Topic followed successfully
Go to BHkuPenyanyi 70-an, Milah Hussein, kenang jasa ikon legenda
Penyanyi 70-an, Milah Hussein, kenang jasa ikon legenda
Hargai tunjuk ajar Asmah Laili dan Ahmad Ja'afar dalam semai disiplin, keyakinan diri hingga hari ini
Penyanyi 70-an, Milah Hussein, kenang jasa ikon legenda
SEAWAL usia 12 tahun, penyanyi veteran asal Singapura, Datin Milah Hussein, sudah belajar erti disiplin, komitmen dan kerja keras.
Beliau yang kini sudah bermastautin di seberang Tambak bersama suami dan tiga anaknya yang berusia antara 30 hingga 39 tahun, ingat detik awal bertanding dalam peraduan Bintang Radio Televisyen Singapura (RTS) pada 1969.
Rakan yang bertanding dengannya bukan calang-calang iaitu juara peraduan, Allahyarham M. Ismail dan pemenang ketiga, Allahyarhamha Datuk Sharifah Aini.
Sebagaimana kongsinya dengan Berita Harian dalam satu wawancara Zoom baru-baru ini:
"Pada usia 12 tahun, saya memang tak tahu apa-apa kecuali suka menyanyi dan ingin menyanyi dalam pertandingan itu.
"Saya tak sampai ke peringkat akhir tetapi hargai tempoh saya berlatih sendiri dan beranikan diri bersaing dengan orang yang lebih matang dan berpengalaman. Rasanya, saya peserta termuda ketika itu."
Milah, 66 tahun, yang dikenali kerana lagu Bebas, bakal menjayakan acara minum teh petang anjuran Wadah Seni Entertainment, Retro Fiesta 70-an, di De Hall SG@Tai Seng Center di Irving Road pada 10 September ini.
Inilah detik beliau kembali ke Singapura untuk bertemu teman lama dan peminatnya.
Tiga lagu, Bebas, Bila Hati Sudah Sayang (runut bunyi filem Si Badol) dan Jikalau Abang Merindu, akan dinyanyikannya dalam acara itu.
Sepanjang perbualan, Milah mengingati jasa baik 'orang lama' yang banyak memberinya pendedahan dan tunjuk ajar seperti penyiar ikonik Allahyarhamha Asmah Laili dan komposer Allahyarham Ahmad Ja'afar.
"Kak Asmah banyak menawarkan peluang untuk saya menyanyi dalam program terbitannya seperti Dari Studio A.
"Beliau tegas dan disiplin. Dipesannya saya datang 10 pagi tapi saya akan datang sejam lebih awal iaitu 9 pagi. Beliau banyak memberi saya keberanian dan keyakinan untuk tampil di khalayak ramai sebab program yang dikendalikan biasanya ada penonton menyaksikan kami menyanyi.
"Pada ketika itu, memang tiada guru vokal. Setelah melalui beberapa pusingan rakaman dengan penerbit hanya minta kita nyanyi ikut gerak hati kita tanpa beri tunjuk ajar khusus mengenai teknik vokal, saya mula mencari-cari guru.
"Saya dapatkan bimbingan daripada Ahmad Ja'afar. Saya ingat pengalaman pergi ke pejabatnya (Perbadanan Penyiaran Singapura) setiap Sabtu untuk belajar. Beliau banyak beri panduan terperinci.
"Saya juga usahakan untuk bertemu penyanyi veteran lain seperti Datin Paduka Julie Sudiro dan Kartina Dahari untuk dapatkan nasihat menjaga suara dan menyanyi dengan betul. Tengok mereka nyanyi, suka betul saya. Sebab kalau kita nak maju, kita perlu rajin belajar. Mereka pun suka berkongsi dan tak lokek. Mereka ajar setulus hati," katanya.
Menurutnya, penyanyi era 1970-an banyak dapat pendedahan menerusi program televisyen yang kerap diadakan seperti Pesta Pop.
"Apabila kita dah selalu muncul di televisyen, orang mula kenal. Cuma ketika saya sudah mula menyanyi di kelab malam, peluang agak terbatas.
"Kalau ada rancangan Hari Raya pula, penatnya semacam sebab kita menyanyi malam dan balik 2 pagi. Keesokan pagi sekitar 9 pagi perlu ada di studio. Malam nak nyanyi lagi," kongsinya.
Kesabaran memang amat diperlukan ketika berada di studio rakaman. Kebiasaannya kalau ada silap, perlu diulang nyanyian itu berkali-kali sampai ketepatan dendangan memuaskan hati penerbit.
"Sekarang lebih senang sebab kalau suara tak sampai, boleh 'adjust'. Lain macam zaman saya dulu. Selagi tak sampai, buatlah berkali-kali.
"Kena sabar. Penerbit saya ketika itu adalah Ahmad Daud dan Kassim Masdor," jelasnya.
Di sebalik segala jerih payah, pada awal kerjayanya sekitar 1970-an, Milah berpeluang mewakili negara dalam beberapa projek pertukaran penyanyi Asia Tenggara.
Pada 1975, beliau adalah antara lima artis Singapura yang terpilih bagi program meronda negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina dan Thailand.
"Saya akan habiskan masa seminggu di Malaysia, seminggu di Filipina dan seminggu di Thailand.
"Awalnya, bapa saya berat nak izinkan anaknya pergi mengembara. Arwah Ahmad Ja'afar sampai datang ke rumah untuk pujuk bapa saya kerana katanya, ini peluang keemasan untuk saya tebarkan sayap dalam bidang nyanyian.
"Bapa pun izinkan dan arwah Ahmad cakap, 'Tengok tu...aku cakap, mesti bapak kau izinkan," katanya lagi.
Pengalaman itu kemudian disusuli dengan satu projek mempromosikan Singapura di bawah Lembaga Pelancongan Singapura (STB), yang ketika itu dikenali sebagai Lembaga Penggalak Pelancongan Singapura (STPB).
Milah berpeluang ke beberapa kota India, dari Madras, Bombay dan New Delhi, Dubai dan Copenhagen di Denmark.
"Sambil mempromosikan makanan Singapura, kita pun diminta nyanyi lagu yang mengenalkan negara ini kepada dunia. Ia adalah pengalaman yang saya tidak dapat lupakan," ujarnya yang sempat dicungkil bakat lakonannya dalam filem Si Badol.
Masa Milah kini tertumpu pada kegiatan bersama keluarga dan anak-anak, Norrastra Illa Rohailan, Rossaili Islah dan Rohaizi Izlah.
"Anak-anak memang dilahirkan di Singapura. Apabila kami mengambil keputusan berhijrah ke Malaysia sekitar 1997/98 itu, anak-anak sambung belajar di sana.
"Saya memang aktif buat bisnes memasak dan bikin kek di Singapura dahulu. Itu memang perancangan saya selepas meninggalkan bidang hiburan.
"Saya sambung perniagaan kek lapis dan kek orang kahwin untuk kenalan terdekat semasa di Malaysia tetapi alhamdulillah, sekarang anak perempuan sulung saya dah boleh ambil alih perniagaan kek," katanya lagi.
"Saya juga usahakan untuk bertemu penyanyi veteran lain seperti Datin Paduka Julie Sudiro dan Kartina Dahari untuk dapatkan nasihat menjaga suara dan menyanyi dengan betul. Tengok mereka nyanyi, suka betul saya. Sebab kalau kita nak maju, kita perlu rajin belajar. Mereka pun suka berkongsi dan tak lokek. Mereka ajar setulus hati." - Milah Hussein mengenai jasa baik 'orang lama' yang banyak memberinya pendedahan dan tunjuk ajar.

