MENGENANG kata-kata pujian penuh motivasi Ratu Dangdut, Zaleha Hamid, yang kini terlantar sakit selepas diserang angin ahmar, sebak mengasak jiwa penyanyi dangdut Singapura, Masnie Mohamed.
Tatkala itu, sekitar tiga tahun lalu, mereka sama-sama berkongsi pentas di Teater Luar Esplanade bagi persembahan Pesta Dangdut.
Di situlah, Masnie rasa terharu, tetapi pada masa yang sama, khuatir perlu memikul amanah terlalu besar tatkala biduanita Zaleha, yang dikenali mesra sebagai Mama Leha, menganggapnya selaku anak didik yang layak mewarisi gelaran Ratu Dangdut yang disandang selama ini.
Tahun ini, dengan usia Masnie mencecah 43 tahun pada Rabu lalu, beliau bersyukur dapat usahakan satu projek 'cover' empat lagu popular Mama Leha bersama rakan-rakannya yang mencintai irama dangdut, Henny Hanip, Roszalina Kaylin dan Dora Sudin.
Idea ini tercetus oleh pemuzik irama tradisional dan peniup seruling setempat, Rudy Jamil, 41 tahun, daripada E'Lectus Band, sebagai satu penghargaan buat legenda yang masih ada agar sentiasa dikenang.
E'Lectus Band dianggotai Najib Rahmat, 41 tahun; Mohamed Ali Mansoor, 56 tahun; Jamal Juma'at, 63 tahun; Amie Sirat, 62 tahun dan Nazri Naswom, 38 tahun.
Video 'cover' medley lagu Jangan Kau Tangiskan, Dangdut Reggae, Kerana Pengalaman dan Pria Idaman, boleh ditonton di YouTube Rudy Jamil dan laman Facebook Masnie Dangdut Vocalicious sejak kelmarin.
Ketika dihubungi Berita Minggu, Masnie menjelaskan beliau tidak akan dapat lupakan jasa Zaleha kepada genre muzik dangdut yang dicintainya.
"Secara peribadi, Ani ikuti perkembangan Mama Leha sejak beliau aktif menyanyi di kelab. Ketika itu, Ani muda lagi dan berusia belasan tahun serta masih baru dalam bidang nyanyian.
"Beliaulah yang banyak mengajar Ani selok-belok menyanyi irama dangdut, memberi teguran membina dan memberi tunjuk ajar bagaimana ingin mengawal rasa gementar di pentas.
"Projek ini kami usahakan kerana Ani ingin orang ramai masih mengingatinya dan mendoakan kesihatannya. Ani nak mereka mula bertanya khabar Ratu Dangdut kita bagaimana?
"Melalui lagu-lagunya, Ani nak orang sanjung perjuangannya dan akur inilah antara sumbangan Mama Zaleha pada persada seni kita di rantau Nusantara ini," ujar Masnie, yang mengeluarkan lagu Berserah tahun lalu di gedung muzik digital.
Rudy pula mengusahakan projek ini sebagai lanjutan pada aktiviti sewaktu pandemik ketika ramai anak seni terkurung di rumah dan menghasilkan banyak lagu 'cover'.
"Pada masa itu, saya libatkan Masnie dalam satu projek percubaan menyanyikan lagu 'cover' irama Hindustan. Kemudian, saya libatkan adik saya pula, Ikah Jamil, untuk bikin lagu 'cover'.
"Apabila saya memuatnaikkannya ke laman YouTube, saya dapati sambutan amat menggalakkan. Ada video yang sampai ditonton lebih 8,000 kali.
"Maka, saya beritahu Masnie, saya serius ingin bikin 'cover' dan interpretasi medley empat lagu Mama Leha. Pemilihan lagu dibuat atas dasar lagu-lagu ini memang sinonim dengan Mama Leha. Orang dengar, orang tahu ini lagu dendangannya.
"Mama Leha seorang perintis irama dangdut di Singapura sekitar tahun 1980-an. Mengapa tidak kita kenang dan hargai beliau?" jelas Rudy.
Masnie memberitahu beliau telah mendapatkan kebenaran untuk menghasilkan video penghargaan dan sanjungan ini daripada suami Zaleha, Ungku Sulaiman Ungku Aziz.
"Saya harap Mama Leha takkan menangislah menonton video kami. Saya sendiri sebak ketika menjadi pembuka tirai lagu Jangan Kau Tangiskan.
"Menitis air mata mengenang jasa Mama Leha dan kepercayaan yang beliau berikan kepada saya untuk mewarisi legasi irama dangdut di Singapura.
"Apabila beliau mengumumkan saya layak jadi 'Ratu Dangdut' sepertinya, saya tak tahu apa nak kata. Rasanya amanah dan gelaran itu terlalu besar. Saya hanya berikan yang terbaik untuk pupuk minat ramai termasuk generasi muda dalam menghayati irama dangdut," katanya.
Rudy sendiri berasakan seperti irama Melayu yang terbahagi kepada zapin, masri dan joget, sudah ada cabang dangdut seperti jaipong, Sunda dan yang terkini, koplo.
"Misi kami adalah dalam memastikan genre dangdut ini tidak pupus dan masih boleh dihargai oleh anak muda sebagaimana ia gigih dimajukan legenda kita, Mama Leha," ujar Rudy.
Roszalina yang mesra dengan panggilan Nana Kay, 38 tahun, berbesar hati dipilih bagi menjayakan projek ini yang merupakan penghargaan buat penyanyi yang disegani ramai, Mama Leha.
"Dangdut mempunyai ciri khas tersendiri dengan tempo yang membuat sesiapa pun ingin menari.
"Nasib Janda merupakan lagu kegemaran saya yang dinyanyikan Mama Leha. Liriknya menggambarkan keadaan dahulu dan sekarang meliputi tanggapan ramai terhadap kehidupan janda," jelasnya.
Henny, 42 tahun, wakil pertama Singapura ke peraduan realiti dangdut serantau, D'Academy Asia (DAA), pula menambah:
"Mama Leha adalah penyanyi kegemaran Henny. Justeru, terlibat dalam projek ini sahaja sudah cukup disyukuri. Irama dangdut pula sudah mendarah daging dalam diri Henny sebab mula menyanyikannya sejak kecil.
"Secara peribadi, Jangan Kau Tangiskan, lagu Mama Leha ini, membawa impak sebab ia mempunyai 'nyawa' dan menusuk kalbu. Mendengar Mama Leha nyanyikan lagu ini, sedih menyelubungi jiwa Penjiwaannya membuatkan saya faham dan hadam jalan cerita lagu ini."
Dora, 38 tahun, yang juga menggemari lagu yang sama dengan Henny mula jatuh cinta dengan irama dangdut sejak ibu saudaranya kerap memutar lagu dangdut.
"Saya masih berusaha memperbaiki lenggok, atau 'cengkok', dangdut ini dan gembira dapat mengasah vokal saya menerusi projek penghargaan buat Mama Leha," jelasnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg