Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggiat warisan, muzium S’pura kongsi ilmu di peringkat dunia

Bengkel pendidikan muzium sulung diadakan di Jakarta, hasil kerjasama dengan Badan Warisan Indonesia
Jun 11, 2025 | 5:30 AM
bengkel, Jakarta, badan warisan indonesia
Susulan kejayaan mengadakan bengkel di Athens, Greece, pada 2024, Cik Asmah Alias (kanan) dan Encik Mohd Fared Jainal mengadakan bengkel pendidikan muzium sulung di Jakarta, hasil kerjasama dengan Badan Warisan Indonesia. - Foto ihsan ASMAH ALIAS

Pengalaman membincangkan topik sensitif di muzium sambil memperkenalkan pendekatan kreatif dalam bengkel antarabangsa di Athens, Greece, pada 2024, menjadi satu pencapaian bermakna dalam perjalanan kerjaya Cik Asmah Alias, selaku Pengarah Galeri, Pameran dan Muzium HeritageSG.

Turut membantu Cik Asmah ialah pengarah teater dan pendidik di Sekolah Seni Singapura (Sota), Encik Mohd Fared Jainal, yang berkongsi tentang kaedah ‘devised theatre’ atau teater rekaan (menghasilkan kandungan dan naratif persembahan secara berkumpulan), untuk membincang isu rumit di muzium.

Kededua mereka merupakan ahli lembaga Yayasan Warisan Melayu (MHF).

Apabila dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 23 Mei, Cik Asmah, 40-an tahun, mengatakan setiap tahun, Majlis Muzium Antarabangsa (Icom) bagi Pendidikan dan Tindakan Kebudayaan akan mengadakan persidangan menghimpunkan pakar serta pendidik muzium di seluruh dunia.

Pada November 2024, persidangan Icom telah diadakan di Athens, selama empat hari.

“Saya telah menjadi ahli lembaga Icom Jawatankuasa Antarabangsa bagi Pendidikan dan Tindakan Kebudayaan selama enam tahun.

“Tahun lalu (2024), Icom menggantikan pembentangan kertas kerja mengenai program yang dijalankan di muzium setiap negara dengan bengkel yang mengetengahkan tema keterangkuman dan aksesibiliti.

“Dengan itu, saya bekerjasama dengan Fared, berbekalkan pengalaman luasnya dalam bidang teater, untuk mendekati topik sensitif atau isu rumit serta menjadikannya sebagai alat atau teknik yang boleh dimanfaatkan oleh pakar muzium,” kata Cik Asmah yang turut bertindak sebagai Pengarah Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG).

Susulan kejayaan mengadakan bengkel di Athens pada 2024, bengkel pendidikan muzium sulung diadakan di Jakarta, hasil kerjasama dengan Badan Warisan Indonesia.

Antara 19 dengan 21 Mei, bengkel itu yang diadakan di Muzium Nasional Indonesia, Jakarta, menghimpunkan 25 peserta secara fizikal dan turut disiarkan dalam talian melalui Zoom, lantas memperluas pengalaman pembelajaran.

Di samping itu, Encik Zinnurain Nasir yang mewakili HeritageSG, juga memainkan peranan sebagai pembantu fasilitator dalam bengkel tersebut.

Tujuan utama bengkel adalah untuk merancang program pendidikan muzium yang mudah diakses dan inklusif, sekali gus memupuk keterangkuman dalam program dan kemudahan dalam muzium.

Setiap peserta diberi peluang untuk meneroka kaedah inovatif menggabungkan konsep ‘thinking routines’ atau rutin pemikiran merangkumi – proses berfikir, merasai emosi dan menunjukkan keprihatinan – dengan teater rekaan bagi merangsang pendekatan baru dalam cara program muzium melibatkan masyarakat dengan kepelbagaian.

Menyentuh tentang pengalaman mengendalikan bengkel tersebut, Encik Fared berkata:

“Para peserta di Jakarta sangat jujur sepanjang sesi berlangsung. 

“Apabila kami mengajak mereka melakukan aktiviti fizikal, terutama kerana unsur ‘devised theatre’ hanya diperkenalkan pada hari ketiga bengkel itu, mereka sangat bersemangat untuk mencuba pelbagai perkara baru.

“Apa yang menarik ialah isu yang mereka ketengahkan benar-benar mencerminkan cabaran yang mereka hadapi setiap hari sebagai pakar muzium. 

“Saya rasa mereka sangat peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

“Tujuan ‘devised theatre’ bukanlah untuk aspek seni semata-mata, tetapi lebih kepada bagaimana mereka dapat mengungkapkan dan membawa isu-isu tersebut. 

“Tidak dinafikan, mereka juga sangat kreatif, malah memberikan lebih daripada yang dijangkakan.”

Cik Asmah menambah bahawa beberapa isu yang diketengahkan oleh peserta termasuk warga emas, kesejahteraan mental dan kemiskinan.

Berkata kepada BH, beliau turut berkongsi pengalaman menarik sepanjang lawatannya di Muzium Nasional Indonesia dan membuka perspektif baru mengenai budaya muzium di sana.

“Di Singapura, rata-rata muzium tidak mengenakan bayaran untuk warga Singapura dan penduduk tetap (PR). 

“Sementara, di Indonesia, muzium mereka ada mengenakan bayaran, namun masih terjangkau.

“Saya juga agak terkejut kerana walaupun muzium mereka ada bayaran, tetapi muzium mereka sentiasa penuh dengan pengunjung!

“Dan mereka buka dari 8 pagi hingga 8 malam,” ujar Cik Asmah.

Menurut beliau, program ini bukan sahaja mengetengahkan alat dan teknik berkesan, malah memupuk komitmen bersama mengamalkan kreativiti, daya menyelami perasaan orang lain dan aksesibiliti dalam pendidikan muzium. 

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah pertama ke arah membentuk pengalaman muzium yang lebih inklusif dan imaginatif di Asia Tenggara.

Seterusnya, Cik Asmah bakal mengadakan bengkel di Kedah, Malaysia, pada Julai, sempena Hari Muzium Antarabangsa, di mana seluruh muzium di negara itu akan berkumpul bagi meraikan acara tersebut sepanjang minggu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg