Penyanyi Indonesia tidak asing lagi, Hetty Koes Endang, berdepan saman RM150,000 ($43,096) daripada komposer Richard Kyoto, atas dakwaan melanggar hak cipta lagu hasil karyanya, iaitu Kasih.
Hetty, 67 tahun, didakwa melakukan kesalahan tersebut pada Konsert Satu Suara Volume 2, yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada November 2015.
Dalam satu sidang media di Jakarta Selatan pada 16 Julai, Richard mendakwa penyanyi legenda Indonesia itu bukan sahaja tidak mendapat keizinan menyanyikan lagu tersebut, malah, menukar lirik pada konsert berkenaan.
Lirik aslinya, ‘kasih, percayalah kepada diriku, hidup matiku hanyalah untukmu’ dikatakan diubah menjadi ‘kasih percayalah kepada diriku, kasih sayangku hanyalah untukmu’.
Tidak hanya itu, Richard mendakwa persembahan lagu berkenaan juga dicetak dalam bentuk cakera video digital (DVD) dan dijual secara komersial menerusi label Siti Nurhaliza Production dan Universal Music Malaysia.
Malah, kredit nama pencipta lagu ditukar kepada, Datuk Mohamad Nasir Mohamed atau M. Nasir, lapor laman mStar Online.
Peguam Richard iaitu Encik Purwadi berkata, Hetty sudah melanggar beberapa undang-undang hak cipta di Indonesia termasuk Artikel 5 dan 4, berkenaan hak moral yang wujud dalam diri pencipta.
Termasuk Artikel 9 dan 8 Undang-undang Hak Cipta mengenai hak ekonomi pemegang hak cipta serta Fasal 113 ayat (2) tentang pelanggaran ekonomi pencipta.
Encik Purwadi menjelaskan hukuman bagi pesalah yang melanggar hak cipta berkenaan adalah penjara dan denda RM150,000.
Sebelum ini, Richard pernah menghantar surat tuntutan terhadap penyanyi itu sebanyak tiga kali tetapi ia tidak diendahkan.
Hetty diminta memberikan maklum balas berhubung isu tersebut dalam tempoh tujuh hari untuk menjelaskan perkara sebenar.
Kasih yang dipopularkan Hetty dalam irama keroncong pada asalnya dirakamkan dalam versi bosa nova oleh Ermy Kulit pada 1986.
Hetty merakamkan lagu tersebut pada 1987 selepas Kasih menjadi popular dalam kalangan pendengar di Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Dalam pada itu, Hetty yang memberi penjelasan mengenai dakwaan melanggar hak cipta lagu tersebut, dalam kenyataan pihak pengurusannya iaitu Hetty Koes Endang (HKE) Management, berkata perubahan lirik yang dilakukan pada konsert 2015 itu adalah atas permintaan penganjur.
Malah ketika menyanyi lagu tersebut menerusi, Konsert Satu Suara Volume 2, di Malaysia, Hetty menjelaskan isu menukar lirik dan kredit komposer adalah atas tanggungjawab penganjur.
“Penyanyi hanya menjalankan tugas sesuai mengikut kontrak, menyanyikan lagu yang diminta penganjur dengan lirik yang disediakan. Penyanyi tiada urusan dengan komposer atau pencipta lagu.
“Jika terdapat kesalahan lirik dan kesalahan cetak nama pencipta lagu adalah tanggungjawab penganjur, bukan penyanyi,” ujarnya.
Menerusi keterangan tersebut, pihak Hetty turut menyebut Siti Nurhaliza Production, Universal Music Malaysia dan Luncai Emas Sdn Bhd sebagai yang terlibat.
Malah, beliau juga menegaskan pihaknya tidak layak mendapat royalti apabila konsert tersebut dirakam dan dicetak dalam bentuk DVD untuk jualan komersial.
Richard mendakwa rakaman persembahan itu dijual menerusi label Siti Nurhaliza Production dan Universal Music Malaysia tanpa mendapat persetujuannya sebagai pencipta lagu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg