Apabila Encik Muhammad Aliff Mohamed Murat menceburi bidang pendidikan prasekolah lapan tahun lalu, orang terdekat dengannya mempersoalkan pilihannya kerana bimbang tentang cabaran yang mungkin dihadapi seorang lelaki dalam bidang yang kebanyakannya diceburi wanita.

Kini, ketua guru bahasa Inggeris di My First Skool cawangan 49 Rivervale Crescent itu menjadi guru lelaki pertama menerima anugerah daripada Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda).

Perjalanannya bermula ketika menjadi sukarelawan dalam sesi membaca bersama kanak-kanak.

Ketika membantu seorang kanak-kanak lelaki yang menghadapi kesukaran membaca, Encik Aliff berasakan satu kepuasan yang tidak pernah dirasai sebelum itu.

Sejak itu, beliau terus mencabar dirinya untuk berkembang sebagai pendidik.

Ia termasuk menamatkan ijazah sarjana muda dalam pendidikan awal kanak-kanak dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan mempelajari bahasa Mandarin agar dapat berhubung dengan lebih baik bersama rakan sekerja, kanak-kanak serta keluarga mereka.

Sebelum menyertai bidang tersebut, Encik Aliff, 33 tahun, sebenarnya mengambil diploma dalam bidang teknologi maklumat di Politeknik Temasek (TP) dan pernah bercita-cita menjadi pegawai polis kerana mahu menyumbang kembali kepada masyarakat.

Namun, pengalaman sebagai sukarelawan membuatnya melihat pendidikan sebagai satu lagi cara untuk memberi sumbangan.

Beliau masih teringat seorang kanak-kanak yang meminta bantuannya membaca perkataan yang tidak difahaminya.

Ketika membacakan perkataan itu, Encik Aliff sedar pengalaman membantu kanak-kanak memahami sesuatu memberinya kepuasan yang bermakna.

Beliau kemudian mengambil keputusan menyertai My First Skool sebagai guru pelatih pada 2018.

Ketika itu, katanya, sukar baginya mencari rakan lelaki yang turut berada dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Encik Aliff mengakui beliau pernah berasa perlu membuktikan kemampuannya sebagai pendidik.

Namun, apabila semakin berpengalaman dan membina hubungan dengan keluarga kanak-kanak, tanggapan terhadapnya juga berubah.

Menurutnya, kemampuan menjadi pendidik yang baik tidak ditentukan oleh jantina, sebaliknya melalui keprihatinan, kemahiran dan kesediaan memahami keperluan setiap kanak-kanak.

Semangat untuk terus memperbaiki diri turut mendorongnya melanjutkan pengajian dalam pendidikan awal kanak-kanak.

“Sebagai pendidik, kita tidak tahu segala-galanya,” katanya, sambil menambah pengalaman di bilik darjah sering membuatnya sedar beliau perlu terus memperluaskan pengetahuan.

Beliau turut mengambil inisiatif mempelajari bahasa Mandarin selepas mendapati perbezaan bahasa kadangkala menyukarkan komunikasi dengan guru Mandarin, kanak-kanak dan keluarga mereka.

Walaupun hanya menggunakan frasa Mandarin yang mudah, beliau mendapati usaha itu membantu kanak-kanak berasa lebih selesa dan membina kepercayaan dengannya.

Encik Muhammad Aliff Mohamed Murat, berinteraksi dengan kanak-kanak di My First Skool cawangan 49 Rivervale Crescent. Beliau mula menceburi bidang pendidikan prasekolah pada 2018 selepas pengalaman menjadi sukarelawan membaca bersama kanak-kanak mencetuskan minatnya terhadap bidang tersebut.
Encik Muhammad Aliff Mohamed Murat, berinteraksi dengan kanak-kanak di My First Skool cawangan 49 Rivervale Crescent. Beliau mula menceburi bidang pendidikan prasekolah pada 2018 selepas pengalaman menjadi sukarelawan membaca bersama kanak-kanak mencetuskan minatnya terhadap bidang tersebut. - Foto BH oleh KHALID BABA

Kini sebagai ketua guru bahasa Inggeris, tumpuannya bukan lagi sekadar menjadi pendidik yang lebih baik untuk kanak-kanak di bawah jagaannya.

Beliau juga mahu membantu guru lain berkembang supaya mereka pula dapat memberikan yang terbaik kepada kanak-kanak dan keluarga.

Mengenai pengiktirafan yang diterimanya, Encik Aliff berkata pencapaian tersebut tidak mungkin diraih bersendirian kerana perjalanan beliau dibentuk oleh sokongan rakan sekerja, mentor, pensyarah, pemimpin dan keluarganya.

Beliau berharap pencapaiannya dapat memberi keyakinan kepada lebih ramai lelaki yang berminat menceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Menurutnya, seseorang tidak perlu memenuhi gambaran tertentu untuk menjadi guru prasekolah yang baik.

Yang penting adalah minat bekerja dengan kanak-kanak, kesediaan untuk terus belajar dan keinginan untuk sentiasa memperbaiki diri.

“

“Sebagai pendidik, kita tidak tahu segala-galanya... dan (pengalaman di bilik darjah sering memberi kesedaran perlunya terus memperluaskan pengetahuan).
Encik Muhammad Aliff Mohamed Murat, ketua guru bahasa Inggeris di My First Skool cawangan 49 Rivervale Crescent.