Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pengarah, penulis skrip S’pura pacu kreativiti tanpa batas

Empat calon kategori kreatif Pesta Perdana 2023 kongsi pengalaman berharga jana karya bermutu
Jun 08, 2023 | 03:14 PM



Mereka dikenali sebagai karyawan kreatif dunia penerbitan televisyen yang berani mencuba sesuatu yang baru.

Walau mungkin timbul tanda tanya mengenai penerimaan penonton tentang konsep program atau drama yang baru, pendirian mereka adalah penonton masa kini yang terdedah pada dunia penstriman perlukan hiburan atau jalan cerita yang lain daripada lain.

Di ambang Malam Kreatif Pesta Perdana 2023 yang julung-julung kalinya diadakan di JW Marriott Hotel Singapore South Beach pada Jumaat, Berita Harian mewawancara pengarah Mahfuz Mazlan, Faisal Ishak serta Najip Ali dan penulis skrip Ummi Kalsom Mohamed Isa (Umie) untuk dapatkan cebisan pengalaman mereka berkarya sehingga dicalonkan bagi Pesta Perdana 2023.


Najip yang dicalonkan bagi kategori Arahan Terbaik (Hiburan) untuk Berani Nyanyi? berkata:


“Apabila saya memulakan idea untuk program ini, saya tidak anggap ia sebagai pertandingan. Ia rancangan hiburan dengan unsur pertandingan. Fikiran saya memikirkan tentang program realiti negara lain seperti, The Masked Singer dan The Voice.


“Saya fikir bagaimana nak mentakrifkan idea ini. Budaya yang saya pegang dalam menerbitkan atau mengarah program hiburan adalah unsur sensibiliti atau daya kepekaan dan sensitiviti. Saya ingin pastikan wujud ciri-ciri kesingapuraan yang kuat.

“Saya bikin program hiburan bukan untuk syok sendiri. Saya mahu libatkan seberapa ramai bakat Singapura. Ini cabaran yang saya hadapi. Saya tak nak buat program sembang sahaja. Saya inginkan kelainan.

Berani Nyanyi? timbul selepas saya perhatikan ramai rakan artis suka menyanyi ketika mereka relaks menanti giliran menjalani penggambaran. Jadi program ini ibarat benih yang kita tanam dan siram agar bajanya dapat menjadikan tanaman kita subur.”


Beliau juga melihat komitmen dan dedikasi artis yang terlibat dengan kesungguhan yang datang kerana mereka tidak pernah melakukan perkara seseronok dalam Berani Nyanyi?


“Saya hanya arkitek. Merekalah juruteranya. Semua idea datang daripada mereka. Mereka akan berbincang dengan jurutari dan penerbit. Saya hanya duduk relaks dan memerhatikan mereka pilih busana dan rancang persembahan mereka.

“Saya lihat mereka tertawa bukan kerana mereka mempersendakan diri mereka tetapi kerana mereka dapat menjadikan rancangan itu menyeronokkan, tidak kiralah apa jua kritikan. Semua orang profesional, memahami dan ikhlas menjayakan program ini,” ujarnya.

Berani Nyanyi? turut dicalonkan bagi kategori Skrip Terbaik (Hiburan) yang dihasilkan Hyrul Anuar dan Rancangan Hiburan Terbaik.


Mahfuz yang mendapat tiga pencalonan – dua bagi Skrip Terbaik untuk Distopia dan Bidadari serta Arahan Terbaik untuk Bidadari pula berkata beliau bersyukur dan teruja kerana tidak pernah memenangi kategori penulisan skrip sebelum ini.


“Dua drama Distopia dan Bidadari ini dekat di hati saya sebab ia mencabar dari aspek perjalanan plot. Distopia adalah drama cereka sains. Saya cuba seimbangkan dengan unsur kisah kemanusiaan. Episod yang dicalonkan pula adalah kisah ‘gelap’ seorang bapa yang menghidap Alzheimer.


“Daya ingatannya hilang. Anaknya cuba pulihkan pemikirannya dengan menggunakan teknologi pemulihan neuron tetapi anak perempuannya tidak mahu ia berlaku. Orang sangka si anak perempuan tak endahkan bapanya. Rupanya ada kisah trauma si anak pernah diapa-apakan si bapa sewaktu dia remaja. Bapanya melakukan perkara yang tidak senonoh kepadanya.

“Sewaktu menulis, saya dalam dilema... apakah saya perlu menulis ke arah itu? Sebab jalan ceritanya akan buat orang gerun dek kegelapannya,” kongsi Mahfuz.

Bagi Bidadari pula, beliau perlu meluangkan tiga hingga empat jam menemu ramah penggali kubur yang terlibat dalam proses penggalian kubur orang Islam untuk dapatkan cerita sebenar daripadanya.


“Cabarannya adalah bagaimana saya dapat menyusun semula struktur cerita si penggali kubur ini dan satukannya dengan kisah kekeluargaan, hubungan emak dan anak serta keluarga yang terputus,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pasangan suami isteri, Faisal dan Ummi pula turut tercalon dalam kategori berbeza. Faisal dicalonkan dalam Arahan Terbaik bagi Dilema Dania manakala Umie pula dicalonkan bagi Skrip Terbaik – Drama (Dilema Dania) dan Skrip Terbaik (Informasi) untuk Misteri Minda.


Faisal menjelaskan Dilema Dania adalah projek syarikat penerbitan, Poetry In Motion yang sepatutnya menjalani penggambaran di Belanda tetapi terpaksa dilakukan di Kem Pengakap Sarimbun di Singapura kerana pandemik Covid-19.


“Perancangan awal sepatutnya dilakukan di luar negara di mana kami akan tinjau kisah orang asli (Aborigine) di Belanda. Ia terpaksa dirombak dengan jalan cerita nahas pesawat di Borneo. Keistimewaan drama ini adalah kami perlu membina rumah orang asli di Kem Pengakap Sarimbun.

“Saya kemudian perlu dapatkan bantuan sahabat dari Sabah untuk terjemahkan dialek Iban. Saya seronok dengan proses prapenerbitan drama ini, bagaimana dengan bajet terhad kami, jalan ceritanya dapat dikembangkan dengan lebih menarik lagi. Kami tak mampu bikin filem Marvel!” ujar Faisal.

Umie akur proses menyiapkan skrip bagi Dilema Dania dan Misteri Minda menimbulkan tekanan dan membawa pada proses kajian yang memenatkan secara mental.


“Isu mental memang kerap timbul sewaktu pandemik. Alhamdulillah segala jerih payah berbaloi.

“Saya memang suka mengamati tabiat orang termasuk di media sosial. Saya tak ramai kawan tetapi saya suka lihat orang berinteraksi.

“Daripada situlah idea untuk hasilkan skrip timbul,” katanya yang mula menulis skrip pada 2008 bermula dengan naskhah Dendam Seorang Isteri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >