Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemuzik S'pura penuhi impian arwah isteri, terbit lagu ciptaan bersama
Pemuzik S'pura penuhi impian arwah isteri, terbit lagu ciptaan bersama
Nashriq Sani simpan kenangan manis bersama arwah Nadya Dean, ketengah bakat baru Amir Mansor dan Sarah Adriana
Pemuzik S'pura penuhi impian arwah isteri, terbit lagu ciptaan bersama
DUA tahun lamanya lagu Buka Hatimu yang dicipta pemuzik Singapura Nashriq Sani tertunggak selepas pemergian mendadak isterinya, 'rapper' Nadya Dean, pada 31 Oktober 2021.
Nadya, 27 tahun, yang juga pencipta bersama lagu berkenaan menghembuskan nafas terakhir setelah 11 hari tidak sedarkan diri di Hospital Besar Changi (CGH).
Beliau disahkan doktor meninggal dunia kerana eklampsia, yang merupakan serangan koma tiba-tiba pada wanita hamil yang disebabkan tekanan darah terlalu tinggi sehingga mengganggu aktiviti otak.
Awal dari itu, Allahyarhamha melahirkan anak keduanya yang pramatang (dilahirkan setelah dalam kandungan selama tujuh bulan), Muhammad Haqq Nashriq.
Pada tempoh mencabar itu, Nashriq menyesuaikan diri dengan amanah besar sebagai bapa tunggal kepada dua anak yang kini berusia tiga dan dua tahun serta komitmen tugas harian.
Mujurlah, keluarganya dan keluarga arwah Nadya banyak memberi sokongan padu untuk membantunya menggalas amanah tersebut dan meneruskan kehidupan.
Hari ini, Nashriq bersyukur lagu Bukalah Hatimu yang berlandaskan kisah cintanya dan isterinya itu dapat direalisasikan dengan dendangan dua bakat setempat berpotensi besar, Amir Mansor dan Sarah Adriana.
Kededuanya merupakan rakan yang Nadya temui dalam peraduan adubakat Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 2.0.
Ketika dihubungi Berita Harian, Nashriq berkata:
"Alhamdulillah, saya lega dapat keluarkan lagu Buka Hatimu ini akhirnya. Sebenarnya, ada beberapa lagu ciptaan saya dan arwah isteri yang masih belum terakam dan dalam simpanan sebab banyak urusan lain yang harus saya fikirkan.
"Buka Hatimu juga merupakan lagu yang bermakna buat saya. Ia dicipta pada 12 malam ketika saya dan arwah ketika itu tak dapat tidur. Saya sedang dengar lagu yang 'hype' dan Nadya mengusulkan kepada saya, mengapa tidak kita cipta lagu yang berbeza?
"Dia minta saya bikin melodi dan dia bantu memperhalusinya. Kami pun belum tahu siapa nak nyanyikan lagu itu dan bila nak keluarkan. Tapi Nadya tahu dia ingin ketengahkan bakat Singapura yang belum diberi pendedahan sewajarnya.
"Maka dia memilih Sarah dan Amir yang berpotensi besar dan memiliki suara yang unik dan serasi. Suara mereka macam remaja...suara muda yang kami rasa sesuai dengan konsep lagu cinta gembira ini."
Amir, juga seorang penerbit, gemarkan irama lagu ini yang 'catchy' dan mengingatkannya tentang lagu penyanyi Indonesia Rossa, Pudar.
Sarah yang bertugas sepenuh masa sebagai pegawai khidmat langganan di Lapangan Terbang Seletar pula menyifatkan Buka Hatimu sebagai memiliki unsur teatrikal yang beliau kemudian suntikkan dengan lenggok jaz tanpa mengabaikan nuansa kemelayuannya.
Apa yang menarik mengenai lagu ini adalah video muziknya yang dibuat secara santai hanya dengan menggunakan telefon bimbit.
Kata Sarah yang mengarah dan menyunting video itu sendiri:
"Sebenarnya, kami tak rancang nak bikin video muzik. Rancangan awal cuma nak bikin 'reel' ringkas sahaja untuk memasarkan dan mempromosikan lagu ini.
"Alhamdulillah, saya mempunyai pengalaman menyunting video dan merakam video daripada syarikat di mana saya bekerja sambil belajar dahulu.
"Kami bekerja mengikut bajet seadanya. Bagi saya, kalau kita buat sesuatu dengan ikhlas dan seronok melakukannya, kita takkan rasa rintangan dan bebanannya. Allah akan permudahkan. Walaupun setakat guna telefon bimbit, semuanya berjalan baik mengikut yang dirancang."
Konsep muzik video ini adalah paparan cinta dua anak muda yang gila-gila.
Mempromosikannya bagi Sarah adalah dengan menghubungi secara peribadi rakan dan saudara-mara atau mengirim pesanan WhatsApp kepada mereka.
"Saya tidak begitu 'melekat' dengan media sosial kerana enggan 'ketagihan' sampai payah nak lepas sehingga lupakan perkara lain yang lebih bermanfaat.
"Justeru, macam 'mak cik-mak cik' kita gunakan cara tradisional dengan menghubungi secara peribadi kenalan kita. Jangan remehkan kuasa komunikasi tradisional ini. Saya sudah mencubanya dalam peraduan yang saya sertai. Satu 'kampung' beri sokongan," selorohnya.
Ditanya mengenai lagu duet yang menjadi inspirasi, Nashriq menjelaskan beliau gemarkan lagu runut bunyi drama (OST) yang membawa pendengar ke dalam dunia lakonan drama itu sendiri dengan auranya begitu terasa.
Amir pula sukakan lagu duet Afgan dan Raisa serta Ernie dan Syamel yang dapat dirasakan keserasian vokal dan mesej cinta dek penghayatan vokalis-vokalis terbaik Indonesia dan Malaysia ini.
Kata Sarah:
"Saya pun sukakan lagu duet OST tapi paling 'best' apabila dengar Rossa atau Cakra Khan berduet sebab mereka boleh beri penghayatan yang sangat baik sehinggakan kita rasa diri kita tenggelam dalam kisah cinta yang mereka sampaikan."
Amir dan Sarah juga bakal terlibat dalam satu projek lagu Raya, Yay Raya, bersama dua bakat lain, Danial Baharin dan Mai Dhaniyah.
Ia adalah sambungan pada projek tahun lalu, Pat Ketupat Lepat, yang menarik perhatian ramai, kerana gerak tari yang boleh ditularkan di Instagram dan TikTok.
Kededua lagu merupakan ciptaan bersama komposer tempatan, Mohamed Zulhilmi Mohamed Ya'acob dan Nurariff Mohamed.
Nashriq pula sudah ada lagu baru yang bakal diusahakan dengan khidmat penerbitan Amir yang akan dijayakan Danial dan Rahila Rashun.
"Ini satu lagi lagu ciptaan arwah isteri yang ingin kami usahakan perlahan-lahan yang menggandingkan dua 'powerhouse' dari segi vokal," katanya.
