Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

REVIU GEGAR VAGANZA 8

Pengalaman berseni sejak remaja dewasakan Suki, Aliff

Pendedahan awal bantu corak kematangan persembahan dua juara peraduan realiti lebih sedekad lalu
Jan 11, 2022 | 05:30 AM



RUNUT bunyi (OST) drama romantis Korea terkenal, Descendants of the Sun, berkumandang indah daripada permainan piano dan lontaran vokal penyanyi Suki Low di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam kelmarin.



Lagu dalam bahasa Korea berjudul You Are My Everything, dendangan asal bintang 'powerhouse' Gummy diberi sentuhan peribadi oleh Suki, 32 tahun.



Juri jemputan, Datuk Norman Abdul Halim, memuji pembangunan vokal dan persembahan menyentuh jiwa juara peraduan realiti One In A Million (2006) itu yang disifatkan bertaraf dunia.



Juri tetap, Hetty Koes Endang, pula berkata Suki cukup anggun dan cantik bermain piano sambil membawa penonton persis dalam satu perjalanan kereta yang bergerak dari gear pertama ke kedua, ketiga dan selanjutnya dengan klimaks yang menakjubkan.



"Walau tak faham ertinya (sebab lagu itu dalam bahasa Korea), apabila kamu menyanyi, ia sampai ke hati bonda," kata Hetty.



Manakala seorang lagi juri tamu, Datuk Mokhzani Ismail, mengucapkan tahniah kerana ibu tiga anak itu berjaya memberi dinamika dan penghayatan pada nyanyiannya yang 'sampai' ke hati pendengar.



Pujian melangit mereka ini menyangkal ulasan pertama yang diterima Suki daripada juri tetap, Datuk Ramli MS, yang menganggap tempoh Suki bermain piano sebagai menjejas prestasi suaranya dari segi pernafasan dan kemantapan nada suara.



Beberapa warganet di Twitter tidak berpuas hati dengan komen Ramli dan menyifatkannya sengaja mencari silap Suki seperti minggu lalu.



Pada waktu itu, Ramli menegur tentang beberapa perkataan tertinggal atau tersasul dalam lirik lagu rok hip hop Marabahaya yang didendangkan penuh semangat oleh Suki.



Azim K. Zaman mengirim pesanan Twitter:



"Suki Low ni di 'level' lebih tinggi lagi. Dahlah nyanyi lagu Korea, main piano dan kekalkan 'feel' lagu. Terasa macam dia bikin konsert 'live' sendiri."



Mat Malaypak menambah:



"Maaf, saya tak setuju dengan kritikan Tok Ram. Di mata saya, Suki terus mempertingkatkan persembahannya dan mencabar dirinya setiap minggu. Minggu ini, dia sepatutnya diberi Nombor 1!"



Di sebalik segalanya, Suki muncul sebagai peserta dengan markah tertinggi, iaitu 78.9 peratus pada peringkat suku akhir kelmarin.



Saya yakin pendedahan awal penyanyi lagu 'hit' Terlalu Mencintaimu, Berdiri dan Untuk Kamu ini dalam bidang seni merupakan aset terbesarnya untuk mengharungi persada seni yang mencabar dan muncul cemerlang di pentas GV8.



Malahan, beberapa juara dan naib juara GV sebelum ini, Siti Nordiana, Farahdhiya, Azharina Azhar, Siti Sarah dan Liza Hanim, bergelar anak seni pada usia belasan tahun seperti Suki.



Aliff Aziz, 30 tahun, saingan terdekat Suki yang sudah beberapa minggu di tangga kedua juga bermula sebagai bakat remaja berusia 16 tahun ketika memenangi Anugerah 2007 di Singapura.



Kalau nak dibandingkan dengan ulasan 'laser' yang diterima Suki daripada pengadil One In A Million, Paul Moss, komen Ramli boleh dianggap 'okay' dan sedang-sedang sahaja.



Saya masih ingat detik Suki yang ketika itu baru berusia 16 tahun dikecam dan dihumban dengan bermacam kritikan sehingga perlu dipujuk pengacara, Awal Ashaari dan Marion Caunter.



Gadis Form 5 itu beberapa kali sebak dan menangis, terguris dek komen Moss.



Moss, gitaris band pop Aishah and The Fan Club, pernah menganggap Suki tidak memberi jiwa raganya, asyik nyanyi lagu ringan yang membosankan sebagai penghibur serta tiada pesona bintang kerana memakai baju persis remaja jalanan di pusat beli-belah 1 Utama.



"Kami sediakan RM1 juta untuk pemenang dalam peraduan realiti ini. Tapi adakah awak rasa awak layak menerimanya? Rasa saya nak beri awak RM1 pun tak mungkin!" kata Moss dengan nada kesat dan muka masam memanjang.



Justeru, untuk melihat Suki hari ini di pentas GV8 mendapat kata-kata perangsang dan dipuji pengadil bukan calang-calang seperti Hetty dan Datuk Syafinaz Selamat yang pernah mengadilinya di One In A Million merupakan satu kegembiraan.



Syafinaz dari dahulu hingga sekarang kagum dengan sebutan jelas dan penguasaan bahasa Melayu Suki.



Kelebihan Suki terletak pada kreativitinya tampil dengan konsep berbeza dan keberaniannya mencuba segala macam genre dengan nada suara tidak membingitkan walau dilontar tinggi.



Setiap persembahannya menjadi bual bicara warganet yang tidak sangka beliau boleh sahaja bawa lagu rok dan hip hop lebih 'ganas' dan tangkas.



Beliau juga pernah menyanyikan irama tradisional Datuk Seri Siti Nurhaliza, Badarsila, sehingga dipanggil Mahsuri di media sosial.



Lagu Jampi dipersembahkan bagaikan sebuah sketsa manakala duet serasinya dengan Khai Bahar dalam lagu Tiga Malam Tanpa Bintang tular di media sosial.



Personaliti mudah tersenyum, sesuatu yang kekal sejak zaman remajanya, membuat peminat senang untuk menontonnya yang kini lebih matang dan mampu mempelbagaikan sajian persembahannya agar tidak timbul rasa bosan.



Seperti Suki, Aliff yang menerima markah 76.8 peratus pula mempunyai tarikan tersendiri jika mendendangkan balada 'jiwang' seperti Rapuh dan Kasih Tak Sampai.



Lagu-lagu menenangkan daripada Aliff membawa penonton GV8 terbang ke zon selesa tetapi kadangkala mengusik sanubari yang lelah dan hiba.



Mungkin bakat lakonan Aliff dapat juga diterapkan dalam persembahan mendatang di peringkat separuh akhir kelak agar ada kelainan dan kejutan yang boleh dinanti-nantikan peminatnya.



Juara GV8 yang dicari-cari adalah yang bukan setakat miliki vokal yang baik tetapi mampu menghibur dengan mengubah pentas seni dan membawa kita terbang jauh mengamati erti kehidupan dalam kerja seninya.




  • GV8 disiarkan di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) mulai 9 malam setiap Ahad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >