Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pemuzik, penyanyi kelab S'pura urus kafe di Bali

Tiga sekawan harungi kesukaran pantau bisnes di rantauan dalam pandemik Covid-19
Oct 19, 2020 | 05:30 AM



Penyanyi dan pemuzik kelab malam di Singapura adalah antara golongan yang sangat terjejas pekerjaannya dalam tempoh pandemik Covid-19. Bagaimanapun, dalam menempuh kesulitan wabak ini, tiga anak Melayu Singapura dalam dunia hiburan kelab malam, kian serius menebar impian dan memperkukuh pelan niaga kafe di Bali. BERITA HARIAN melaporkan. 



EMPAT bulan lalu, tatkala wabak Covid-19 pesat menular dan mengancam keselamatan penduduk dunia, pemuzik Singapura, Encik Zailani Khamis, dan penyanyi kelab Rohaizat Wardi mengambil langkah berani membuka kafe di Bali.



Brickhouse Cafe & Bistro Bali yang terletak di kota Denpasar dibangunkan dengan modal $70,000.



Mereka kini menguruskannya dari kejauhan Kota Singa bersama seorang lagi rakan, penyanyi kelab di Singapura, Cik Noor Aishah Yusof Rais Al-Aswad, yang lebih mesra dengan panggilan Nora.



Langkah berani membuka kafe di Denpasar itu diambil lima tahun selepas mereka membuka Brickhouse Cafe di Seminyak, Bali, bersama tiga rakan niaga yang bertugas di luar sektor hiburan.



Sayangnya, kafe yang ditubuhkan dengan modal $140,000 itu tidak bertahan lama meskipun mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.



Perbezaan pendapat membuatkan mereka payah sehala menentukan arah tuju dan strategi perniagaan kafe tersebut yang tutup selepas tiga tahun beroperasi.



Apakah yang membuatkan tiga sekawan ini sepakat mencari hikmah di sebalik pandemik Covid-19 ini dengan menceburi bidang perniagaan?



Bagaimana mereka menangani kesulitan memantau kafe ini dari jauh dek sekatan kembara yang belum dilonggarkan?



Ikuti wawancara bersama Encik Zailani, 59 tahun; Encik Rohaizat, 56 tahun; dan Cik Nora, 50 tahun.



Soalan (S): Bagaimana timbulnya idea membuka Brickhouse Cafe di Seminyak dan kini di Denpasar?



Encik Zailani (Z): Idea menjadi pengusaha kafe sebenarnya bermula sejak 2010 lagi. Kami melihat trend dan budaya masyarakat yang suka menikmati waktu santai dengan menghirup kopi 'canggih'.



Banyak jenama terkenal seperti Starbucks dan The Coffee Bean & Tea Leaf bermain di bibir ramai.



Pada masa itu, Rohaizat menyanyi di Bali. Kami berdua cuba memahami langkah-langkah yang diperlukan bagi mengurus kafe.



Dalam kami berbincang, wujud tiga kenalan bukan pemuzik yang berminat melabur bagi kafe di Bali ini.



Antara faktor yang menarik perhatian kami adalah sewa murah dan kos operasi yang agak rendah berbanding mengendalikan kafe di Singapura.



Unit dua tingkat yang kami sewa bagi kafe ini sungguh menarik dan unik dari segi rekaan dan ubah eloknya.



Sebagai contoh, besi lama pada roda basikal digunakan sebagai perhiasan lampu.



Memandangkan kedudukannya berdekatan Made Warung, restoran yang menyediakan makanan Bali dan terkenal, maka kafe kami turut menjadi persinggahan pengunjung daripada pelbagai lapisan usia.



Rata-rata, ramai pengunjung merupakan pelancong Australia. Perniagaan kami memang sangat menggalakkan. Sambutannya luar biasa.



Sayangnya, kami terpaksa tutup kedai kerana tidak sehala pendapat.



Encik Rohaizat (R): Mengenai kafe baru kami di Denpasar, ia ditubuhkan sewaktu pandemik, empat bulan lalu.



Saya yang masih bekerja di Bali menyarankan kepada Zailani agar sama-sama membangun kafe ini di bangunan yang baru sahaja selesai dibina pemiliknya.



Walaupun ruangnya lebih kecil daripada unit di Seminyak, kami bersetuju menggunakan unit ini kerana sewanya yang agak murah dek Covid-19.



Terus terang, keinginan kami meniaga masih tidak pudar. Dengan adanya Nora, kami bertiga menjadi pengusaha bersama Brickhouse Cafe & Bistro Bali.



S: Berapa ramai pekerja mengendalikan kafe baru ini dan bagaimana suasana niaga dalam keadaan sektor pelancongan juga teruk terjejas?



Z: Buat masa ini, kami mempunyai enam pekerja Indonesia. Perniagaan memang kurang menggalakkan kerana tiada pengunjung asing buat masa ini.



Namun, mudah-mudahan bisnes akan kembali rancak apabila keadaan berubah dan virus ini kian reda. Itulah doa kami setiap hari agar Covid-19 ini akan lenyap dengan pengunjung asing mula kembali ke Bali.



R: Keadaan pula semakin sukar buat saya. Sekitar September lalu, ketetapan agar penduduk asing tidak dibenarkan terus tinggal dan bekerja di Bali dikuatkuasakan.



Mujurlah, kami mempunyai pekerja yang boleh dipercayai di kafe ini. Beliau menguruskan bisnes harian Brickhouse.



S: Apakah perancangan anda pada tempoh pasca Covid-19 kelak?



Z: Pertama sekali, kami ingin berkunjung ke Bali dan meninjau sendiri keadaan kafe kami. Terkilan rasanya sebab hanya mampu memantau dari jauh menerusi layar sistem kamera litar tertutup (CCTV) sahaja.



Banyak yang perlu kami ubah suai khususnya ruang luar, atau alfresco. Kami ingin memasang atap bagi melindungi pelanggan daripada panas atau hujan.



Kerjaya muzik kami pula terhenti buat sementara ini. Operasi kelab malam rasanya hanya akan disambung semula tahun depan.



Alhamdulillah, kerana saya juga ejen rumah, pendapatan dan tugas saya tidak begitu terjejas. Kerja muzik sahaja terganggu.



Cik Nora (N): Saya hanya duduk di rumah sambil menghiburkan anggota keluarga selain bertemu beberapa teman lama.



R: Saya baru pulang ke Singapura sejak sebulan lalu. Ini masa bertemu semula saudara-mara dan teman-teman yang lama tidak ditemui kerana saya di rantauan.



S: Apakah pengajaran yang diraih daripada berniaga?



Z: Setiap urusan niaga mempunyai keperluan berbeza. Namun, kita tidak boleh ambil lewa dan perlu prihatin dan peka dengan setiap operasi niaga. Kesabaran amat penting sebab banyak cabaran akan ditempuhi.



N: Kerana ini pengalaman pertama saya berniaga, saya berusaha memahami setiap aspek perniagaan. Bagi saya, menjadi usahawan adalah satu peningkatan diri.



R: Saya akur banyak cabaran perniagaan, apa lagi kafe yang diuruskan di rantauan. Banyak proses dan undang-undang meniaga di Bali yang perlu diteliti. Ada beza antara perniagaan di Singapura dengan di Bali.



Kita mesti prihatin dan sabar mengatasi masalah yang akan timbul.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >