KEUNIKAN suara biduan seniman Sugiman Jahuri, yang terkenal dengan lagu Kisah Cinta iaitu versi Melayu lagu Love Story nyanyian asal Andy Williams, amat menyerlah sehingga beberapa jolokan diberikan kepadanya - ini termasuk Johnny Mathis of Bukom dan Oily Man from Bukom.
Tentu peminat setianya tahu juara Talentime 1973 kategori Inggeris terbitan Radio Televisyen Singapura (RTS) ini dikaitkan dengan pulau itu kerana beliau pernah menetap dan bekerja di pulau itu yang menjadi loji penapis minyak Shell.
Kekuatan vokalnya bahkan menjadi inspirasi kepada penyanyi lebih muda seperti Rudy Djoharnaen sehingga beberapa kali berusaha bertemunya untuk mengenalinya lebih dekat dan menimba ilmu.
"Beliau adalah seorang biduan gaya crooner yang mempunyai suara kelas taraf antarabangsa dan tersendiri. Saya mula mengenali dan meminati Almarhum menerusi lagu Kisah Cinta (Love Story), Dikau Jauh dan If You Go Away.
" Beliau diantara penyanyi legenda yang menjadi inspirasi saya. Seorang yang rendah hati dan mesra. Saya akan kenang jasanya sebagai insan seni," kata Rudy.
Sugiman meninggal dunia pada Ahad lalu pada usia 79 tahun, akibat bakteria paru-paru berair, menurut satu kiriman WhatsApp daripada anaknya, Rosewati Sugiman.
Dalam satu wawancara dengan Berita Harian beberapa tahun lalu, Allahyarham pernah menceritakan bahawa sebelum kemunculan televisyen pada 1963, beliau pernah sertai pertandingan menyanyi lagu-lagu Inggeris di radio pada 1962 dan menjadi naib juara. Beliau bertanding lagi pada 1964 dan 1968.
Kemudian dalam Talentime yang disertainya, beliau menjuari kategori Inggeris sementara Selamat Sasman juara kategori Melayu. Antara hadiah yang dimenanginya termasuklah melancong ke Bangkok, Bali dan Australia.
"Tetapi saya tak ke Australia kerana menjual tiketnya dan gunakan wang itu untuk berkahwin," ujarnya. Bersama isterinya Cik Annah Sarip, mereka dikurniakan empat orang anak.
Setelah memenangi banyak pertandingan, beliau diajak seniman Allahyarham Ahmad Daud agar menyertai syarikat rakaman EMI dan berikutan itu beliau menghasilkan empat rekod jangka pendek (EP) dalam bahasa Inggeris dan empat EP dalam bahasa Melayu.
Selain lagu Kisah Cinta, lagu popularnya yang lain termasuklah lagu duetnya bersama Allahyarham Kartina Dahari seperti Antara Dua Dunia dan Kalau Jodoh Tak Kemana.
Selain lagu Melayu, beliau sering membawakan lagu-lagu Inggeris dan paling diingati kerana membawakan lagu Woman-Woman (nyanyian asal Gary Puckett & The Union Gap).
Sugiman dilahirkan di Bukit Chermin dekat Telok Blangah pada 1939 dan mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Kampong Jagoh dan Pulau Bukom English School.
Keluarganya berpindah ke Pulau Bukom apabila bapa tirinya mendapat kerja di pulau tersebut. Allahyarham kemudian menyertai syarikat Shell yang berpangkalan di pulau itu. Justeru apabila beliau melangkah ke bidang nyayian dan orang mendapat tahu pergerakan ulang aliknya dari Bukom ke Singapura, beliau mendapat jolongan "The Oily Man from Bukom."
Kisah Encik Sugiman dan keluargnya antara yang pernah dipapar dalam pameran Lembaga Warisan Negara (NHB) berjudul Balik Pulau: Kisah-kisah dari Kepulauan Singapura di Muzium Negara Singapura pada 2014.
Beliau berhenti kerja pada 1987 dan membuat kerja sambilan. Beliau mengisi masa lapangnya dengan beribadah.
Cik Rosewati dalam kiriman WhatsApp turut melahirkan penghargaan kepada mereka yang mengingati Allahyarham.
"Bagi pihak keluarga kami ingin mengucapkan terimakasih kepada saudara-mara dan rakan-rakan yang mengirimkan ucapan takziah dan doa terhadap Allahyarham. Inna lilahi wainnalilahi rajiun. Moga Allah tempatannya di Jannah," tulis Cik Rosewati.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg