Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Penat betul jual mi rebus, boleh pengsan'

Jun 5, 2022 | 5:30 AM
SHARON ISMAIL: Berpendapat bahawa keadaan (stereotaip kaum tertentu dalam drama Channel 5 dahulu) sudah berubah kini. Tembok stereotaip sudah dapat dipecahkan dengan kepekaan penulis naskhah drama untuk tidak kaitkan stereotaip tertentu pada watak Melayu, Cina atau India. - Foto BM oleh KHALID BABA
SHARON ISMAIL: Berpendapat bahawa keadaan (stereotaip kaum tertentu dalam drama Channel 5 dahulu) sudah berubah kini. Tembok stereotaip sudah dapat dipecahkan dengan kepekaan penulis naskhah drama untuk tidak kaitkan stereotaip tertentu pada watak Melayu, Cina atau India. - Foto BM oleh KHALID BABA -

OLOK-OLOK jadi penjaja mi rebus dalam drama Channel 5, 128 Circle sahaja sudah memenatkan... apa lagi kalau benar-benar menyara kehidupan dengan tugasan ini?... Tak dapat nak dibayangkan... boleh pengsan!

Demikian pandangan jujur pengacara dan pelakon, Sharon Ismail, 48 tahun, ketika berkongsi peranannya dalam drama berbilang bahasa yang sudah dua musim disiarkan di kaca televisyen dan aplikasi meWATCH.

Selepas membawa watak Aishah Mohd Noor yang hidup kesepian sebagai anak tunggal yang kematian suami dan tiada cahaya mata, rasa hormat Sharon pada golongan penjaja lebih bertambah.

Beliau banyak berbincang dengan pengarah Thean-Jeen (TJ) dan isterinya bagaimana paparkan golongan penjaja sebagai wira harian yang bertungkus-lumus dan amat terjejas penakatannya sewaktu pandemik Covid-19.

SANJUNGAN BUAT PENJAJA

Sharon, ibu dua anak remaja, Sarah, 15 tahun, dan Iman, 12 tahun, teruja menceritakan peluang menghidupkan watak penjaja mi rebus yang dipukul badai kehidupan, termasuk krisis persahabatan dengan Nurul (lakonan Siti Hajar Gani).

"Saya sudah biasa bekerjasama dengan TJ dalam Code of Law dan Forensik sebelum ini.

"Apabila beliau mendedahkan tentang projek drama tentang sekumpulan penjaja berbilang bangsa, 128 Circle, dan tidak pasti sama ada saya ingin menjalani uji bakat untuknya, saya yang sudah lama nantikan kelainan bagi watak yang saya bawakan selama ini, terfikir mengapa tidak?

"Menyelami watak penjaja memang cukup membuka mata. Orang tak nampak kesusahan dan pengorbanan mereka setiap hari. Nak siapkan bahan masakan awal pagi. Sesetengahnya mungkin tutup kedai 5 petang tetapi apabila pulang, mereka pastinya perlu siapkan rencah untuk jualan esok atau masak semalaman. Ini berlaku setiap hari tanpa henti, tahun berganti tahun.

"Selepas musim pertama tamat, saya tidak menjangkakan kisah Aishah akan dilanjutkan bagi musim kedua. Saya hanya gembira dapat keluar dari zon lakonan sebagai karyawan atau polis, watak yang selalu diberikan kepada saya. Gembira Sharon Ismail boleh juga bawa watak penjaja.

"Justeru, apabila musim kedua 128 Circle dihasilkan, saya memberitahu TJ, kita harus wujudkan senario pandemik, suatu realiti yang berlaku dan banyak menjejas penjaja. Musim kedua ibarat warkah cinta buat Singapura sewaktu pandemik.

"Dengan perubahan ketetapan keselamatan yang bertukar-tukar dari segi bilangan pengunjung yang boleh makan bersama, penjajalah banyak terjejas. Bagaimana nak teruskan meniaga? Kita harus papar penjaja sebagai wira yang wajar disanjung," kongsi Sharon, yang bertugas sepenuh masa sebagai Penolong Pengarah (Kehidupan Pelajar) dan pensyarah kanan di Politeknik Ngee Ann (NP).

SELAMI EMOSI SEPI WANITA

Sharon membawakan watak yang bergelut dengan emosi dan dambakan kehadiran cahaya mata sehingga menganggap anak jirannya persis anak sendiri.

Budak itu merupakan seorang remaja yang hidup terbiar apabila orang tuanya bekerja.

"Saya 'masuk' ke dalam watak wanita yang bekerja dengan waktu yang panjang, tiada sistem sokongan dan permohonan menjadi ibu angkat pula ditolak.

"Ada banyak isu sampingan yang diketengahkan dalam 128 Circle. Tapi saya paling seronok menghayati budaya penjaja, sesuatu yang bermakna dan wajar disanjung di Singapura. Jiwa 'budak kampung' dalam diri saya pun keluar dengan membawakan watak Aishah yang bekerja pantas dan tidak buang masa," tambahnya.

PENEMUAN MENARIK DI SET

Sepanjang penggambaran kededua musim, banyak yang perlu ditempuhi apabila penyesuaian perlu dibuat tatkala kru dan pelakon dijangkiti Covid-19.

Namun, Sharon amat hargai setiap detik penggambaran yang memperkaya pengalamannya.

Di set penggambaran 128 Circle jugalah, keserasiannya lebih terbina bersama Siti Hajar, juga 48 tahun.

Sebagai Aishah dan Nurul, mereka boleh bertekak secara realistik malahan menggunakan bahasa selamba yang kasar. Mereka juga baru menyedari mereka satu kampung setelah lama mengenali.

"Semasa menanti waktu adegan dimulakan, saya sedang tengok gambar anak kucing pada telefon bimbit saya. Rupanya sepupu saya di United Kingdom tu kawan sedarjah Hajar. Barulah dapat tahu kami sekampung rupanya," kongsi Sharon.

"Yang seronoknya, dalam drama berbilang bahasa, kita mudah tukar bahasa dari Inggeris ke Melayu...biasanya dalam bab marah. Jangan katakan dalam set drama... di rumah pun, kalau saya marah dalam bahasa Melayu, anak-anak saya takut!" ceritanya lagi.

DUNIA TV KINI LEBIH PEKA

Sharon, yang memulakan penglibatan seninya dengan mengacara rancangan infopendidikan Klinik Kita pada 1997 dan kemudian menjayakan drama keluarga Sayang Semuanya, yang membawa pada piala Pesta Perdana bagi Pelakon Wanita Terbaik, mendapati dunia televisyen sudah jauh berubah.

"Saya dapati drama Channel 5 dahulu mempunyai stereotaip kaum tertentu dengan penulisan skrip yang kurang mendalam dan terlalu terbatas.

"Keadaannya sudah berubah kini. Tembok stereotaip sudah dapat dipecahkan dengan kepekaan penulis naskhah drama untuk tidak kaitkan stereotaip tertentu pada watak Melayu, Cina atau India.

"Sebagai pensyarah media, saya selalu meneliti perkara ini," katanya.

SIBUK DI KAMPUS, AMANAH SOSIAL

Masanya di NP kini tertumpu pada tugas menyelaras perihal berkenaan program bekerja sambil belajar, acara kampus, biasiswa dan kegiatan kokurikular pelajar.

Namun, beliau gembira dapat terlibat dalam kempen sosial dalam talian dan mengacara rancangan kesihatan mental, Misteri Minda, di Suria, dalam tempoh pandemik.

"Program ini menyelongkar apa yang dilalui individu apabila dilanda bermacam penyakit mental daripada kemurungan, keresahan dan skizofrenia. Penting untuk kita tidak melabel orang sebegini gila," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg