KUALA LUMPUR: Penerbit Datuk A Aida, 53 tahun, mengalirkan air mata selepas Mahkamah Sesyen Sivil di sini, pada Jumaat (7 April) mengarahkan pelakon, Amelia Henderson, 27 tahun, membayar ganti rugi lebih RM200,000 ($60,677) selepas melanggar kontrak perjanjian syarikat penerbitan, A Aida Production Sdn Bhd.
A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang bersyukur dengan keputusan itu malah yakin kes berkenaan berpihak kepadanya.
"Alhamdulillah, sempena bulan mulia Ramadan ini, Allah mempermudahkan dan memakbulkan doa supaya keputusan memihak kepada saya.
"Sebenarnya, dari awal lagi, saya sudah yakin boleh menang kes ini kerana ia berkait perlanggaran kontrak.
"Saya harap ini memberi pengajaran kepada artis lain terutama pelapis baru dalam industri seni," katanya ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini, pada Jumaat.
A. Aida bagaimanapun tidak lagi berminat bekerjasama dengan Amelia susulan pelanggaran kontrak perjanjian membabitkan syarikat produksi diasaskannya dengan pelakon terbabit.
Menurutnya, beliau tidak pernah berdepan insiden seumpama itu sepanjang bergelar penerbit.
"Iya, memang saya tidak akan bekerjasama lagi dengannya (Amelia). Sepanjang saya jadi penerbit, ini kali pertama artis menarik diri (daripada penggambaran) pada saat akhir.
"Sepanjang 25 tahun saya jadi penerbit, tidak pernah seumur hidup saya berlaku perkara seperti ini.
"Esok hendak mulakan penggambaran, hari ini artis tarik diri sehingga saya terpaksa ke mahkamah untuk mengambil tindakan... Ini adalah perkara yang tidak boleh diterima," katanya ditemui selepas Mahkamah Sesyen Sivil mengarahkan Amelia membayar ganti rugi lebih RM200,000 berikutan melanggar kontrak perjanjian syarikat penerbitan, A Aida Production Sdn Bhd di sini, hari ini.
Ditanya kesediaannya untuk memaafkan Amelia, A Aida berkata, dia terbuka sekiranya mahu berbuat demikian.
"Saya maafkan awak Amelia Handerson, tidak marah marah pun. Tetapi untuk akan datang saya tidak akan bekerjasama dengannya lagi," katanya.
Pada masa sama, A Aida menegaskan tindakan saman yang dibuat ke atas Amelia adalah sebagai memberi pengajaran kepada pelakon lain.
"Apa yang penting, saya mahu ia menjadi pengajaran kepada artis di luar sana semoga tidak mengambil tindakan sebegitu. Apabila sudah tandatangan kontrak, maka kena hormat dan jalankan kewajipan.
"Kalaulah tidak boleh buat, berilah tahu seminggu sebelum, kita boleh bawa berbincang. Ini pada saat-saat terakhir, esok nak 'shoot' jam 10 pagi, 8.30 malam baru dapat panggilan. Setengah jam saya terpaku, saya macam tidak percaya.
"Saya tidak sangka ada artis yang sanggup buat macam itu. Saya tidak tahu kenapa, jadi saya cakap dengan peguam mahu saman.
"Saya juga mahu beri pengajaran kepada artis lain supaya jangan main-main. Itulah objektif saya sebenarnya," katanya.
Terdahulu, A Aida mengalirkan air mata selepas Mahkamah Sesyen Sivil mengarahkan Amelia membayar lebih RM200,000 sebagai ganti rugi.
Peguam mewakili A Aida, Ashmadi Othman berkata, jumlah bayaran itu termasuk bayaran pendahuluan yang diterima sebelum penggambaran, ganti rugi am fitnah serta ganti rugi kos penggambaran drama Sekali Lagi Cinta Kembali sebanyak RM101,325.
Haki Zulqarnain Hassan turut memutuskan supaya pelakon terbabit memohon maaf dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat itu seperti dimuatnaik di Instagram (IG). - BERITA HARIAN MALAYSIA
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg