Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penuh debar, tapi filem wira angkasa kurang kupasan watak

'Air Force The Movie: Selagi Bernyawa', filem M'sia yang dibintangi pelakon asal SG Adi Putra tetap menghiburkan
Aug 27, 2022 | 6:18 AM
SEMANGAT JUANG: Adi Putra (kiri) memainkan watak Mejar Adnan yang bersama skuadnya terlibat di dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, sebuah negara fiksyen yang sedang dalam pergolakan. Di dalam perjalanan pulang ke Malaysia, pesawat mereka telah ditembak jatuh oleh pengganas. . - Foto INSTAGRAM ADI PUTRA
SEMANGAT JUANG: Adi Putra (kiri) memainkan watak Mejar Adnan yang bersama skuadnya terlibat di dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, sebuah negara fiksyen yang sedang dalam pergolakan. Di dalam perjalanan pulang ke Malaysia, pesawat mereka telah ditembak jatuh oleh pengganas. . - Foto INSTAGRAM ADI PUTRA -

TEMA wira di layar perak semakin hangat kebelakangan ini dan menyusuli kejayaan beliau memaparkan watak Mat Kilau di layar perak, pelakon kelahiran Singapura Adi Putra kini muncul sebagai wira sekali dalam karya terkininya.

Filem yang dijayakan barisan pelakon dari seberang seperti Aiman Hakim Redza dan Nas-T ini berlangsung selama 90 mini tetapi tetap dapat menarik perhatian penonton dengan jalan cerita dan penyampaian sinematik yang penuh aksi.

Ia diarahkan oleh Zulkarnain Azhar yang dibantu oleh Frank See.

Malah, Zulkarnain juga dikenali dengan filem J Revolusi juga merupakan penulis dan pencetus idea buat Airforce: The Movie, Selagi Bernyawa ini.

Filem berkenaan dihasilkan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro, FXHammer Films dan SixFun Media.

Baru-baru ini, Berita Harian telah diundang menghadiri tayangan perdana filem ini sebelum ia ditayangkan di pawagam di Malaysia dan Singapura.

Berikut pengamatan kami:

SINOPSIS

Kapten Adib (Nas-T) dan Mejar Adnan (Adi Putra) bersama skuadnya terlibat di dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, sebuah negara fiksyen yang sedang dalam pergolakan.

Di dalam perjalanan pulang ke Malaysia, pesawat mereka telah ditembak jatuh oleh pengganas.

Mengetahui perkembangan ini, TUDM telah mengarahkan misi untuk menyelamatkan mereka semua. Zafran (Aiman Hakim), abang ipar kepada Adib dan juga seorang pilot jet pejuang berusaha untuk menyelamatkan mereka.

Demi keselamatan bersama, mereka harus berkorban dan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.

ULASAN PENULIS

Memang tidak dapat dinafikan filem ini penuh aksi dan boleh dikatakan satu pencapaian baik dari segi efek visual bagi filem di rantau ini.

Pada mereka yang minat dengan filem-filem peperangan dan khususnya peminat 'Top Gun', akan dapat rasakan getaran dan debaran itu sepanjang cerita.

Namun ada beberapa aspek filem dapat diperbaiki, terutama dari segi mengupas setiap karakter yang terkandas.

Daripada mata kasar, memang ada penumpuan dalam memberikan setiap karakter latar belakang tersendiri yang berbeza dan unik.

Namun, ekoran kesuntukan masa dan jalan cerita yang terlampau padat, informasi itu jadi tersekat dan tidak dapat dikembangkan dengan baik.

Peluang untuk menabur sedikit butiran pada babak-babak awal tidak digunakan, membuatkan penyampaian dialog dan plot rasa tidak bertempat dan terpaksa.

Konflik antara Zafran dan Adib juga tidak dicungkil secara cukup mendalam, membuat perbalahan antara mereka sesuatu perkara kecil yang dibesar-besarkan tanpa cukup sebab, hasilnya, kurang meyakinkan secara keseluruhan.

Watak Zafran yang tidak puas hati dengan Adib kurang menyerlah pada awal filem, tetapi berkembang di saat akhir apabila beliau diberikan tugas memimpin pasukan tentera udara menyelamatkan pasukan Paskau (Tentera Udara Diraja Malaysia) yang terkandas, termasuk adik iparnya itu.

Penggambaran negara fiksyen Namburi, serta arahan seni secara keseluruhannya sangat meyakinkan. Banyak usaha dan titik berat diberikan kepada kualiti filem itu yang boleh dikatakan, pencapaian yang boleh dibanggakan.

Akhir kata, ada banyak elemen yang menarik dalam filem ini yang akan membuat penonton sentiasa ternanti-nantikan adegan seterusnya.

Cerita ini juga memberi penghargaan pada wira-wira negara yang telah berkorban demi negara.

APA KATA PENONTON

  1. Khairudin Samsudin, pelakon dan pengarah:

"Saya lebih berminat dengan aspek teknikal dan produksi filem kerana ia memerlukan banyak usaha daripada pelakon, pengarah dan pasukan pengeluaran untuk mencipta sesuatu seperti ini. Syabas untuk mereka!"

  1. Hatta Mustafa, pengarah:

"Secara jujur, ia agak menyeronokkan. Rasanya seperti 'Black HawkDown' bertemu 'Top Gun' - versi Malaysia. Dari segi cerita, ia adalah formulaik tetapi ia berkesan. Urutan aksinya patut dipuji dan lakonannya boleh dipercayai. Saya bagi filem ini rating 7.5/10.

  1. Rahila Rahun, artis,penyanyi:

"Jalan ceritanya hebat. Ia seperti menaiki roller coaster. Macam cerita hantu, ada babak-babak yang membuat hati saya terlompat ketakutan, terutama dengan adegan tembak-menembak. Saya suka hakikat bahawa mereka tidak pernah menyerah demi negara mereka. Secara keseluruhan saya memberikan filem 8/10."

  1. Daly Filsuf, artis, penyanyi rap, penggubah lagu :

"Cerita yang berani. Sokongan Tentera udara dalam filem ini ketara, membuat cerita ini menjadi, lebih meyakinkan."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg