Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelukan Angkasa nyanyian band 'indie' Sekumpulan Orang Gila dan Shila Amzah rangkul piala Anugerah Juara Lagu
Pelukan Angkasa nyanyian band 'indie' Sekumpulan Orang Gila dan Shila Amzah rangkul piala Anugerah Juara Lagu
Pelukan Angkasa nyanyian band 'indie' Sekumpulan Orang Gila dan Shila Amzah rangkul piala Anugerah Juara Lagu
ADA yang menyangka vokal 'powerhouse' Aina Abdul akan menempatkan lagu Sepi sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 pada Ahad (6 Mac).
Jawapannya tidak meskipun Aina yang tampil dengan busana bak bunga kembang setaman pulang dengan piala Vokal Terbaik.
Tidak kurang pula yang meramalkan lagu Mimpi yang dinyanyikan Haqiem Rusli akan merealisasikan harapan ramai dan sampai ke destinasinya sebagai juara.
Ramalan itu juga kecundang dan peminat harus akur dengan keputusan juri yang menempatkan Mimpi ciptaan bersama Haqiem dan Datuk A. Aida di tangga ketiga pertandingan.
Sebaliknya, lagu Pelukan Angkasa yang dinyanyikan bersama band ;indie' yang kurang dikenali di arus perdana, Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan Shila Amzah terbukti bertakhta dan berjaya mendakap hati juri yang meletakkannya sebagai pemenang AJL kali ini.
Pelukan Angkasa merupakan ciptaan Raja Nazrin Shah dengan lirik tulisan Fazleena Hishammuddin.
Ia membawa pulang trofi bersalut emas dan wang tunai RM100,000 ($32,580).
Marsha Milan Londoh yang mempertaruhkan lagu Cinta dan dipuji warganet sebagai bakat nyanyian hebat yang kurang mendapat pengiktirafan pula berada di tempat kedua sekali gus memenangi Anugerah Persembahan Terbaik.
Menerusi Cinta ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim, Marsha membawa pulang trofi dan RM50,000 (hadiah naib juara) serta RM18,000 tajaan bersama NOIR Beauty Essence (persembajan terbaik).
Mimpi di tempat ketiga menerima RM30,000 dan trofi. Aina yang menerima Anugerah Vokal Terbaik turut disampaikan dengan RM12,000.
Turut diberikan adalah Anugerah Penyanyi Pilihan Popular AJL yang dibawakan oleh Siri OPPO Reno Seven, Lima G, Pakar Potret dan dimenangi oleh Aina Abdul dan Khai Bahar. Mereka membawa pulang wang tunai RM5,000 dan trofi.
Juri terdiri daripada Datuk Mozhani Ismail (Ketua Juri), LY, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Mike Chan, Helen Yap, Altimet, Edrie Hashim, Faizal Tahir dan Datuk Habsah Hassan.
AJL disiarkan di TV3 secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia dengan pengacara Alif Satar dan Nabila Huda sebagai hos utama manakala Sissy Iman dan Sean Lee selaku hos karpet merah.
Tema AJL ke-36 adalah Rentak Kita dengan tirai dibuka dengan persembahan Mas Idayu yang menyanyikan lagu Bolehlah Boleh disusuli dengan Datuk Jamal Abdillah yang mendendangkan lagu berjudul Samrah Mentari.,Ayda Jebat turut mendendangkan lagu Pencuri Hati diikuti persembahan kumpulan Cassia.
Warganet turut tertanya-tanya berapakah bayaran yang diberi penaja utama Noir untuk mendapatkan Dayang Nurfaizah, pemenang Vokalis Terbaik AJL buat beberapa kali, menyanyikan lagu khasnya.
Pujian pula mencurah-curah buat Datuk Awie yang tampil kemas berambut pendek di segmen Interlude bersama kumpulan rok legenda Wings. Lagu malar segar, Taman Rashidah Utama, Hukum Karma, Harapan dan Opera Hidup disajikan dan pastinya menyentuh sanubari.
Dengan kemenangan SOG yang tidak tunduk dengan desakan komersial dan selesa menyanyikan lagu citarasa sendiri walau kurang dikenali, reaksi warganet bercampur-aduk.
'Taring' Pelukan Angkasa sebenarnya terletak pada lirik mendalamnya, jelas ramai yang dapat menyelami maksud yang tersirat dalam lagu tersebut..
Warganet Umil Ar menulis di Instagram: "Alhamdulillah tahniah...akhirnya orang kenal SOG! Hidup kembali 'indie band'. Selayaknya menang kerana usaha gigih kalian."
Ada pula yang kata SOG menang hanya kerana berganding bahu denga Shila yang memang terbukti memiliki vokal luar biasa dan telah mengharumkan nama Malaysia di China.
"Shila memang layak menang tapi masalahnya SOG tu 'group' apa je? Tak pernah tahu pun," tulis mfaezramlan.
Kemenangan SOG dan Shila turut dipuji pelakon mapan, Fauziah Ahmad Daud.
"Pelukan Angkasa pegang Panggung AJL 36. Organik. Tidak disangka. Bertenaga. Mereka mengagumkan di pentas ini. SOG dan Shila Amzah. Juara di hati saya.," tulis Fauziah yang mesra dengan panggilan Kak Ogy.
.