Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelancaran single Hazrul Nizam, Diana Nazyra di KL disambut meriah

Jul 4, 2023 | 5:00 PM
LUAS LANGKAH: (Dari kiri) Penggubah lagu Omar K, Cik Hilwah Brown dari Hilwah Maid Agency dan HMA Entertainment, penyanyi Diana Nazyra, Hazrul Nizam dan Adil Shakirin dari  Alternate Records & Talents Malaysia. di majlis pelancaran single Sejuta Kata di Hotel Royale Chulan, The Curve, Kuala Lumpur pada Selasa, 4 Julai.
LUAS LANGKAH: (Dari kiri) Penggubah lagu Omar K, Cik Hilwah Brown dari Hilwah Maid Agency dan HMA Entertainment, penyanyi Diana Nazyra, Hazrul Nizam dan Adil Shakirin dari Alternate Records & Talents Malaysia. di majlis pelancaran single Sejuta Kata di Hotel Royale Chulan, The Curve, Kuala Lumpur pada Selasa, 4 Julai. - Foto BH oleh HANIM MOHD SALEH

Hanya satu permulaan.

Itulah yang dirasakan penyanyi Singapura, Hazrul Nizam dan Diana Nazyra yang memulakan langkah meneroka pasaran muzik di negara jiran Malaysia dengan pelancaran single duet pertama mereka, ‘Sejuta Kata’ dalam satu majlis gah yang berlangsung pada Selasa di Hotel Royale Chulan, The Curve, Kuala Lumpur.

Bukan selalu penyanyi Singapura mendapat peluang melancarkan album atau single di negara jiran, namun Hazrul dan Diana berjaya menarik kehadiran lebih 60 wakil media, pempengaruh dan media televisyen arus utama Malaysia untuk membuat liputan kehadiran mereka dalam industri muzik di sana.

Selain itu mereka juga menerima banyak ucapan tahniah dan ucap selamat daripada artis-artis termasuk Hetty Sarlene, Art Fazil, Jatt Ali, Rosalina Musa dari Singapura dan beberapa artis Malaysia dan Indonesia yang disiarkan secara siaran video.

Lagu “Sejuta Kata” merupakan kolaborasi penggubah yang jug penyanyi popular Malaysia, Hazama dan penerbit Omar K, yang sebelum ini telah banyak menghasilkan lagu popular seperti ‘Penglipur Lara’ dan ‘Kalau Aku Kaya’. Sejak dilancarkan di Singapura pada Jun, ia telah mendapat tempat di Carta Ria 987 dan sejauh ini lebih 55,000 muat turun di Spotify.

“Ini hanya satu permulaan,” kata Hazrul yang kian popular di negara jiran selepas penceburannya dalam GegarVeganza pada 2022. “Insya-Allah ada lagi lagu yang akan dirakamkan dan saya harap ia disambut baik oleh masyarakat di sini,” tambah beliau.

Penaja single itu, Cik Hilwah Brown dari Hilwah Maid Agency juga melancarkan syarikat HMA Entertainment di majlis itu, sebagai syarikat pengurusan artis dan penerbit konsert, mencerminkan banyak lagi projek-projek muzik antara Malaysia dan Singapura yang akan berjalan tidak lama lagi.

Diana Nazyra ketika menjawab pertanyaan wartawan berkata beliau dan pasukannya melancarkan single itu di Kuala Lumpur kerana menganggap muzik kini tanpa sempadan dan banyak lagi yang boleh dilakukan untuk projek-projek kolaborasi antara dua negara.

Diana dan Hazrul akan berada di Kuala Lumpur selama enam hari untuk menghadiri pelbagai sesi promosi dan temubual termasuk bersama stesen-stesen radio dan televisyen Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg