Tatkala menginjakkan kaki di benua ais Antartika buat kali pertama pada 2014 sebagai peserta ekspedisi, tidak disangka beliau akan kembali ke benua di hujung dunia itu.
Dek jatuh hati dengan keindahan alamnya, pejam celik, pejam celik kini sudah lebih 50 kali warga Singapura, Cik Rashidah Lim, 39 tahun, berkunjung ke Antartika.
Lebih mengejutkan, beliau bukan sekadar mengembara sebagai peserta, malah sebagai ketua ekspedisi membawa kumpulan pengembara dari serata dunia untuk turut melihat keajaiban alam sekitar yang terdapat di benua itu.
Dari situlah, pemimpin ekspedisi Albatros Expeditions itu terdorong untuk meneraju projek ekspedisi halal yang membolehkan pengembara Muslim sepertinya menaiki kapal pelesiran ke Antartika, sambil menikmati makanan halal dari dapur yang diberi sijil halal – satu pencapaian bersejarah dalam industri kutub.
“Kita sebagai warga Singapura membesar dalam sekitaran berbilang kaum dan agama sehinggakan ia terasa seperti suatu keadaan yang semula jadi.
“Tetapi setelah saya berkunjung ke negara lain, saya sedar ia tidak begitu dan apa yang kita ada di Singapura kadangkala kita ambil sambil lewa.
“Apabila saya bekerja di kapal buat tempoh yang lama, ada sehingga lima bulan. Saya lihat kami memenuhi keperluan warga negara berbeza-beza. Apabila orang China berada di kapal, kami memenuhi keperluan orang Cina; jika orang India di kapal, kami memenuhi keperluan orang India; begitu juga bagi orang Barat.
“Saya sedar terdapat jurang iaitu orang Islam, tidak kira kewargaan mereka... contoh terdapat ramai Muslim dari Timur Tengah yang ingin belayar dan mampu melakukan demikian tetapi tidak ada pilihan.
“Jadi ini menjadikan kami yang pertama dalam industri kutub mempunyai dapur yang diiktiraf halal,” kata beliau, satu-satunya pemimpin ekspedisi wanita Muslim industri kutub itu ketika ditemui Berita Minggu (BM).
Cik Rashidah, pengurus pembangunan perniagaan Asia Tenggara Albatros Expeditions – syarikat ekspedisi yang berpangkalan di Copenhagen, Denmark – turut mengaitkan kejayaan projek tersebut dengan sokongan yang diberikan syarikatnya, dan teruja usahanya selama bertahun-tahun akhirnya direalisasikan.
Menerusi laman Instagramnya, syarikat Albatros Expeditions baru-baru ini mengumumkan bahawa ia melancarkan kapal pelesiran pertama yang menerima sijil halal ke Antartika.
“Ini pertama kali sebuah kapal ekspedisi akan mengendalikan dapur yang diiktiraf halal sepenuhnya di Antartika – detik penting dalam sejarah ekspedisi melalui kapal pelesiran!
“Semua orang dialu-alu untuk menyertai kami dalam pengembaraan indah di Antartika, dengan anda akan merasakan pengalaman melihat hidupan liar luar biasa, pemandangan menakjubkan dan ketulan air batu gergasi.
“Buat pertama kali dalam sejarah Antartika, tetamu Muslim yang memerlukan dapur diiktiraf halal akan dapat menikmati pengalaman Antartika sepenuhnya, termasuk menu yang halal sepenuhnya,” tulisnya di laman Instagram.
Syarikat tersebut telah membuka pendaftaran bagi pelayaran halal pertama yang akan berlangsung pada 3 Januari 2026, dengan bilangan purata 175 penumpang.
Ekspedisi halal selama 10 hari itu bermula dari Ushuaia, Argentina, dan akan melalui Drake Passage menuju ke Antartika dengan menaiki kapal Ocean Albatros yang baru dihasilkan pada 2023.
Harga bagi ekspedisi halal itu adalah antara AS$12,000 dengan AS$14,000 ($16,100 hingga $19,000) setiap seorang bagi kabin yang dikongsi dua orang.
Kegiatan yang termasuk dalam pakej kapal pelesiran itu ialah ‘landing’ atau mendarat, iaitu proses turun kapal untuk menjejakkan kaki di ais, serta ‘zodiac cruise’, iaitu pelayaran menaiki bot kembung untuk meneroka tarikan Antartika.
“Di Antartika, terdapat peraturan khas, dan garis panduan daripada Persatuan Antarabangsa Pengendali Pelancongan Antartika (IAATO) adalah jika kapasiti kapal melebihi 500, orang ramai tidak boleh turun dari kapal kerana mereka ingin memastikan Antartika kekal bersih dan melindungi benua terakhir itu.
“Jadi menjejakkan kaki di benua itu adalah pengalaman yang cukup istimewa. Tidak semua orang dapat lakukan demikian,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa pengembara kadangkala diberi peluang ‘terjun’ ke dalam air sekiranya keadaan selamat, dan mereka juga boleh mendayung kayak yang memerlukan bayaran tambahan.
Ditanya tentang keprihatinan umum dengan kapal perlu melalui Drake Passage yang terkenal disebabkan keadaan airnya, Cik Rashidah berkata kapal telah direka bagi memastikan ia belayar dengan lancar menempuh perairan kutub – menggunakan haluan X-bow dan penstabil Rolls Royce.
“Saya selalu beritahu orang, saya sudah lintas laluan ini lebih 100 kali, jadi jika saya sudah lakukannya, anda juga boleh!” katanya memberi jaminan ia selamat.
Berkongsi pemerhatiannya, Cik Rashidah berkata terdapat potensi dalam pasaran halal, dan setakat ini sudah terdapat banyak pertanyaan daripada orang ramai, dengan yang utama adalah dari Asia dan Timur Tengah.
“Kebanyakan orang, semasa saya mula (terlibat dalam industri ini), tidak tahu di mana Antartika. Ada yang tidak tahu bahawa mereka boleh ke Antartika ataupun bagaimana untuk ke sana. Jadi ini memerlukan pendidikan,” kata beliau.
Berkongsi pengalaman hidupnya, Cik Rashidah berkata beliau tidak pernah terbayang akan sampai ke tahap ini – daripada seorang guru tarian di sekolah selama 20 tahun ke pemimpin ekspedisi.
Menceritakan apa yang mendorongnya membuat loncatan kerjaya yang ketara berbeza, beliau berkata:
“Cinta terhadap pengembaraan memang sudah sebati dalam diri saya.
“Semasa membesar, saya dan keluarga bercuti ke luar negara setiap tahun. Saya sangat suka melancong. Tetapi tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa saya akan bekerja di Antartika.
“Pada 2017, saya dihubungi wanita yang menguruskan permit bagi syarikat Albatros Expeditions, wanita sama yang saya temui pada 2014 (ketika saya sedang bercuti)... beliau mengajak saya untuk cuba peranan sebagai kakitangan ekspedisi di kapal.
“Memandangkan sedang cuti sekolah waktu itu, dan juga musim panas di Antartika pada November dan Disember, saya mencubanya selama dua bulan. Tidak terasa sudah tujuh tahun sekarang!” katanya tertawa.
Ketika disuruh menggambarkan kecantikan Antartika, Cik Rashidah sukar mengungkapnya dengan kata-kata.
Menurutnya, ketenangan yang dirasakan sambil mendengar bunyi ais berderak – dengan mata melihat hidupan liar seperti anjing laut, burung penguin dan paus – adalah pengalaman unik yang tidak dapat dihayati di negara lain.
“Pengalamannya tidak dapat dilupakan. Saya pernah lihat penumpang yang saya bawa menitiskan air mata kerana sangat tersentuh dengan keindahan alam yang dihayati.
“Saya telah menjejakkan kaki di semua benua, tetapi Antartika tetap terpahat di tempat istimewa dalam hati saya,” katanya.
PESIARAN HALAL KE ANTARTIKA
[ο] Tarikh keberangkatan: 3 Januari 2026
[ο] Bilangan penumpang: Kira-kira 175
[ο] Tempoh ekspedisi: 10 hari 9 malam
[ο] Harga ekspedisi: Antara AS$12,000 dengan AS$14,000 ($16,100-$19,000) setiap seorang bagi kabin dikongsi dua orang
[ο] Kapal ‘Ocean Albatros’ akan berangkat dari Ushuaia, Argentina, dan akan melalui Drake Passage menuju ke Antartika
[ο] Untuk pertanyaan, kirimkan e-mel kepada Cik Rashidah Lim di lim@albatros-travel.com
“
“... Menjejakkan kaki di benua itu adalah pengalaman yang cukup istimewa. Tidak semua orang dapat lakukan demikian. Saya selalu beritahu orang, saya sudah lintas laluan ini lebih 100 kali, jadi jika saya sudah lakukannya, anda juga boleh!”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg