Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pementasan 'Potong' teroka pergolakan isu identiti, demensia

May 13, 2023 | 05:30 AM



PENGORBANAN dan jerih payah seorang penjaga pesakit demensia dapat difahami pengarah teater Mohd Fared Jainal kerana pernah melihat betapa sulitnya pengalaman ibunya sendiri menjaga arwah ayahnya dahulu.



Isu demensia ini menjadi lebih dekat di hati Mohd Fared apabila diamanahkan mengarah pementasan Potong oleh Teater Ekamatra bagi acara Pesta Raya tahun ini.



Potong yang sebelum ini pernah dipersembahkan di Taman Warisan Melayu (TWM) pada 2018 akan dipentaskan buat kali kedua di Studio Teater Esplanade antara 18 hingga 21 Mei ini.



Kecuali Farah Ong yang masih mengekalkan wataknya sebagai Siti dan Nenek, barisan pelakon lain iaitu Aisyah Aziz, Irsyad Dawood dan Jada menjayakannya buat kali pertama.



Ketika dihubungi Berita Harian, Mohd Fared berkata:



"Saya rasa masanya adalah sesuai untuk mementaskan lagi naskhah tulisan Johnny Jon Jon melihat pada iklim masa kini di mana banyak perkara berlaku dan idea mengenai identiti seseorang itu telah berubah.



"Kita melihat segalanya dari sudut pandang seorang penjaga pesakit yang turut mengalami kesukaran. Kali ini, pementasan dibuat di ruang lebih besar di mana lebih banyak idea sejajar dengan keluasan ruang dapat diselongkar.



"Teater bukan satu sajian di mana seseorang itu boleh hanya makan bertih jagung sambil berasa seronok menyaksikannya. Ia lebih daripada itu di mana kita mengajak penonton berfikir sama-sama tentang pergolakan isu yang dipaparkan.



"Saya rasa penonton masa kini sudah bersedia untuk menyaksikan persembahan yang menyelongkar banyak perkara yang sebelum ini payah dihadam."



Farah pula berkata memandangkan ini merupakan kali kedua beliau membawa watak Siti dan Nenek, cabarannya adalah untuk meninggalkan kisah lama dan membina sinergi baru dengan barisan pelakon baru.



"Sebagai pelakon, mendengar itu penting. Lebih sukar membawa watak yang cepat lupa. Sewaktu saya membawa watak Siti dahulu pada 2018, watak saya sebaya dengan saya yang kini mencecah 40-an tahun.



"Ia juga memberi saya kesempatan untuk memikirkan apa yang boleh saya buat jika perkara ini benar-benar berlaku pada diri saya sendiri," jelas Farah yang juga dapat mengaitkan isu lupa dengan kemalangan yang pernah melanda hidupnya dahulu.



Baginya, mengetahui lebih lanjut tentang demensia dan penyakit Alzheimer memberinya ruang untuk mewujudkan sesuatu yang realistik meskipun dalam butiran kecil seni lakon agar penonton dapat memahami kondisi tersebut.



Aisyah pula teruja dapat beralih kepada 'mode' lakonan kini tanpa perlu menyanyi seperti kebiasaannya.



"Setiap daripada kita ada naluri bersandiwara dalam kehidupan. Maka saya bersyukur dapat meneroka jiwa seorang pelakon menerusi penglibatan dalam Potong," katanya.



Menjelajah identiti seorang belia kacukan Melayu-Australia adalah sesuatu yang perlu dilakukan Irsyad dalam wataknya sebagai Adam.



"Saya adalah Melayu tulen, tidak seperti Adam. Tetapi saya boleh kaitkan diri saya dengan wataknya ini, yang mencari identitinya yang sebenar apabila kita sentuh tentang proses berkhatan sebagai identiti menjadi seorang lelaki Melayu.



"Malahan menjayakan pementasan ini memberi ruang untuk saya menemukan identiti saya sendiri," ujarnya.



Aktivis teater Singapura, Jada, yang sudah 25 tahun meninggalkan negara kelahirannya untuk aktif di Malaysia pula berkata peranannya sebagai seorang transjantina itu datang tepat pada masanya tatkala beliau sedang mencari pasaran bagi pelakon transjantina.



"Watak saya memberi gambaran berbeza tentang seseorang transjantina. Salleh atau Saleha ialah seorang yang kuat dan tegas walaupun dalam keadaan dirinya yang rapuh. Kebiasaannya, kesengsaraannya tidak dapat diluahkan.



"Hampir 80 peratus pergerakan watak ini adalah yang dapat saya kaitkan dengan kehidupan saya," jelasnya.



  • Tiket $30 boleh ditempah di kaunter, talian dan laman Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >