projek aliran utama atau komersial.
"Saya bukannya pelakon yang memiliki pakej populariti untuk diketengahkan dalam karya komersial atau drama kegemaran ramai.
"Namun, pencapaian ini adalah satu pengiktirafan yang membuatkan saya terfikir sejenak sekali lagi tentang seni yang saya usahakan selama ini.
"Apabila saya meninjau sejarah pemenang AACA yang lain dari merata Asia, saya lihat ia bukan calang-calang. Terharu sebab saya sebagai anak Melayu Singapura dapat ditempatkan dalam senarai ini."
Sebelum ini, Aric pernah menerima Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik bagi Anugerah Filem Belia Kebangsaan (NYFA) 2020 dan Anugerah Pelakon Paling Digemari bagi peraduan filem ringkas yang menyelongkar identiti kesingapuraan, Cine65.
S.P.Y adalah drama siasatan yang pernah disiarkan di Suria dan masih ada di aplikasi meWATCH yang menuntut Aric membawa watak penjahat dengan ciri-ciri tersendiri.
Baginya yang sukakan cabaran dalam setiap watak yang dibawakan, sikapnya di set yang segera menyerap watak yang diberi kadangkala salah dianggapkan.
"Saya tahu ada yang tak selesa bekerja dengan saya kerana mempunyai tanggapan mengapa kadangkala saya berkelakuan pelik setelah serap karakter yang dibawakan.
"Tapi kalau anda mengenali saya secara rapat, memang saya boleh sahaja berbual macam biasa," jelasnya yang gembira dapat bekerjasama dengan syarikat penerbitan setempat yang diusahakan karyawan berbilang bangsa.
Kerjasama dengan karyawan seni berbangsa asing juga membuka ufuk pemikirannya tentang kesenian dari sudut yang berbeza di luar zon penerbitan karyawan seni Melayu.
Menurut Aric, sejak kembali ke Singapura dan berumah tangga, beliau lebih merasakan amanahnya sebagai suami memerlukannya mencari pekerjaan tetap.
"Sejak beberapa tahun lalu, saya mula dekatkan diri saya dengan pengajian agama, selalu merujuk pada ustaz yang mengajar saya untuk menimba ilmu bagi mengisi kekosongan yang saya sebelum ini rasakan. Saya banyakkan membaca buku agama.
"Alhamdulillah, ia adalah proses yang memberi saya jawapan pada apa yang saya cari serta memberi saya keredaan dengan rezeki yang saya terima. Semakin bersihkan hati, semakin nampak erti keberkatan. Susah payah selama ini ada sebabnya.
"Selain lakonan, saya juga membuat kerja adunan dan pengindukan muzik buat bakat setempat. Saya adalah lulusan muzik dari Lasalle. Itu adalah kemahiran asal saya dan bukannya lakonan, yang ramai tidak ketahui," tambahnya yang juga meminjamkan suaranya bagi projek drama audio Sacred Guardian.

