
KHABAR duka datang dari industri televisian Indonesia tatkala dimaklumkan pelakon sinetron Iqbal Pakula meninggal dunia akibat sakit jantung pada Selasa (25 April).
Isterinya Andiez memberitahu laman detik.com bahawa Iqbal menghidap penyakit jantung sejak 2022. Beliau telah menjalani pembedahan memasang sten pada jantungnya tahun lalu. Sejak itu, Iqbal, 46 tahun, menjadi mudah lelah dan nafasnya tidak teratur. Iqbal menjalani rawatan mulai Jumaat, (21/4/2023). Pada Selasa, dini hari, kondisinya sempat kritikal dan akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya. "Dia memang ada riwayat jantung. Kelmarin mulai bulan November tahun lalu, sudah sempat pasang sten, nampak okay tetapi penyakitnya kembali lagi. Awal-awal November dia lebih mudah penat dan nafasnya tidak teratur," ungkap Andiez lagi. Dikhabarkan, degupan jantung Iqbal sudah tidak beraturan semenjak malam takbir bagi menyambut 1 Syawal. Andiez mengungkapkan, beliau tidak sempat berada di samping suaminya saat masa-masa kritikal tersebut. Kepergian Iqbal saat itu disaksikan langsung oleh bapa saudaranya.
Antara sinetron yang pernah dilakonkan Iqbal termasuk Mimpi Manis dan Cinta Fitri.
Beliau juga sudah beberapa kali hadir di Singapura untuk bertemu peminat.
Jenazah Iqbal dikuburkan di Taman Pemakaman Umum (TPU) Menteng Pulo, kawasan Tebet, Jakarta Selatan, pada Selasa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg