Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

PELAKON LELAKI TERBAIK (DIGITAL) ANUGERAH TELEVISYEN ASIA KE-27

'Penyamar Identiti' curi hati juri

Norman Ishak makan telur rebus dan salada selama tiga bulan semasa penggambaran
Dec 11, 2022 | 05:30 AM



IKAT perut dan hanya makan telur rebus dan salada tanpa kuah (dressing) selama tempoh tiga bulan penggambaran.



Terasa macam nak nangis apabila terpandang ketupat serta buka periuk hanya untuk cium bau ayam masak merah tetapi tidak dapat merasanya ketika menyambut Hari Raya Haji.



Inilah antara pengorbanan besar pelakon Singapura, Norman Ishak, 34 tahun, sewaktu menggalas peranan sebagai Danial Asmuri, si pencuri identiti dan penyamar dalam drama Identiti yang masih disiarkan di aplikasi meWATCH dan pernah bersiaran di Saluran Suria sebelum ini.



Kehidupan yang suram membuatkan Danial kepingin menjadi orang lain. Pada akhirnya, dia menyamar menjadi Adam Salihin yang kembali ke pangkuan keluarga Salihin selepas diculik sekitar 20 tahun lalu.



Bertukar-tukar watak dengan kejahatan menjadi teras peranan antagonis utama ini merupakan cabaran besar yang sangat dihargai Norman sepanjang bergelar pelakon sejak kecil lagi.



Lebih manis, watak Danial Asmuri/Adam Salihin ini menjulang nama Norman Ishak di peringkat serantau apabila beliau baru-baru ini dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Utama (Digital) pada Anugerah Televisyen Asia Ke-27 baru-baru ini.



Beliau menewaskan pelakon China Tan Jianci (Under The Skin); pelawak Singapura Mark Lee (It's All Your Fault); pelakon Indonesia Jefri Nichol (Pertaruhan The Series); pelakon Malaysia Fattah Amin (Ganjil) serta Syafiq Kyle (Seribu Nina); pelakon Filipina Christian Bautista (Still); dan pelakon Korea Kim Soo-Hyun (One Ordinary Day).



Acara yang diperkenal sejak 1996 meraikan karyawan seni dan program bermutu yang tersiar di televisyen Asia.



Kategori digital ini adalah pengenalan baru sejak banyak wadah penstriman dan perkongsian video menjadi tontonan alternatif buat pengguna.



Norman pernah dicalonkan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Utama bagi drama Firasat pada 2015.



BIKIN GERAM IBU SENDIRI



Ketika dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom, Norman terharu dan berterima kasih di atas pengiktirafan penganjur tetapi akur tidak pernah memaksa dirinya untuk berlakon hanya untuk mendapatkan anugerah.



"Berlakon merupakan nyala rasa saya sejak dari dahulu. Saya tak pernah berlakon untuk julang piala. Arwah ayah pun tak pernah memaksa saya berlakon. Ini pilihan sendiri.



"Misi saya hanyalah agar dapat menjual kisah dan watak yang saya paparkan dalam sesebuah kerja seni.



"Saya paling suka kalau ada yang komen mereka geram dengan watak saya yang jahat. Ibu saya sendiri tak sukakan watak saya dalam Identiti. Beliau bingit dan menyampah dengan watak itu.



"Bagi saya, itulah kepuasan terbesar apabila watak saya sampai ke hati ramai dan mampu buat mereka geram, sedih atau kasihan seperti dalam Identiti ini.



"Walau apa pun, saya menghargai anugerah yang diberi. Saya takkan capai mutu lakonan sebegitu tanpa bantuan ramai orang khususnya pihak penerbitan daripada Papahan Films dan pengarah M. Raihan Halim serta pelakon lain dan kru belakang tabir," jelasnya.



MASIH TERKESAN SELEPAS SETAHUN



Norman, anak personaliti televisyen dan pelawak Allahyarham Ishak Ahmat, sudah terbiasa membawa watak berat dalam drama sebelum ini seperti Firasat dan Hilang Kasih Di Sarajevo yang memerah minda dan emosinya.



Bagaimanapun, membawa pelbagai peranan yang bertukar silih-berganti dalam Identiti ini menimbulkan impak yang sukar diluah dengan kata-kata sehinggakan lebih setahun selepas tamat penggambaran, beliau masih terasa kesannya.



DIET TELUR REBUS



"Keadaan dah tak sama lagi seperti sebelum saya jayakan Identiti. Mungkin dah lama amalkan diet telur rebus dan air jarang, sistem tubuh yang terperanjat sudah lali sampaikan kalau tak makan tengah hari kini pun masih okay.



"Diet yang saya amalkan dahulu 'menggila'. Badan perlu kurus sebab itu tuntutan watak. Bayangkan pada waktu makan malam, pelakon lain diberi hidangan lazat seperti 'chicken chop' tetapi hanya ada sebungkus besar salada dan buah-buahan untuk saya.



"Saya dahlah tak makan salada, tak boleh telan lobak merah mentah atau makan saderi. Ada ketika kerana saya rindu pada minuman manis yang menjadi pelepas dahaga, minda saya macam tak boleh berfungsi. Rasa tak bertenaga.



"Mujurlah saya dapat pujuk pihak penerbitan agar belikan saya minuman 'mocha frappe' kegemaran saya daripada McDonald's.



"Itulah yang menggembirakan saya," ceritanya yang susut sekitar tujuh hingga lapan kilogram kerana diet yang ketat itu.



TAK BOLEH DENGAR LAGU EMOSI



Lagu sedih, marah, penuh kekejaman dan kegelapan seperti Nutshell (nyanyian Alice In Chains), Hymn For The Missing (Red), Selamanya (Anggun) dan Scars (No Name Faces) yang sering didengar bagi menyerap watak si pencuri identiti itu kini tidak mampu didengar lagi.



"Ia seakan-akan membawa kembali kenangan menjalani penggambaran yang memerah sampai 'kering' emosi saya. Pernah sekali kawan saya berbual tentang orang yang saya tidak kenal menjalani diet. Dengar sahaja 'diet', saya jadi serba resah.



"Impaknya cukup dalam. Kali ini, makan masa nak 'buang' habis watak yang saya bawakan ini. Ia amat berat.



"Watak dahulu pun berat tetapi senang dikikis daripada diri," jelasnya yang sebenarnya kasihankan watak Danial/Adam yang tersepit dalam melakukan kejahatan kerana dipengaruhi pasang surut emosi sejak kecil.



BANTUAN 'ORANG LAMA'



Norman amat berterima kasih dengan rakan-rakan gandingannya dalam Identiti khususnya Lim Yu-Beng dan Rahimah Yusof.



"Kak Rahimah akan bawa bermacam makanan ke set tetapi beliau pastikan saya tak nampak atau hanya akan berkongsi makanan itu dengan yang lain ketika saya tiada. Jadi saya tak kempunan.



"Yu-Beng pula pelakon veteran yang selalu datang ke set penggambaran dengan keadaan cukup bersedia untuk bekerja. Semua dialog dah hafal... tinggal nak berlakon sahaja.



"Beliau menunjukkan profesionalisme yang tinggi. Tetap merendah hati, rajin dan sudi membantu jabatan seni atau prop untuk angkat barang walau beliau pelakon yang dihormati.



"Kadangkala saya sedih lihat ada juga pelakon sebaya atau lebih muda yang tidak pandang serius soal persiapan... boleh pula ketawa-ketawa dan cakap dia belum baca atau belum hafal skrip," kongsi Norman.



CUBA JADI PENERBIT



Sebagai anak seni, beliau ingin terus menimba ilmu belakang tabir dan bersyukur diberi peluang menerbitkan salah satu episod drama Channel 5, After Dark (Musim Kedua).



"Selain jadi pelakon untuk satu watak berat yang awalnya saya tak nak bawakan kerana terlalu penat selepas baru tamat menjalani penggambaran Tiang Lampu, saya timba pengalaman mencari lokasi penggambaran, memastikan tidak mengatasi bajet yang ditetapkan serta banyak bertolak ansur dengan bakat lain untuk memahami keterbatasan yang dihadapi.



"Saya kira bagus untuk pelakon kita tambah pengalaman belakang tabir penghasilan drama atau program. Jadi kita tahu betapa susahnya bikin drama atau keterbatasan balik tabir yang perlu dibereskan.



"Sahabat saya, Izyan Mellyna, baru mencubanya untuk telefilem Hari Raya Haji. Fizah Nizam pun dah gerakkan beberapa program. Fauzie Laily juga melahirkan hasrat melakukan demikian. Ia jadikan kita bakat seni lebih menyeluruh.



"Apabila kita duduk, banyak yang boleh kita bualkan untuk menaiktarafkan mutu program televisyen Melayu di Singapura," tambahnya.



IMPIKAN PROJEK BIOPIK... NAK JADI P.RAMLEE?



Di sudut hati Norman, beliau kini impikan untuk menjayakan projek seni yang membuka selingkar kisah riwayat hidup seseorang yang dikenali dan berpengaruh.



"Nak jadi P. Ramlee? Tidaklah sebab sudah terlalu banyak biopik mengenainya dibuat. Tak semestinya seorang penyanyi atau pelakon.



"Mungkin seorang pembaca berita atau tokoh berpengaruh... ia benar-benar mencabar saya menyelidiki watak individu ini. Saya tonton sekilas filem Elvis dan lihat pelakon Austin Butler salin tak tumpah dengan penghibur legenda itu.



"Rami Malek selaku Freddie Mercury dalam Bohemian Rhapsody pun meyakinkan... tengok postur tubuhnya, cara dia bergerak dan memegang mikrofon... persis Freddie," jelas Norman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >