Pelakon dan pengarah Raffi Khan, 61 tahun, meninggal dunia sekitar 9 malam pada 23 Oktober, setelah disahkan menghidap penyakit barah rektum sejak 2021.
Allahyarham dirawat di Hospital Masyarakat Sengkang (SKCH) sejak empat minggu lalu, selepas mengadu rasa sakit di bahagian bahu kanan dan perut.
Sewaktu menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau ditemani isteri, anak-anak dan keluarga terdekat.
Allahyarham Raffi, yang berketurunan Pakistan, meninggalkan seorang isteri, tiga orang anak dan tujuh cucu.
Bercakap dengan Berita Harian (BH), anak perempuan keduanya, Shariffah Shahirah Mohammad Raffi berkata ayahnya itu telah menjalani rawatan kemoterapi selama dua tahun, dan selepas itu, hanya mengawal sakit dengan perubatan doktor dan suplemen kesihatan.
“Doktor memberitahu kami kansernya telah merebak ke seluruh tubuhnya, sewaktu dia dibawa ke hospital empat minggu lalu,” kata Shariffah Shahirah.
Allahyarham Raffi atau nama sebenarnya, Mohammad Raffi Tanjaullah pernah mewarnai televisyen dalam puluhan drama tempatan dan sering diberi watak serius seperti seorang usahawan atau penjahat.
Beliau juga pernah berlakon dalam puluhan drama di Malaysia dari 1995 hingga 1997 sewaktu beliau terikat kontrak dengan sebuah syarikat penerbitan di sana.
Teman beliau, pelakon mapan Keatar HM, atau nama penuhnya Hashim Mohammad, sempat menziarahi arwah Raffi Khan pada 23 Oktober.
“Baru semalam (23 Oktober) Raffi berbisik di telinga saya yang dia sayangkan saya. Dia juga meletakkan tangannya di wajah saya, sedangkan isterinya beritahu susah untuk dia menggerakkan tubuhnya.
“Saya takkan lupakan saat-saat akhir itu,” kata Keatar.
Difahamkan lakonan terakhir beliau ialah dalam drama Poskad dari Alhambra terbitan Monstrou Studio untuk Mediacorp Suria pada 2020.
Jurucakap Mediacorp mengeluarkan kenyataan berikutan pemergian Allahyarham:
“Kami amat berdukacita dengan pemergian pelakon veteran Raffi Khan. Raffi terkenal dan disegani kerana karyanya dalam beberapa drama popular kami seperti Gelora, Zakat Zakaria dan Poskad Dari Alhambra. Ini adalah kehilangan yang besar dan kami mengucapkan takziah kepada keluarga Raffi.”
Jenazahnya telah dibawa pulang ke rumah anak lelakinya di Canberra dan telah dikebumikan selepas zuhur pada 24 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg