Seorang anak kecil menambat hati warganet apabila dia menyanyikan lagu ‘Lemak Manis’ di pentas bersama dengan penyanyi asal lagu itu, Roslan Madun.
Anak kecil berumur dua tahun itu, yang dikenali sebagai adik ‘Arfa’ siap berbaju Melayu, bersongkok dan bersamping semasa di pentas bersama penyanyi idolanya.
Dalam video TikTok yang tular, Roslan Madun 70 tahun, dijemput membuat persembahan dalam sebuah acara Pertandingan Tarian & Lagu Melayu Asli anjuran Majlis Seni Sarawak. Beliau juga kelihatan serba lengkap dengan pakaian tradisional.
Sewaktu membuat ucapan pembukaan kepada penonton, Roslan tidak sempat menghabiskan ayatnya kerana dipotong oleh adik Arfa apabila muzik Lemak Manis dimainkan.
Afra dengan begitu konfiden melaungkan suaranya yang comel tepat pada masa permulaan lagu itu. Telatahnya itu mencuit hati penonton yang bersorak dan memberi tepukan gemuruh. Video yang baru dimuat naik oleh TVS Entertainment (20 November) telah disaksikan oleh sekurang-kurangnya 1.2 juta penonton TikTok dan sedang menular.
Tidak banyak yang diketahui tentang latar belakang anak kecil itu, tetapi sebelum ini, video adik Arfa menyanyikan lagu yang sama di sebuah majlis kenduri pernah dimuat naik dan dikongsikan ke media sosial.
Dari situ, beliau mendapat perhatian pihak media dan juga warganet yang memujinya kerana bijak menghafal lagu tradisional serta menyanyikan dengan lenggoknya sekali.
Sebuah komen dari seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Kapitan Malaya mengatakan :
“Penyambung warisan...tak peduli sifu tengah bercakap...tiba pada key masuk terus masuk…”
Seorang lagi pengguna @UmmiAdamBiz pula berkata “Tak bagi peluang betul Arfa dengan pemilik lagu hahahhaha aduuuui comey..”
Lagu ‘Lemak manis’ merupakan lagu rakyat yang dipopularkan Roslan Madun, seorang penggiat seni yang telah lama memperjuangkan lagu rakyat dan puisi tradisional. Lagu Lemak Manis telah direka hampir dua dekad lalu dan dinyanyikannya sejak 1982.
Dalam petikan dari laporan lain, Roslan berkata beliau menganggap sambutan generasi sekarang terhadap Lemak Manis sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka.
“Keadaan ini saya ibaratkan seperti roda yang berpusing. Siapa sangka ia popular semula. Inilah yang dikatakan rezeki.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg