Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggesek biola klasikal gubah lagu irama tradisional

Mar 19, 2022 | 7:33 AM
SYED RIDWAN AHMAD: Hargai peluang sertai program bimbingan 'Rentas' bersama Dzul Rabull Jalil dan teruja bergabung tenaga dengan pejuang muzik Melayu tradisional pelbagai kumpulan seni.
SYED RIDWAN AHMAD: Hargai peluang sertai program bimbingan 'Rentas' bersama Dzul Rabull Jalil dan teruja bergabung tenaga dengan pejuang muzik Melayu tradisional pelbagai kumpulan seni. -

DARI gigih menggesek biola klasikal ketika di Politeknik Nanyang (NYP), Syed Ridwan Ahmad beralih kepada memperjuangkan muzik tradisional Melayu.

Kini pada usia 31 tahun, Syed Ridwan yang juga menggubah lagu berirama tradisional bersyukur dapat menjadi anak didik instrumentalis dan penggubah lagu, Dzul Rabull Jalil, dalam program Rentas.

Rentas merupakan antara sajian Gemadah - Festival Muzik Tradisional Melayu, yang disajikan di Studio Resital Esplanade hari ini.

Selain karya Syed Ridwan, seorang teknisyen pengeluaran dengan Diploma Teknologi Kimia dan Farmaseutikal, karya ciptaan peniup seruling, Alhafiz Jamat, juga akan dipersembahkan.

Ikuti wawancara Berita Harian bersama Syed Ridwan.

Soalan (S): Bagaimana perasaan anda dapat sertai program 'Rentas'?

Syed Ridwan: Saya amat bersyukur diberi peluang menimba ilmu daripada Abang Dzul dan menyajikan empat karya saya dalam program Rentas.

Melalui Abang Dzul, saya pelajari cara menaiktarafkan karya yang dicipta agar bunyiannya kedengaran lebih baik dan lunak.

Beliau memberi usulan bagaimana ingin mengubahsuai sesuatu karya.

Kadangkala sebagai komposer, kita tidak dapat mengesan aspek yang tidak kena pada sesebuah lagu hinggalah orang yang mendengar seperti Abang Dzul dapat mengesan bahagian yang perlu diubah atau ditambah.

S: Apakah yang membuat anda teruja?

Syed Ridwan: Kerjasama bersama pemuzik daripada kumpulan muzik tradisional lain yang tidak pernah saya temui dan kenali sebelum in.

Walaupun menimbulkan cabaran sebab saya tidak biasa dengan cara dan gaya mereka menghadam irama dan memainkan lagu yang diberikan, kami dapat saling bertukar idea dalam persembahan kami.

Saya dari Orkestra Sri Temasek dapat belajar juga daripada penggiat muzik seperti di Sri Mahligai.

S: Bagaimana anda tertarik pada muzik?

Syed Ridwan: Sebenarnya, dah lama juga saya ingin menceburi bidang muzik, tetapi ibu bapa pada ketika itu tidak memberi sokongan.

Apabila masuk politeknik, mereka izinkan saya mempelajari biola klasikal. Saya kemudian bertemu pemuzik Megat Firdaus ketika bergiat bersama Orkestra Marsiling.

Apabila beliau bertanya sama ada saya ingin ceburi kumpulan muzik Melayu dan galakkan saya belajar cipta dan gubah lagu Melayu tradisional, saya terdorong mencuba.

Saya mencabar diri saya menghasilkan lagu tradisional Melayu yang mempunyai lenggok dan 'feel' tersendiri. Tidak mudah untuk menghasilkan notasi buat pemuzik main lagu irama tradisional.

Muzik tradisional Melayu ini mempunyai struktur tertentu yang perlu dipatuhi. Tapi bagi Rentas, saya keluar daripada kekotak kebiasaan ciptaan irama tradisional. Saya gabungkan dengan unsur irama klasikal untuk hasilkan kelainan.

S: Ceritakan tentang empat lagu ciptaan anda untuk 'Rentas'.

Syed Ridwan: Lagu Rentak Empat Musim dipadankan daripada lagu klasik komposer Vivaldi, Four Seasons.

Satu lagi karya meraih inspirasi daripada kekata Sepanyol, Ariancar. Saya ingin lihat bagaimana kalau tiga pemain alat tali dapat disatukan - pemetik gambus, mandolin dan gitar disajikan sebagai pemain solo.

Joget Kembara Biola mengetengahkan saya dan rakan saya. Ia ibarat gandingan bersinergi seorang lelaki yang bermain biola cara tradisional Melayu dan seorang wanita yang menggesek biola secara klasikal. Ia bagaikan komunikasi antara mereka berdua.

Akhir sekali, Elegi Kerinduan, yang saya tujukan buat sesiapa yang baru kehilangan orang tersayang.

S: Adakah alat muzik lain yang anda sedang pelajari?

Syed Ridwan: Saya sedang mempelajari alat tiupan bassoon yang saya harap dapat diterapkan dalam lagu Melayu tradisional ciptaan saya pada masa akan datang.

Matlamat saya adalah menaiktarafkan irama Melayu tradisional. Saya sudah bereksperimen dengan beberapa anak muda yang mampu mencipta irama keroncong mereka sendiri. Saya berminat juga mempelajari lebih tentang ghazal, irama yang saya lihat hampir pupus dalam kalangan generasi baru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg