PELUKIS dan lebih dikenali juga sebagai pelakon teater, Rizman Putra, dipilih untuk mewarnai dan memegun pengunjung di S.E.A Aquarium dalam satu kolaborasi pameran pemasangan seni yang diberi nama OBNOVA yang masih berlangsung sekarang hingga 16 Ogos ini.
Jurucakap Resorts World Sentosa (RWS) mengatakan mereka ingin bekerjasama dengan artis serba-boleh ini kerana beliau boleh menggunakan karyanya untuk menyampaikan mesej utama kepada pengunjung tentang kepentingan menghargai keindahan kepelbagaian marin:
"Ini adalah sebahagian dari usaha mendorong pengunjung untuk mengambil tindakan melindungi lautan sebelum ia berubah menjadi lautan yang tidak berwarna dan tidak bermaya."
OBNOVA menyediakan portal untuk realiti alternatif dengan membenarkan pengunjung mengalami dan menjadi sebahagian daripada dunia baru. Mereka akan berjalan melalui sebuah ruang dan akan diangkut ke masa depan dengan pemandangan lautan yang dipulihkan dan berkembang pesat. Sejauh ini, tindak balas mengenai pemasangan seni itu memberangsangkan, dan diterima baik oleh pengunjung dari setiap peringkat umur.
Menurut Rizman, 44 tahun, yang berkelulusan Sarjana dalam bidang Seni Halus dari La Salle College of the Arts, beliau teruja diberi kepercayaan ini, dan tidak berlengah membuat kajian dan penyelidikan untuk menghasilkan pameran ini: "Saya gunakan 3 kecerunan warna batu karang untuk menunjukkan keadaannya - dari warna asal terang seperti neon hinggalah ke warna yang kelunturan atau putih."
Pemasangan seni ini mengambil masa hampir sebulan untuk disiapkan, dan Rizman dibantu oleh empat individu berbakat, iaitu Bud Young, Shawna Chia dan Syarfa Shahiran, yang bertanggungjawab untuk mewarnakan pameran seni kreasi Rizman. Beliau juga bekerjasama dengan pereka bunyi, Safuan Johari, untuk memberikan pengalaman yang berkeseluruhan bagi pengunjung.
"Kami menjemput tetamu untuk bersantai di sini bersama orang tersayang untuk menghayati sepenuhnya pemasangan ini. Kami berharap pengunjung dapat meluangkan sedikit masa untuk merenung dalam potensi struktur simbolik ini, dan mempertimbangkan bagaimana setiap orang daripada kita mempunyai peranan dalam memastikan kehidupan laut terus berkembang maju," tambah jurucakap RWS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg