Gunung Fuji bersalji berdiri megah di sisi pagoda merah.

Hiasan bunga sakura mekar pula menyambut ketibaan musim bunga.

Pemandangan memukau inilah yang membanjiri media sosial, hasil rakaman pelancong yang membanjiri kawasan itu.

Bandar Fujiyoshida yang dahulunya sunyi, kini huru-hara dek kesesakan lalu-lintas yang melampau dan timbunan sampah.

Keadaan diburukkan lagi oleh sikap biadap segelintir pelancong asing.

Ada yang tanpa segan silu mengetuk pintu rumah penduduk untuk ke tandas, malah ada yang tergamak buang air di halaman rumah orang awam.

Susulan isu ini, pegawai di Fujiyoshida mengumumkan pada Februari bahawa mereka akan membatalkan festival bunga sakura tahunan pada 2026, yang bermula sedekad lalu untuk mempromosi pelancongan.

Apa yang digelar pelancong sebagai “pencemaran pelancongan” telah mencerminkan masalah yang lebih besar buat Jepun.

Dalam usaha negara itu menangani kemelut ekonomi, pegawai menantikan rangsangan ekonomi yang didorong pelancongan yang meningkat, walaupun masyarakat tempatan sendiri tidak bersedia untuk menghadapi pelancong asing yang berkunjung.

Pengurus Jabatan Ekonomi dan Sekitaran Fujiyoshida, Encik Masatoshi Hada berkata:

“Kawasan ini pada dasarnya adalah kejiranan kediaman biasa, dan sukar untuk mengimbangi (pelancongan) dengan keselamatan persekitaran hidup penduduk.

“Kami memutuskan untuk tidak mempromosi festival yang akan menarik lebih ramai pengunjung.”

Walaupun tanpa festival itu, pelancong asing tetap membanjiri kawasan itu pada hari yang cerah awal April ketika bunga sakura mekar sepenuhnya.

Jalan-jalan sempit menuju ke Taman Arakurayama Sengen yang popular sesak dipenuhi pengunjung yang beratur untuk merakam gambar panorama terkenal dunia itu.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan pelancong asing telah melebihi 10,000 orang sehari di kawasan itu, satu jumlah yang telah “mengancam kehidupan harian penduduk”, menurut kenyataan bandar tersebut pada Februari.

Pelancongan berlebihan juga dilihat di destinasi popular lain di Jepun, seperti Kyoto dan Kamakura.

Di Kyoto, penduduk tempatan mengadu tentang pelancong yang membawa bagasi besar sehingga memakan ruang banyak dalam bas bandar.

“Pencemaran pelancongan” ini berlaku sedang Jepun berdepan dengan peningkatan bilangan pekerja asing yang dibawa masuk bagi menangani masalah populasi yang semakin berkurangan dan menua.

Gabungan itu telah mencetuskan xenofobia, dan pemerintah telah mencadangkan peraturan yang lebih ketat ke atas warga asing.

Walaupun pemerintah berjanji untuk menangani kebimbangan berkaitan pelancongan berlebihan, kerajaan mahu meningkatkan bilangan pelancong asing yang datang dari 40 juta kepada 60 juta menjelang 2030. – Agensi berita