Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Peminat bakar semangat Sanisah teruskan konsert

Tiga kali konsert tertunda ajar bintang legenda erti kesabaran demi susur jalan kenangan
Jun 21, 2022 | 05:30 AM



SEPANJANG menanti tarikh konsertnya yang sudah dibatal dan tertunda sebanyak tiga kali, biduanita Sanisah Huri banyak mengenal erti kesabaran dan reda dengan ketentuan Tuhan yang diyakini ada hikmahnya.



Bintang yang dikenali dek puluhan lagu yang 'meletup' di corong radio seperti Si Baju Hijau, Siapa Gerangan, Kisah Tuah dan Tijah dan Sejak Ku Bertemu Padamuitu akur kata-kata semangat peminat banyak memberinya harapan konsert ini akan diadakan juga akhirnya.



Justeru itu, pengumuman pihak Esplanade sebagai penganjur yang menetapkan 23 Julai sebagai tarikh konsert solo pertama berskala besar beliau diadakan merupakan satu kesyukuran dan berita baik yang dinanti-nanti.



Meskipun terkilan tidak dapat menyanyikan lagu Hari Raya malar segar yang dirancang, Sanisah, yang mencecah usia 70 tahun pada 7 Januari lalu berharap ramai akan terhibur dengan sajian 20 lagu hitnya.



Ketika ditemui Berita Harian di Esplanade baru-baru ini, Sanisah yang ditawarkan kontrak rakaman bersama label EMI sempena album runut bunyi filem A-Go-Go '67 berkata:



"Alhamdulillah, saya gembira akhirnya dapat mengadakan konsert ini dan bertemu penonton yang sudah lama menunggu. Cuma terkilanlah tak dapat nyanyi lagu Raya saya yang masih diputar di radio setiap musim Raya hingga ke hari ini.



"Memang ramai yang bertanya mengenai tarikh baru setelah konsert dibatalkan kerana Covid-19 beberapa kali. Tapi saya minta mereka menunggu sebab belum diputuskan tarikhnya ketika itu.



"Sekarang, perlahan-lahan latihan sudah dimulakan kembali walau secara bertahap.



"Saya hanya mohon doa ramai agar saya diberi kesihatan yang baik untuk mendendangkan semua lagu yang dirancang.



"Maklumlah nyanyi 20 lagu sekali gus dalam satu malam tidaklah mudah bagi seseorang yang sudah sampai usia '70 sen'."



Konsert Sanisah Huri - Pelayaran Seni Lima Darsawarsa yang diadakan di Dewan Konsert Esplanade mulai 8 malam ini awalnya dijadualkan diadakan pada Pesta Raya 2021 sekitar Jun tahun lalu.



Ia kemudian ditunda kepada 29 dan 30 Oktober lalu kerana pandemik Covid-19.



Namun, acara yang dinanti-nanti ramai itu juga tidak dapat diteruskan kerana situasi pandemik yang belum reda pada masa itu.



Sebelum ini, pada 2019, konsert solo Sanisah juga tidak dapat dilaksanakan kerana pertikaian penganjur.



Dalam wawancara tempoh hari, Sanisah menjelaskan antara perkara yang penolong peribadinya, Cik Rusedah Tawahid, usulkan buatnya adalah melakukan dendangan santai di media sosial sebagai membina keyakinan dirinya semula setelah lama tidak menyanyi 'live'.



Beliau yang pemalu juga diminta untuk lebih banyak berbual di pentas konsert untuk menceritakan perjalanan seninya selama lima dekad.



Pada Hari Raya lalu, sambutan baik diterima apabila klip video dirinya menyanyikan lagu Bersabarlah Sayang dengan iringan piano pemuzik Saedah Samat-Alkaff dimuatnaikkan ke laman Facebook Sanisah Huri yang dikendalikan pasukan pentadbir.



Video itu turut dikongsi di laman Facebook Berita Harian dan ditonton lebih 7,300 kali.



Kata Sanisah: "Sebagai 'orang lama', saya memang tidak begitu mesra teknologi maklumat.



"Tetapi apabila mendengar tentang video saya bersama Ajai empat tahun lalu tular di TikTok, saya pun tak sangka ia akan menarik minat ramai termasuk generasi muda.



"Dalam video itu, saya menyanyikan beberapa lagu Hari Raya saya yang malar segar. Ada tawaran untuk merakam semula lagu saya dalam koleksi kompilasi lagu Raya."



Video yang mencecah sejuta tontonan dimuatnaikkan Ajai untuk menunjukkan betapa profesional 'orang lama' seperti Sanisah di studio rakaman.



Dalam masa sehari sahaja, tiga lagu dirakam dengan lancar tanpa kesukaran dan tidak perlu diulang-ulang.



Sementara itu, antara perkara yang Sanisah kenang hingga hari ini adalah jasa penggubah lagu, Kassim Masdor dan penulis lirik, Yusnor Ef.



"Abang Kassim banyak memberikan saya tunjuk ajar dalam mencantikkan lagu dendangan saya. Biasanya dia beri pita demo untuk saya belajar irama dan hafal lirik.



"Saya pula kagum dengan keupayaan Cikgu Yusnor menulis lirik yang indah dan disisipkan dengan peribahasa, pantun dan fakta sejarah.



"Secara tidak langsung, ia menggalak pendengar untuk amati keindahan bahasa Melayu dan kaji lebih tentang kebudayaan dan sejarah seperti dalam lagu Taj Mahal, Lagu Peribahasa dan Kisah Tuah dan Tijah," jelasnya.



Kalau dikenang semula perjalanan seninya, Sanisah tidak menyesali pilihan yang dibuat untuk menjadi seorang penghibur dan sekali gus pemberi semangat.



"Saya masih teringat pada zaman kegemilangan lagu Si Baju Hijau yang membawa saya ke kem tentera di Johor, Perak dan Kuala Lumpur. Lagu itu benar-benar memberi semangat pada tentera yang berjuang untuk negara.



"Memang kenangan dengan peminat takkan saya lupa. Ada yang sanggup hadiahkan cincin emas dan berlian dan bermacam cenderahati lain. Ramai yang mendoakan," katanya.



Pernah terima lamaran daripada peminat? Sambil tertawa kecil, Sanisah berkata:



"Yang kirim surat berbau wangi dan mencantumkan nama saya dengannya ibarat kami pasangan tu adalah tapi saya tak layan. Nasib baik dia cuma kirim surat sekali. Takut pula."




► Nota: Tiket $35 dan $45 bagi konsert itu boleh ditempah di laman Esplanade.




"Memang ramai yang bertanya mengenai tarikh baru setelah konsert dibatalkan kerana Covid-19 beberapa kali.
Tapi saya minta mereka menunggu sebab belum diputuskan tarikhnya ketika itu...
Saya hanya mohon doa ramai agar saya diberi kesihatan yang baik untuk mendendangkan semua lagu yang dirancang.
Maklumlah nyanyi 20 lagu sekali gus dalam satu malam tidaklah mudah bagi seseorang yang sudah sampai usia '70 sen'."
- Penyanyi veteran, Sanisah Huri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >