KOMITMEN yang diberikan pelakon, penyanyi dan pengacara Elly Mazlein terhadap tugasnya selaku pengacara pengganti dipuji warganet.
Jika sebelum ini beliau menggantikan Jihan Muse yang terjejas kerana gejala banjir melanda rumahnya dan tidak dapat tampil selaku pengacara Gegar Vaganza 8 (GV8), sekali lagi Elly, 41 tahun, menjadi penyelamat apabila pengacara Big Stage 2022, Sherry Alhadad, dijangkiti Covid-19, Ahad lalu.
Beliau yang lebih dikenali dengan nama pentas Kak Lina Pom Pom cukup bersahaja dengan gurau senda selambanya yang bukan sahaja menghiburkan penonton tetapi menenangkan peserta yang gementar di pentas.
Penyanyi Singapura, Sunny Jackson, dalam ciapan Twitter-nya, menulis:
"Kak Lina Pom Pom 'kelakar gila'. Dia buat peserta rasa relaks dan selesa di pentas. Kalau peserta dapat ulasan pengadil yang pedas-pedas, dia mampu mengalihkan pandangan mereka kepada perkara lain agar tidak terasa tersinggung."
TheOnlyFatin menambah:
"Kak Lina Pom Pom ni 'perform', sesuai untuk jadi Presiden Netizen yang selanjutnya. Kelakar gila.
"Dia bikin peserta rasa selesa di pentas dan dia pandai berinteraksi dengan penonton dan juri. Dia pandai 'switch' bila ada perkara yang terasa janggal."
Ada juga yang menyarankan agar Kak Lina atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ini mengacara bersama Sherry atau memiliki program hiburan sendiri.
Begitulah kalau dah namanya artis hebat dan komited, semuanya diberi jiwa raga.
Apa yang boleh kita lihat Kak Lina Pom Pom kekal relevan. Apabila menyanyi, memang 'class'. Tatkala berlakon pun boleh buat orang menangis, menyampah atau tertawa mengikut wataknya.