Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pengarah M. Raihan Halim teruja filem ‘La Luna’ ditayang, ditanding di Tokyo

Kisah impian peniaga pakaian dalam ala Victoria’s Secret dengan isu patriarki dipertaruhkan
Oct 04, 2023 | 05:30 AM



Hampir 10 tahun lalu, pengarah setempat, M. Raihan Halim, membangkitkan semangat untuk mengembalikan era kegemilangan filem Melayu menerusi idea kreatifnya menerbitkan dan mengarah filem Banting.


Ia kisah seorang gadis bertudung memburu impian sebagai ahli gusti yang berjaya meskipun cita-cita itu ditentang ibunya dan masyarakat umum kerana tidak manis melihat wanita di gelanggang gusti membanting lawan.

Kini, Raihan, 41 tahun, mencipta satu lagi sejarah apabila filem terbarunya yang sudah lama diusahakan, La Luna, bakal ditayangkan di pentas antarabangsa menerusi tayangan perdana dunia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo di Jepun pada 24 Oktober ini.


Raihan dan dua pelakon utamanya, Shaheizy Sam dan Sharifah Amani, akan terbang ke negara matahari terbit itu untuk menjayakan pesta berkenaan.

La Luna merupakan kisah komedi romantis yang pernah dua kali ditolak penerbit sebelum akhirnya diterbitkan bersama Clover Films (Singapura), Papahan Films (Singapura) dan ACT 2 Pictures (Malaysia).


Selama 22 hari, penggambaran dibuat di sawah padi Kuala Kangsar, Perak. Ia adalah kisah perubahan minda dan takrifan tentang sesuatu perkara yang diilhamkan Raihan hampir sedekad lamanya.

Secara umum, ia menceritakan tentang wanita (lakonan Sharifah Amani) yang membuka kedai pakaian dalam ala Victoria’s Secret yang diberi nama La Luna di kampung yang sepi, malas lagi tidak bermaya, Kampong Bras Basah. Di sana, dia bertemu dengan pegawai polis berstatus duda (Shaheizy Sam) yang mempunyai seorang anak remaja.

Penduduk kampung menerima baik kedai La Luna ini tetapi ia ditentang keras oleh ketua kampung berkuku besi yang ingin memusnahkan perniagaan itu walau apa jua caranya.

La Luna merupakan projek yang diperkenalkan di Forum Pembiayaan Filem Asia Hong Kong.


Ia menerima Anugerah Wouter Barendrecht dan Anugerah Pospenerbitan White Light. Bajet $1.1 juta diperuntukkan bagi filem yang juga melibatkan Astro Shaw dan disokong Suruhanjaya Filem Singapura, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Kata Raihan mengenai lamaran ke Pesta Filem Antarabangsa Tokyo:

“Saya amat berbesar hati apabila La Luna berjaya dibawa terbang ke Tokyo untuk pesta filem yang gah ini. Saya teruja untuk berkongsi mengenai filem kecil saya ini kepada semua dan yang pertama menyaksikannya adalah penduduk di kota kegemaran saya di dunia, Tokyo.”


Menurutnya, walaupun ada persoalan pakaian dalam, ia bukan filem lucah atau pornografi ringan.

“Ia hanya filem nakal yang mengusik minda ramai tentang pelbagai persoalan sosial dan sudut pandang yang berbeza tentang isu-isu larangan yang payah dibicarakan masyarakat kita,” tambah Raihan.

Pengarah Urusan Clover Films dan penerbit eksekutif La Luna, Encik Lim Teck, pula menjelaskan pihaknya gembira buat Raihan, pelakon dan seisi pasukan filem itu apabila mendapat tahu La Luna akan bersaing di Tokyo.


“Kami perlu mengucapkan tanda penghargaan kepada semua rakan kerjasama kami, khususnya agensi pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia kerana menyokong filem ini. Kami menantikan tayangan perdana yang hebat di Tokyo,” jelasnya.

La Luna menjalani proses penilaian penapisan seperti filem lain. Ternyata selepas menjalani proses tersebut, tiada babak pun yang diarah untuk dipotong sebab ia hanya membabitkan dialog nakal usik-mengusik serta tidak berbaur lucah.


Idea bagi Raihan menghasilkan filem itu tercetus sewaktu beliau mengunjungi Arab Saudi dan melihat keadaan sekeliling yang membuatnya terkesan.

“Sebuah kedai menjual pakaian dalam pernah dibakar kaum Adam di negara itu kerana dianggap biadab dan merupakan sesuatu yang terlarang. Ia membuatkan saya rasa nak tahu mengapa mereka bertindak sampai begitu sekali. Jadi saya nak ketengahkan topik menarik seperti itu dalam naskhah ini.

“Ada isu patriarki dan ketoksikan sesetengah masyarakat. Saya sukakan idea sebegini yang dapat saya kembangkan untuk direnung-renung masyarakat. Bagi tidak kelihatan terlalu serius, saya sisipkan cerita romantis komedi dalam La Luna. Saya sukakan gandingan Sam dan Sharifah Amani.


“Saya inginkan Shaheizy bawa watak jejaka lucu yang buat-buat tak suka dengan seorang wanita keras kepala. Kita nak babak macam Abdul Wahub dan Ghasidah dalam Tiga Abdul. Dapat lihat dia dan Sharifah Amani berjaya bina keserasian seperti itu... malu tapi mahu, menyampah tapi berkenan.’’ ujarnya.


Diadakan setiap tahun di Jepun, Pesta Filem Antarabangsa Tokyo itu menghargai dan meraikan sutradara dari serata dunia.


La Luna terpilih dalam kategori ‘Asian Future Section’ di mana ia dipertandingkan bersama filem arahan pengarah yang kian naik namanya di Asia.


Sebanyak 10 filem dipilih untuk bersaing bagi Anugerah Filem Terbaik Akan Datang Asia.

Selain Sam dan Sharifah Amani, pelakon lain terdiri daripada Wan Hanafi Su, Hisyan Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin, Wafiy Ilhan dan Syumaila Salihin.

Pengedar bersama filem ini adalah Clover Films dan Skop Productions di Malaysia serta Clover Films dan Golden Village di Singapura. Ia akan ditayangkan di Malaysia pada 9 November disusuli dengan Singapura pada 16 November.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >