Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peminat dibuai nostalgia, lirik puitis

Dec 18, 2024 | 5:30 AM
Encik Nur Azman Suleman (kiri) bersama isteri, Cik Nur Diana Arasid, ketika menyaksikan konsert Air Supply pada 13 Disember. 
Encik Nur Azman Suleman (kiri) bersama isteri, Cik Nur Diana Arasid, ketika menyaksikan konsert Air Supply pada 13 Disember.  - Foto ihsan NUR AZMAN SULEMAN

Pesara dan nenek lapan cucu, Cik Hawa Sahari, 60 tahun, membesar dengan lagu-lagu malar segar Air Supply yang ‘tangkap lentok’.

Beliau bahkan rasa bertuah dapat menonton konsert sempena ulang tahun ke-50 kumpulan itu yang terdiri daripada Graham Russell, 74 tahun, dan Russell Hitchcock, 75 tahun, di Pusat Konvensyen Resorts World Singapore (RWS) pada 13 Disember lalu.

Lebih manis lagi, adiknya yang menetap di London membelikannya tiket untuk menonton konsert berjudul The Lost in Love Experience Once More.

“Saya tak duga dapat tonton konsert Air Supply ini. Adik saya yang sudah berkeluarga dan tinggal di London tidak memberitahu saya tentang konsert ini. Dia nak beri kejutan kepada saya!” kongsi Cik Hawa yang turut meminati kumpulan Abba, Foreigners dan Bee Gees.

Sementara itu, Cik Anita Sulman, 50-an tahun, sentiasa tidak terlepas peluang menyaksikan konsert Air Supply setiap kali duo yang berasal dari Melbourne, Australia itu singgah ke Kota Singa.

“Hampir kesemua lagu Air Supply saya tahu dan minati.

“Pada pendapat saya, kumpulan ini mempunyai keunikan tersendiri dengan seni kata yang mudah difahami dan mudah dinyanyikan bersama, berbanding kumpulan sekarang.

“Muzik band sekarang terlalu kuat. Kadangkala, seni katanya pula tidak kedengaran langsung.

“Bagi saya, kumpulan Air Supply mampu bertahan dan berkarya hingga kini kerana muziknya merdu dan menyenangkan halwa telinga.

“Saya kira boleh tahan jugalah mereka ni. Dah berusia 70-an tahun tetapi masih boleh menyanyi dengan baik dan menghiburkan semua peminat mereka,” kata Cik Anita, ibu lima anak yang gemar menonton konsert bintang antarabangsa seperti Micheal Bolton, Sheena Easton, Maher Zain dan Rod Stewart.

Dalam kalangan mereka yang sudah berusia matang dan lahir pada era kegemilangan Air Supply, ada juga peminat muda seperti Encik Nur Azman Suleman, 31 tahun, yang menggemari lagu lama.

Beliau yang menganggap dirinya sebagai generasi muda dengan jiwa lama atau ‘old soul’ berkata lagu Air Supply mempunyai irama yang indah dan seni kata yang ditulis dengan penuh puitis dan romantis.

“Saya menggemari Air Supply sejak remaja lagi, kerana ibu saya sering memutarkan lagu-lagu mereka di cakera padat semasa memasak dahulu.

“Keistimewaan mereka adalah suara yang lunak merdu dengan gabungan muzik yang sangat harmoni dan padu,” kata kakitangan awam yang menggemari lagu Without You.

Beliau yang telah membelanjakan sehingga $326 untuk menonton konsert tersebut bersama isterinya, berharap dapat membawa ibu bapanya pula untuk menyaksikan Air Supply pada kesempatan lain.

“Bagi saya, kumpulan lama seperti The Beatles, Deep Purple, The Rolling Stones, Sweet Charity, Black Dog Bone, Kembara dan band seangkatan mereka, mempunyai rentak muzik yang menarik dan enak didengar.

“Lagu-lagu mereka juga menusuk kalbu. Tak samalah dengan muzik zaman sekarang,” ujar Encik Nur Azman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg