LOS ANGELES: Pelakon siri sitkom popular Friends, Matthew Perry, 54, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Pacific Palisades di sini, dipercayai akibat lemas, semalam.
Perry yang popular menerusi watak Chandler Bing ditemukan meninggal dunia dalam jakuzi di kediamannya itu, lapor agensi.
Laporan agensi menyebut tiada bahan terlarang ditemui atau sebarang perkara yang mencurigakan berlaku, sebelum Perry menemui ajal.
Menurut jurucakap Polis Los Angeles, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai kematian seorang lelaki berusia 50-an, namun, pemanggil tidak menyatakan identiti mangsa.
“Polis mengesahkan kematian Perry tiada kaitan dengan unsur jenayah.
“Panggilan dibuat mengatakan penghuni rumah itu mengalami serangan jantung,” lapor agensi.
Sementara itu, wakil mendiang Perry dikatakan belum memberi maklum balas kepada media mengenai pemergian aktor itu.
Sebelum ini, Perry dilaporkan pernah menghadapi masalah ketagihan arak dan dadah hingga menjalani program pemulihan sebanyak 17 kali.
Perry menjalani program pemulihan kali pertama pada 1997 kerana ketagih dengan ubat tahan sakit selepas terbabit dengan kemalangan jetski.
Dalam temubual bersama media pada 2016, Perry memberitahu dia tidak ingat menjalani penggambaran tiga musim siri Friends.
Dilahirkan di Williamstown, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) pada 19 Ogos 1969, Perry bagaimanapun dibesarkan di Ottawa, Kanada.
Ibunya, Suzanne Morrison adalah bekas wartawan dan bapanya, John Bennet Perry pula aktor dan model.
Perry meraih perhatian antarabangsa selepas kemunculannya dalam siri sitkom popular Friends pada 1994. Siri itu disiarkan sebanyak 10 musim sehingga 2004.
Populariti Chandler juga membolehkan dirinya dicalonkan pada Anugerah Primetime Emmy, iaitu anugerah untuk program televisyen (TV) di AS pada 2002 kerana persembahanya yang menyerlah dalam siri popular kesayangan ramai itu. - Agensi Berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg