KUALA LUMPUR: Pelawak legenda, Hamid Gurkha, 90 tahun, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit batuk kering dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, dekat sini, jam 2.19 petang Selasa (14 Jun).
Berita pemergian Hamid atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman disahkan anak bongsunya, Nor Ashita Hamid.
Nor Ashita berkata, doktor mengesahkan arwah bapa mempunyai penyakit batuk kering dan beberapa komplikasi lain.
"Allah lebih menyayangi arwah selepas enam hari dimasukkan ke hospital," katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) Online.
Katanya, jenazah arwah masih berada di hospital untuk melalui beberapa prosedur.
"Kami reda atas pemergian arwah.
"Saya dan adik-beradik tak dapat menjangkakan bila pengebumian akan dilaksanakan.
"Mungkin hari ini atau esok, tetapi kami berharap urusan pengebumian dapat dipercepatkan," katanya.
Khamis lalu, Nor Ashita menafikan arwah dalam keadaan tenat hingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Bagaimanapun, Nor Ashita memaklumkan, arwah bapanya dalam keadaan stabil dan terkawal selepas dirawat di hospital akibat selepas mengalami batuk teruk.
Terdahulu, BHM melaporkan pada Aidilfitri lalu, keadaan Hamid hanya terlantar atas katil selepas diuji jangkitan COVID-19 pada Februari lalu.
Namun, bintang yang mula dikenali menerusi filem Panglima Badol pada 1978 tidak mengalami penyakit kronik, sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan kian uzur pada usia menginjak 90 tahun.
Hamid dan Timah Abdul Hamid, 80 tahun, mendirikan rumah tangga enam dekad pada April 1957.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia. Beliau juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit. - BERITA HARIAN MALAYSIA


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg