
SAMBUTAN Aidilfitri yang bakal diraikan dalam masa beberapa hari lagi terasa sunyi dan sepi buat penyanyi kelahiran Singapura, Sufi Rashid, yang baru kehilangan bapanya, Encik Rashid Abdul Rahim, pada 3 petang Sabtu.
Encik Rashid yang berusia 57 tahun menghidap barah lidah tahap empat dan meninggal dunia di rumah Sufi sekitar Semenyih, Selangor.
Pengurus bekas juara program Akademi Fantasia 2019 itu yang hanya dikenali sebagai Nik memaklumkan kepada media, bapa Sufi menghembuskan nafas terakhir selepas enam bulan bertarung dengan penyakitnya itu.
"Sebelum ini, arwah dirawat di sebuah hospital di Singapura. Baru beberapa hari lalu arwah dibenarkan keluar hospital dan dibawa pulang Sufi ke kediamannya di Semenyih.
"Ternyata, Allah lebih menyayangi arwah. Setakat ini, keadaan Sufi baik-baik sahaja kerana dapat menjaga arwah bapanya itu. Sufi juga reda dengan ketentuan takdir. Cuma, buat masa ini, Sufi perlukan privasi kerana masih berduka dengan pemergian insan tersayang." katanya lagi.
Nik berkata, jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Seremban kira-kira jam 9.30 malam Sabtu.
"Alhamdulillah, majlis pengebumian berjalan lancar dan dipermudahkan," ujarnya.
Terdahulu, khabar duka itu turut dikongsi penyanyi yang popular dengan lagu Aku Sanggup itu di Instagram Story (IGS).
Menerusi perkongsian itu, Sufi memuat naik hantaran memaparkan fotonya dan bapanya berdua dan diiringi luahan rasa terhadap arwah.
"Alhamdulillah. Allah permudahkan urusan abah hari ini. Abah memang seorang insan yang baik, tak pernah susahkan sesiapa.
"Terima kasih atas segalanya abah. Sufi janji akan jadi anak yang soleh dan manusia yang baik seperti abah," coretnya yang menyatakan sikap sabar pada dirinya diwarisi daripada bapanya itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg