SETIAP kali menonton filem Melayu klasik seperti Semerah Padi dan Hang Tuah, pengarah Sanif Olek akan impikan dirinya dapat sisipkan keindahan seni persilatan dalam filem akan datang.
Tatkala menonton filem seni pertahankan diri arahan sutradara kegemarannya, Zhang Yimou dari China, akan terbetiklah harapan mengemukakan babak pertarungan dalam kerja seni arahannya kelak.
Lantaran itu, apabila ditawarkan Esplanade menjana filem pendek bertemakan Nusantara, Sanif Olek, 50 tahun, tidak teragak-agak menghasilkan filem Pendekar yang menampilkan pesilat Herwan Harrywanto, 27 tahun, dan adiknya, Hendra Hermawan Harrywanto, 22 tahun.
Filem yang turut mengetengahkan sajak puitis sebagai suara latar pembakar semangat ditayangkan di laman Offstage kendalian Esplanade hingga 11.59 malam ini.
Anda akan dibawa menjelajah dunia moden di mana pahlawan bernama Tuah belajar menyesuaikan dirinya dalam sekitaran baru sambil mengimbas kembali kewujudannya.
Dalam perjalanannya, dia bertemu Jebat dalam pertemuan yang mengubah tanggapan peribadinya.
Menerusi beberapa babak yang dirakam dengan latar bermacam landskap, Pendekar merupakan karya yang menjadi lebih maya dek tulisan sajak Muhammad Salihin Sulaiman, pemenang Hadiah Kesusasteraan Singapura dan Anugerah Pena Emas, Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Ketika dihubungi menerusi Zoom, Sanif yang sudah membawa beberapa filemnya 'terbang jauh' termasuk ke pesta filem antarabangsa di Mexico, berkata:
"Sememangnya dari dahulu, saya ingin paparkan seni silat Melayu dan pesilat kita yang sudah bertanding di peringkat serantau dan sedunia dalam sebuah filem.
"Apabila Esplanade inginkan filem ringkas dengan kandungan Nusantara, saya langsung rebut kesempatan ini bagi mengetengahkan silat dan sajak, dua unsur kebudayaan yang menggambarkan identiti dan kekayaan khazanah Melayu."
Pasangan pesilat adik-beradik, Herwan dan Hendra dari Perguruan Silat Harimau Minangkabau dilibatkan dalam Pendekar sebagai Tuah dan Jebat.
"Mulanya, saya nak gunakan pelakon yang boleh bersilat. Tetapi apabila membaca sajak Salihin, tercetus dalam hati mengapa tidak dapatkan pesilat sebenar. Ia akan nampak realistik lantas tiada kesukaran mengarah mereka dalam babak pertarungan.
"Kemahiran silat yang ingin ditonjolkan. Kalau bukan kita yang mengetengahkan seni silat Singapura, siapa lagi?" kongsi Sanif, yang juga terlibat dalam arahan beberapa drama televisyen.
Sebelum ini, antara pencapaiannya termasuk penyertaan filem arahannya, Sayang Disayang, sebagai wakil Singapura ke Anugerah Academy dalam kategori Filem Asing Terbaik.
Sanif membayangkan watak Tuah dan Jebat sebagai pendekar dalam filem ini sebagai lambang kekuatan masyarakat Melayu.
"Apabila kita kaji kisah Hang Tuah sebagai bahan kesusasteraan, cerita rakyat dan mitos, kita sering melihat Tuah sebagai ikon yang disanjung tinggi masyarakat Melayu.
"Masyarakat kita terlalu mengagungkan ikon ini sehingga kita lupa Tuah manusia biasa juga dengan kelemahan dan kekurangannya. Justeru, kita payah menerima keadaannya apabila Tuah buat silap.
"Menerusi filem Pendekar ini, saya cuba melihat unsur-unsur kemanusiaannya, bagaimana Tuah juga insan biasa, yang tidak lari dari kesilapan. Bagaimana bijaksana atau perkasa pun Tuah, dia pasti ada kekurangan. Jebat pula dilihat sebagai pemberontak yang ada hati dan sebab menentang Tuah," tambahnya.
Sebagai mengenalkan kelainan, Sanif juga mengubah watak Tuah yang diketahui lebih tua daripada Jebat sebagai adik yang baru nak naik.
"Dalam filem saya ini, Jebat adalah yang lebih tua dan terlalu penat dengan masam manis kehidupan.
"Tuah pula belum lagi diiktiraf Sultan dan merupakan pendekar yang baru memperlihatkan kebolehannya. Dengan dua watak ini sebagai metafora, saya cuba menggugat kuasa dan pengaruh sesuatu pentadbiran, dalam hal ini, melihat pada konteks watak ikon, Tuah dan Jebat yang ada dalam sejarah," tambahnya lagi.
Mengenai cabaran menghasilkan Pendekar, Sanif berkata ia lebih pada cubaan cuaca di mana krunya sulit mencari lokasi matahari terbenam dalam musim hujan lebat.
"Alhamdulillah, dipermudahkan apabila diusulkan pesilat untuk ke Pasir Ris walau awalnya saya keberatan kerana tidak pernah ke tempat itu. Berkat tawakal, dua hari, dapat suasana matahari terbenam di dua lokasi berbeza," ujarnya.
Selepas menghasilkan filem pendek ini, Sanif benar-benar berasakan betapa relevannya budaya Melayu dalam zaman moden.
"Ramai orang mungkin berpendapat ia tidak lagi relevan kerana hanya sejarah usang. Namun, kalau ia diberi kesegaran dengan unsur kontemporari disisipkan, saya yakin ia akan mencorak jati diri anda.
"Budaya Melayu itu indah. Kalau orang bukan Melayu boleh menghargainya, mengapa kita tidak dapat menghadam dan menyambutnya dengan baik?
"Misi saya sebagai pembikin filem adalah melestarikan budaya Melayu dengan unsur perfileman moden," tambahnya lagi.
Kini, Sanif memikirkan pula projek nyala rasanya menyiapkan filem ringkas bertemakan wabak Covid-19 yang tergendala kerana kesibukannya.
"Ia kisah bagaimana keluarga menyesuaikan diri dengan wabak Covid-19. Saya meninjau suara hati orang Melayu mengenai perkara ini.
"Lebih penting lagi adalah penerokaan tentang bagaimana jenazah pesakit Covid-19 diuruskan mengikut agama Islam," jelasnya.
"Mulanya, saya nak gunakan pelakon yang boleh bersilat. Tetapi apabila membaca sajak Salihin, tercetus dalam hati mengapa tidak dapatkan pesilat sebenar. Ia akan nampak realistik lantas tiada kesukaran mengarah mereka dalam babak pertarungan. Kemahiran silat yang ingin ditonjolkan. Kalau bukan kita yang mengetengahkan seni silat Singapura, siapa lagi?" - Pengarah Sanif Olek.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg