Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengharaman penapis kecantikan TikTok, Meta cetus pelbagai reaksi

Generasi baru produk solekan sedia alternatif sebagai ganti penapis
Feb 3, 2025 | 4:33 PM
Untuk menangani kesan penggunaan penapis terhadap pengguna muda, TikTok mengumumkan larangan penggunaan penapis bagi mereka di bawah umur 18 tahun yang akan dikuatkuasakan tidak lama lagi.
Untuk menangani kesan penggunaan penapis terhadap pengguna muda, TikTok mengumumkan larangan penggunaan penapis bagi mereka di bawah umur 18 tahun yang akan dikuatkuasakan tidak lama lagi. - Foto ISTOCKPHOTO

Pada 2024, Australia mencuri perhatian apabila mencadangkan larangan penggunaan penapis kecantikan atau beauty filters bagi pengguna bawah 18 tahun, dalam usaha menangani kesan negatif terhadap remaja.

Menjelang akhir 2024, pemerintah negara tersebut memperkukuh pendirian mereka dengan merancang untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan media sosial bagi mereka di bawah umur 16 tahun, atas kebimbangan kesannya terhadap kesihatan mental golongan muda.

Big Tech (syarikat gergasi teknologi) kini diberi tempoh setahun untuk melaksanakan langkah pengesahan umur yang berkesan atau berdepan penalti yang berat.

Pada Disember 2024, TikTok mengumumkan larangan penggunaan penapis yang mengubah ciri fizikal untuk pengguna bawah 18 tahun atas alasan yang sama, dengan penguatkuasaan bermula Januari 2025.

Salah satu penapis penuh kontroversi di platform tersebut ialah ‘Bold Glamour’, yang mencetuskan perdebatan hangat kerana kesan realistiknya yang melampau.

Dikenali kerana keupayaannya mencantikkan rupa wajah pengguna dengan solekan lembut dan mengubah ciri wajah, penapis ini telah digunakan lebih 233.5 juta kali.

Meta turut mengumumkan bahawa ia akan mula menghapuskan penapis realiti terimbuh (AR) tertentu yang dibangunkan pihak ketiga daripada platformnya – termasuk WhatsApp, Facebook dan Instagram – secara berperingkat bermula Januari.

Sesetengah penapis kecantikan yang tersedia di platform media sosial telah mencetuskan perdebatan hangat berhubung kesan realistik yang dihasilkannya serta potensi kesannya terhadap imej diri pengguna.
Sesetengah penapis kecantikan yang tersedia di platform media sosial telah mencetuskan perdebatan hangat berhubung kesan realistik yang dihasilkannya serta potensi kesannya terhadap imej diri pengguna. - Foto ISTOCKPHOTO

Walaupun penapis kecantikan sudah wujud sejak sekitar 2015, popularitinya melonjak sewaktu pandemik Covid-19 apabila jutaan orang terpaksa duduk di rumah dan bergantung kepada panggilan video serta interaksi maya.

Kini, alat tersebut lebih maju berbanding sebelumnya, dengan kesan realistiknya yang mengaburkan garis antara realiti dengan manipulasi digital.

Aplikasi penyuntingan foto popular seperti Facetune dari Israel dan Meitu dari China membolehkan pengguna media sosial mencuba pelbagai gaya rambut dan solekan dengan hanya satu ketikan pada skrin.

Laporan 2024 yang diterbitkan oleh kumpulan sains yang berpusat di London, The Royal Society, mendapati bahawa penapis kecantikan bukan sahaja meningkatkan daya tarikan seseorang, malah menjadikan mereka kelihatan lebih pintar, boleh dipercayai, peramah dan ceria.

Dalam kajian tersebut, 2,748 peserta menilai imej 462 individu, sebahagian dengan penapis kecantikan dan sebahagian lagi tanpanya. 

Keputusan menunjukkan bahawa gambar dengan penapis sentiasa dinilai lebih positif dalam pelbagai aspek.

Pengaruh meluas penapis kecantikan turut menjadi kebimbangan di Singapura.

Bagi pembantu eksekutif di sebuah syarikat pemula pengembangan kepimpinan, Cik Leona Ziyan, percaya larangan terhadap penapis kecantikan dianggap sudah terlambat kerana alat tersebut telah lama menjadi sebahagian daripada piawaian kecantikan masyarakat dan budaya digital. Beliau juga telah menggunakannya selama bertahun-tahun.

“Saya sering merakamkan kehidupan saya, dan secara realistiknya, mustahil untuk kelihatan sempurna setiap hari. 

“Jadi, penapis kecantikan sangat membantu untuk membuatkan penampilan saya kelihatan lebih baik ketika merakam video,” kata Cik Ziyan, 27 tahun, yang juga seorang pencipta kandungan sambilan.

Beliau mengenali individu yang selepas bertahun-tahun menyunting gambar secara berlebihan dalam talian, kini beralih kepada pembedahan plastik untuk menyesuaikan rupa sebenar mereka dengan versi digital yang ditingkatkan.

“Realiti mereka telah diputarbalikkan, tetapi saya tidak menilai mereka kerana saya sendiri pernah membuat beberapa pembaikan untuk mencantikkan diri.

“Saya juga pernah bergelut dengan isu harga diri, jadi... saya benar-benar memahami mereka.

“Kita semua terperangkap dalam lingkaran ini dalam pelbagai cara,” katanya.

Pengguna media sosial, Cik Sasha Bao, 33 tahun, pula percaya bahawa penapis kecantikan tidak seharusnya diharamkan.

“Jika mereka yang mempunyai masalah harga diri berasa terkesan dengan penapis kecantikan, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mendidik mereka.

“Saya rasa tanggungjawab ini terletak pada ibu bapa, adik-beradik yang lebih tua untuk mendidik remaja, golongan Gen Z dan Gen Alpha tentang bahaya piawaian kecantikan yang tidak sihat,” katanya.

Pengurus pelaburan itu mengakui bahawa beliau sering menggunakan penapis kecantikan, Meitu, untuk menambah solekan maya dan penapis Instagram untuk melicinkan tekstur kulitnya.

“Dahulu, saya memakai solekan ringan walaupun hanya untuk ke pasar raya, tetapi saya memutuskan untuk membiarkan kulit saya ‘bernafas’.

“Sekarang, apabila saya mengambil gambar, saya hanya menggunakan penapis kecantikan untuk ‘mengenakan’ solekan sebelum memuat naiknya ke Instagram. Ia sangat mudah.”

Kedua-dua wanita tersebut mengakui bahawa penapis kecantikan memberi kesan kepada harga diri mereka.

Pakar psikiatri perunding, Dr Victor Kwok, daripada klinik kesihatan mental, Private Space Medical, menyatakan penggunaan media sosial memburukkan lagi keadaan kesihatan seperti anoreksia nervosa, iaitu gangguan pemakanan dan kesihatan mental yang serius dalam kalangan individu muda.

Merujuk kepada kajian yang dijalankan pada 2016 semasa beliau berkhidmat di Hospital Besar Singapura (SGH), yang mengkaji penggunaan media sosial dalam kalangan individu dengan gangguan pemakanan, Dr Kwok berkata:

“Daripada 55 peserta yang menghidap anoreksia dan bulimia, 41.8 peratus berasakan bahawa media sosial memburukkan rupa paras mereka, dengan penggunaan yang lebih kerap dikaitkan dengan peningkatan tahap keseriusan penyakit.”

Penapis kecantikan, katanya, mengukuhkan piawaian kecantikan yang tidak realistik, yang boleh menyumbang kepada masalah ketidakpuasan imej badan dan kebimbangan berlebihan.

Solekan yang diinspirasikan oleh penapis kecantikan 

Dengan penapis kecantikan menjadi sebahagian daripada kehidupan digital ramai, adalah wajar jika industri kecantikan mula mengambil inspirasi daripadanya.

Kini muncul generasi baru produk solekan yang direka khas untuk meniru kesan yang dihasilkan sama seperti penapis kecantikan.

Produk ini dapat mengaburkan ketidaksempurnaan dan memberikan kemasan sempurna seperti hasil suntingan berus angin atau airbrush.

Berikut adalah beberapa produk yang patut anda miliki sebelum larangan penapis kecantikan berkuat kuasa.

Krim ‘IRL Pore Blur Filter Primer’ oleh Revolution Beauty ($20.50)

Produk krim IRL (akronim bagi ‘In Real Life’ atau Dalam Kehidupan Sebenar) oleh Revolution Beauty dijual pada harga $20.50.
Produk krim IRL (akronim bagi ‘In Real Life’ atau Dalam Kehidupan Sebenar) oleh Revolution Beauty dijual pada harga $20.50. - Foto REVOLUTION BEAUTY

Produk krim IRL (akronim bagi ‘In Real Life’ atau Dalam Kehidupan Sebenar) ini diperkaya dengan vitamin E, berfungsi untuk mengaburkan liang pori dan garis halus, memberikan kesan kulit yang lebih licin secara semula jadi.

Gunakan krim ini dengan mengurut perlahan pada kulit, terutama di kawasan yang ingin diberikan kesan kabur seperti hidung, dahi dan garis senyuman, sebelum menggosok bedak asas untuk menghasilkan kulit yang berseri.

Anda boleh mendapatkan produk ini di shopee.sg.

Bedak asas ‘Glow Tint Cushion’ oleh Pixi Beauty ($32)

Bedak asas ‘Glow Tint Cushion’ oleh Pixi Beauty dapat mencerahkan dan meratakan tona kulit, serta boleh dipadankan dengan semua warna kulit.
Bedak asas ‘Glow Tint Cushion’ oleh Pixi Beauty dapat mencerahkan dan meratakan tona kulit, serta boleh dipadankan dengan semua warna kulit. - Foto PIXI BEAUTY

Produk pelengkap wajah ini mungkin kurang dikenali, tetapi mendapat pujian meluas dalam talian kerana kemampuannya untuk rata dengan kulit secara semula jadi, menghasilkan kemasan matte pada kulit dengan sedikit sentuhan bercahaya.

Formula yang memantulkan cahaya ini dikatakan dapat mencerahkan dan meratakan tona kulit, sesuai untuk semua warna kulit.

Gunakan produk ini untuk meratakan tona kulit, memberikan asas solekan yang lebih halus dan sekata.

Anda boleh mendapatkan produk ini dalam talian di pixibeauty.com dan sephora.sg 

Gincu ‘Plumping Powder Matte Lip’ oleh Kylie Cosmetics ($35)

Gincu ‘Plumping Powder Matte Lip’ oleh Kylie Cosmetics dijual pada harga $35.
Gincu ‘Plumping Powder Matte Lip’ oleh Kylie Cosmetics dijual pada harga $35. - Foto KYLIE COSMETICS

Bintang realiti, Kylie Jenner, yang juga pengasas Kylie Cosmetics telah mencipta sesuatu yang jarang ditemui dalam dunia solekan – gincu yang bukan sahaja mengaburkan ketidaksempurnaan malah juga memberi kesan bibir yang kelihatan lebih penuh.

Tersedia dalam lima pilihan warna berpigmen tinggi, kemasan lembutnya menghasilkan rupa yang lebih semula jadi.

Mengandungi teknologi HotFlux dan formula yang boleh bertukar daripada cecair ke bedak, ia dapat memberi kesan gebu yang ringan di bibir dan dapat bertahan sehingga 12 jam.

Anda boleh mendapatkan produk ini di Sephora Ion Orchard atau dalam talian di sephora.sg 

Pemerah pipi ‘Blush Filter’ oleh Huda Beauty ($35)

Pemerah pipi jenis cecair dua dalam satu ini mempunyai formula ringan dan mudah diadun dalam pilihan enam rona berbeza.
Pemerah pipi jenis cecair dua dalam satu ini mempunyai formula ringan dan mudah diadun dalam pilihan enam rona berbeza. - Foto HUDA BEAUTY

Pemerah pipi jenis cecair dua dalam satu ini mungkin menjadi rahsia anda untuk mendapatkan kemasan lembut dengan pigmen yang sepadan dengan kulit serta mutiara mikro halus untuk kilauan bercahaya. 

Formula ringan dan mudah diadun ini tersedia dalam enam rona, termasuk tambahan terbaru warna merah jambu bercampur ungu, Ube Cream. 

Mulakan dengan hanya meletakkan sedikit cecair pemerah pipi dan perlahan-lahan menambahkan jumlahnya mengikut keinginan anda – tanpa perlu penapis.

Anda boleh mendapatkan produk ini dalam talian di sephora.sg

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg