Topik diikuti
Pergi ke BHkuPempengaruh media sosial pilih kerjaya pencipta kandungan
Pempengaruh media sosial pilih kerjaya pencipta kandungan
Pempengaruh media sosial pilih kerjaya pencipta kandungan
ORANGNYA kecil molek dan manis paras rupawan.
Dengan pengikut lebih 28.7 ribu di Instagram, gadis cilik, 31 tahun, itu ialah seorang pencipta kandungan dan disifatkan sebagai pempengaruh yang kian ligat di media sosial.
Hanan atau nama di akaun Instagramnya 'Phsha' iaitu nama singkatan untuk namanya sebenar, Hanan Sheikh Helme Al-Johary juga sudah dikenali sebagai pelakon baru, setelah berjinak-jinak dalam beberapa drama Melayu setempat.
"Huruf P di depan 'phsha' adalah nama timangan keluarga saya untuk saya," katanya ingin merahsiakan apa sebenarnya makna di sebalik huruf itu.
Antara watak yang gemar beliau mainkan ialah watak selaku, Sarah dalam drama bersiri, Tai Tai Berkecai.
Beliau juga pernah berlakon dalam drama terbitan Mediacorp, Marhaban Ramadan dan siri cereka sains, Dualiti.
Sabtu ini, Hanan akan muncul dalam rancangan kandungan Berita Harian, OMG! Orang Muda Gitew bersama beberapa pempengaruh lain untuk membincangkan isu media sosial.
Menyentuh tentang penglibatannya, Hanan berkata: "Sangat menyeronokkan! Saya dapat berjumpa dengan ramai orang yang sedang melalui fasa yang berbeza dalam kehidupan mereka.
"Mereka lebih muda daripada saya, jadi sedikit sebanyak saya dapat ambil tahu tentang kehidupan dalam dunia media sosial yang moden ini."
Topik yang akan dikupas pada minggu ini ialah tentang pengaruh media sosial serta baik buruknya.
Hanan mengakui pernah dibuli di media sosial tetapi menganggap penting untuk seseorang menjauhkan diri daripada media sosial jika ia mendatangkan mudarat.
Tahun ini merupakan tahun ketiga Hanan mendedikasikan sepenuh masanya sebagai pencipta kandungan.
Pada awalnya, Hanan bermula dengan menjual lilin wangian buatannya pada 2017.
Daripada situ, beliau mendapat ramai pengikut dan kemudian mengambil keputusan meneruskan saja kerjaya sebagai pencipta kandungan.
"Saya buka akaun Instagram saya kepada orang awam untuk membantu bisnes kecil-kecilan itu dan tidak sangka, pada 2018, saya mula meraih keuntungan dengan cara berkolaborasi."
Menurut Hanan yang juga seorang siswazah sarjana muda perbankan dan kewangan, kerjaya yang dipilihnya memberikannya ruang untuk berdikari dan menyesuaikan masa dengan apa yang lebih penting dalam hidupnya.
"Saya tidak sukakan pekerjaan yang mengikut rutin, pekerjaan sekarang memberi ruang untuk saya mencabar diri saya sendiri," tambahnya.
Hanan juga mengaku, latar belakangnya dalam bidang itu membantunya menguruskan kewangannya.
Kebetulan, Hanan juga akan berkongsi dengan penonton OMG! Orang Muda Gitew tentang isu kewangan dalam episod akan datang.
Anak tunggal itu juga sudah mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hatinya sejak enam tahun lalu.
Suaminya Encik Adzfar Alami merupakan seorang peguam, dan berusia lima tahun lebih tua darinya.
Umur tidak menjadi penghalang, malah Hanan berkongsi tentang suaminya dengan berkata:
"Saya amat tertarik dengan perwatakannya. Beliau mendengar dan tidak pernah mengecilkan sesiapa. Itu antara perwatakan yang jarang saya temui dalam seseorang lelaki."
Pada masa lapang, mereka selalu bersama keluarga atau apabila di rumah, lebih senang menonton televisyen bersama.
Setelah berjinak-jinak dalam bidang lakonan, Hanan juga telah diberi peluang mengacara dan kerap mendapat undangan ke acara dengan kerjayanya sebagai pempengaruh.
Ini termasuk jemputan ke majlis terutamanya dalam produk wanita seperti pakaian dan kecantikan.
"Saya ingin meneroka lebih dalam bidang pengacaraan, tetapi, bidang tarian dan nyanyian, jauh sekali!," katanya sambil ketawa.
Saksikan Hanan bersama dua lagi pempengaruh muda, Waizeer dan Sabrina Tulos berkongsi pendapat mereka di OMG! Orang Muda Gitew yang akan dimuat naik Sabtu ini pada 2 petang di semua wadah digital BH, termasuk Instagram, Facebook, TikTok dan juga YouTube.
Program kandungan digital khas tidak lebih 10 minit ini akan mengupas topik-topik yang dekat di hati orang muda secara santai di dalam studio.
"Saya buka akaun Instagram saya kepada orang awam untuk membantu bisnes kecil-kecilan itu (menjual lilin wangian) dan tidak sangka, pada 2018, saya mula meraih keuntungan dengan cara berkolaborasi. Saya tidak sukakan pekerjaan yang mengikut rutin, pekerjaan sekarang memberi ruang untuk saya mencabar diri saya sendiri." - Hanan Sheikh Helme Al-Johary, seorang pempengaruh, yang dikenali sebagai Hanan atau 'Phsha'.
