Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18

Peminat tegar usahakan bina rumah, penerbitan buku Nordin Ahmad

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Peminat tegar usahakan bina rumah, penerbitan buku Nordin Ahmad

Oct 21, 2018 | 05:30 AM



KALI pertama menonton legenda filem Nordin Ahmad melakonkan watak Panglima Alang Yahya, Encik Hidir Ali Razali terpaku di depan kaca televisyen.



Beliau yang baru berusia 10 tahun ketika itu dapat merasakan aura wira yang dimiliki bintang kacak itu khususnya apabila membuka langkah bersilat dengan lawan.



Itulah detik yang terpahat di hati usahawan dari Shah Alam, Selangor, Malaysia, itu mahu menyelongkar lebih mendalam tentang pelakon kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang itu.



Usahanya mengkaji tentang Nordin yang merupakan kerani di pangkalan Tentera Udara Diraja British di kawasan Seletar sebelum bergelar bintang filem Malay Film Productions dan Cathay-Keris itu mengambil masa 25 tahun.



Kini, pada usia 35 tahun, Encik Hidir gembira dua projek sebagai sanjungan terhadap jasa dan sumbangan Allahyarham kepada dunia filem Melayu klasik dapat diabadikan.



Pertama, Hidir bakal melancarkan buku tentang riwayat hidup Nordin yang popular kerana filem seperti Tajul Ashikin, Cucu Datuk Merah dan Raden Mas.



Ia dihasilkan daripada kajian Encik Hidir tentang Nordin mengikut kaca mata pelakon gandingannya ataupun anak-anak yang masih menetap di Singapura.



Kedua, beliau dan rakan-rakan daripada Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik dapat bekerjasama dengan Komuniti Rumah Kayu di Sungai Besar, Selangor, bagi membina Rumah Nordin Ahmad.



Rumah dua tingkat itu yang berdiri megah di Kampung Tebuk Haji Yusof, Sungai Besar sekitar Sabak Bernam di Selangor, mirip rumah asal Nordin.



Selain berfungsi seperti muzium kecil dengan koleksi foto Nordin dengan keluarga dan bintang gandingannya (termasuk Latifah Omar dan Roseyatimah), ia juga dipasarkan sebagai rumah penginapan 'homestay' buat mereka yang ingin 'menghirup udara klasik' ala dalam filem Melayu.



Sebagaimana kata Encik Hidir kepada Gah!:



"Saya begitu kagum dengan pencapaian dan mutu lakonan Nordin yang dikenali ramai di Singapura dan Malaysia.



"Sanggup saya mengumpul segala bahan rencana majalah dan surat khabar mengenainya.



"Selain P. Ramlee dan Normadiah, saya merasakan Nordin meninggalkan impak yang besar daripada segi gaya lakonan dan penguasaan watak sebagaimana yang diakui pelakon lain yang pernah ditemui.



"Beliau mengkaji watak dahulu dan tidak 'semberono' dalam menghidupkan peranannya. Bijak pula beliau bermain emosi lantas sukar dicari ganti."



Encik Hidir yang merupakan lulusan ijazah sains sukan menambah bahawa minatnya menebal bagi mendekati veteran dalam bidang lakonan setelah menganggotai Persatuan Peminat P. Ramlee Malaysia.



"Saya berbual dengan arwah Latifah Omar yang sering digandingkan dengan Nordin. Beliau menangis terisak-isak.



"Pernah juga Latifah dipukul betul-betul dan ditarik rambutnya dalam filem Cucu Datuk Merah. Menurutnya, semasa latihan tak ada babak ini tetapi apabila diminta berlakon dengan serius, Nordin benarbenar menghidupkan watak garang itu," tambahnya.



Dengan terbinanya Rumah Nordin Ahmad itu, Encik Hidir berharap akan ada usaha mengabadikan tokoh-tokoh filem Melayu lain agar tidak dilupakan dengan peredaran masa.



"Ini merupakan usaha kecil-kecilan kami dalam mengenang jasa Nordin. Projek ini juga menggembirakan anak-anaknya.



"Saya harus berterima kasih kepada Encik Budiman Mohd Zohdi daripada Komuniti Rumah Kayu yang memberi kami peluang menyarankan agar nama Nordin diabadikan di rumah penginapan 'homestay' ini. Beliau sedang mencari tokoh malah telah ada Rumah Hamka tidak jauh dari Rumah Nordin Ahmad ini.



"Mudah-mudahan, kami dapat usahakan sesuatu buat ikon filem Melayu yang lain atau watak seperti 'Bujang Lapok'. Projek sebegini juga baik sebab tenaga orang kampung juga diperolehi bagi tujuan gotongroyong demi seni Melayu," tambah Encik Hidir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >