PENULIS novel seram Stephen King yang diberi jolokan 'Raja Cerita Seram' adalah antara pengarang terhebat generasinya.
Banyak karyanya seperti Carrie, Christine, The Shining, Pat Semetary dan Misery sudah dijadikan filem Hollywood yang berjaya membuat penonton pawagam menggigil ketakutan.
Justeru, King, 75 tahun, merupakan nama yang tidak asing lagi dalam budaya pop.
Karyanya mencetus pelbagai tanda tanya. Ramai yang tidak dapat melupakan kisah bapa yang tergamak membunuh anggota keluarga mereka sendiri ataupun perihal badut dengan desakan membunuh golongan yang tidak bersalah.
King mendapat inspirasi daripada penulis kisah seram terdahulu H.P. Lovecraft dan Shirley Jackson.
Laman Far Out melaporkan cerita seram King yang dijadikan filem cukup realistik dengan memaparkan kota Maine sebagai latar belakang lokasi sebilangan besar filem beliau. Tiada unsur fantasi yang diperbesar-besarkan. Sebaliknya, orang ramai boleh mengaitkan kisah seram King dengan realiti sekeliling mereka.
Apabila ditanya mengapa beliau menulis, King menjelaskan:
"Jawapannya mudah sahaja. Tiada kerja lain yang dapat saya buat. Saya dilahirkan untuk menulis cerita. Saya menyukai tugas ini. Sebab itu saya melakukannya.
"Saya benar-benar tidak dapat membayangkan saya bikin kerja lain. Kalau ada yang tanya mengapa karya saya semua menakutkan, saya kata...bukankah ini cerita seram? Kalau tak menakutkan, ia bukan cerita seram. Saya tiada pilihan lain."
Populariti King masih kekal hingga ke hari ini. Tiada tanda yang beliau ingin memperlahankan langkahnya mengarang buku atau bekerjasama dengan pihak Hollywood.
Karya terkininya Fairy Tale sudah diputuskan akan menjadi sebuah filem arahan Paul Greengrass.
Sebanyak 15 novel lain akan juga diadaptasikan sebagai filem.
Sungguhpun begitu King menjelaskan ada beberapa karyanya yang tidak mampu diraikan dan kelihatan hambar di layar perak.
Antara yang disifatkannya sebagai membosankan adalah adaptasi Stanley Kubrick pada karyanya The Shining pada 1980 dan The Running Man hasil arahan Michael Glazer pada 1986.
"Tapi yang paling saya benci adalah versi Firestarter arahan Mark L. Lester. Ia dibintangi Drew Barrymore, Martin Sheen dan David Keith.
"Ia cerita budak kecil yang mempunyai keupayaan atau kuasa luar biasa membuatkan sesuatu di depan matanya terbakar.
"Ibu bapanya terlibat dalam satu eksperimen rahsia pemerintah. Saya tahu filem ini tidak diketahui sebilangan penonton dunia walaupun pelakonnya handal-handal.
"Bagi saya, filem ini memang teruk dan tiada 'jiwa' dan 'rasa'." kata King.
Beliau kemudian dikritik Lester yang payah menerima hasil arahannya kelihatan hambar dari pengamatan jujur sang penulis sendiri.
King bagaimanapun menyalahkan salah seorang penerbit Firestarter, Martha De Laurentiis, yang mengilhamkan filem Red Dragon dan Hannibal.
"Firestarter adalah yang paling dahsyat buat saya walaupun jalan ceritanya sangat hampir dengan novel asal yang saya tulis.
"Tak ada 'rasa' langsung macam kentang lenyek kafe murahan. Beberapa kesan khasnya tak masuk akal buat saya," jelas King.