Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengalaman tinggal di rumah sewa bakar semangat Taufik ingin berjaya

Dec 24, 2024 | 1:09 PM
Rumah teres sudut setinggi tiga tingkat ini terletak di daerah timur Singapura dan dianggarkan bernilai hampir $3 juta.
Rumah teres sudut setinggi tiga tingkat ini terletak di daerah timur Singapura dan dianggarkan bernilai hampir $3 juta. - Foto TAUFIK BATISAH

Bekerja keras, mencurah keringat dan berkorban demi memburu cita-cita untuk seisi keluarga hidup selesa menjadi pegangan juara pertandingan nyanyian, Singapore Idol, Taufik Batisah.

Banyak perkara yang telah dicapainya sebagai penghibur, penerbit lagu, peniaga restoran dan ejen hartanah.

Bagaimanapun, menikmati rezeki lumayan untuk membeli rumah teres mewah setinggi tiga tingkat yang mempunyai tujuh bilik dan dianggarkan berharga antara $2.5 juta dengan $2.7 juta itu merupakan satu pencapaian hasil penat lelahnya bekerja.

Kerja ubah elok pada rumah teres di kawasan timur Singapura itu dijangka mengambil masa enam bulan.

Perkongsian Taufik, 43 tahun, mengenai rumah tersebut di Instagram pada 20 Disember, bukan untuk berbangga diri tetapi bagi melahirkan kesyukurannya di samping memberi penghargaan kepada semua yang telah menyokongnya dari awal kerjayanya sebagai penyanyi.

Hantaran yang menerima hampir 22,000 tanda suka atau ‘Likes’ itu turut mendapat ucapan tahniah daripada selebriti negara jiran seperti, pelakon Sazzy Falak dan penyanyi Datuk Seri Rossa.

Taufik dan isteri, Cik Sheena Akbal, 40 tahun, yang merupakan sahabat karib Rossa, malahan berbesar hati mengundang pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta itu untuk menetap di teres tersebut jika bintang itu singgah di Singapura.

“Alhamdulillah, dengan rahmat dan berkat Allah, kami sudah membeli rumah impian kami.

“Saya masih ingat pengalaman menetap di flat sewa dua bilik di Dover Road yang penuh dengan pepijat. Saya bersekolah di Politeknik Singapura.

“Mak tidur di bilik manakala saya dan dua abang saya pula tidur di ruang tamu.

“Mak merupakan pekerja pembersihan di kondominium di depan flat sewa kami.

“Setiap hari apabila saya keluar rumah dan melihat kondominium tempat mak bekerja, ia membuatkan saya bersemangat ingin memastikan suatu hari kehidupan kami akan berubah apabila saya berjaya,” singkap Taufik.

Beliau bersyukur rezekinya tidak hanya tertumpu dalam bidang hiburan, malah mencakupi perniagaan makanan, Chix Hot Chicken, di Jalan Pisang, serta jual beli hartanah yang turut diceburi abangnya menerusi syarikat Batisah Realtors.

“Saya datang daripada keluarga sederhana, tetapi saya meletakkan matlamat yang tinggi.

“Saya harap perkongsian saya itu akan memberi inspirasi kepada anda semua untuk melakukan perkara yang sama, tidak kira latar belakang anda,” ujar Taufik.

Rumah pertamanya merupakan unit maisonet eksekutif di Jurong West, yang dibeli hasil titik peluh sendiri dan didiami bersama ibunya, Cik Normainah Bachok, 71 tahun.

Enam tahun kemudian setelah mendirikan rumah tangga, isterinya Cik Sheena turut tinggal bersama mereka.

Taufik dan Cik Sheena kemudian menjual unit maisonet eksekutif itu dan membeli kondominium empat bilik yang baru disenaraikan dan menyewa sebuah kondo di daerah Pasir Ris untuk mereka tinggal.

“Saya selalu mengajar pembeli rumah untuk membuat pelaburan demi kemajuan aset, jadi saya sendiri harus buat apa yang saya ajarkan.

“Selepas tiga tahun, masanya tiba untuk menjual kondo kami demi pelaburan lebih besar,” ujarnya.

“Yang penting, kita tidak layak menerima keistimewaan dan tiada apa yang berlaku dalam sekelip mata.

“Sentiasa percaya pada perancangan Allah. Jika ia memang tertulis untuk anda, ia akan berlaku.

“Jika selepas melakukan segala yang termampu dan ia masih tidak berlaku, bermakna ia bukan rezeki anda dan ia tidak baik untuk anda. Allah lebih mengetahui,” kata penyanyi itu dengan penuh rendah hati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg