KUALA LUMPUR: Lima bulan selepas pulih daripada COVID-19, penyanyi Janji Manismu, Datuk Aishah disahkan dijangkiti wabak itu buat kali kedua.
Menyifatkan apa yang dilalui sebagai ketentuan takdir, Aishah atau nama sebenar, Wan Aishah Wan Ariffin mengesahkan dirinya positif COVID-19 melalui perkongsian video pada akaun Instagram (IG), malam Ahad (27 Februari), lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
"Assalamualaikum semua. Ini baru betul-betul ketentuan takdir. Hari itu, selepas menerima suntikan dos penggalak, saya diminta Presiden Aishah FC, Dr Nazlin buat ujian saringan.
"Hari pertama keadaan saya baik-baik sahaja. Namun, selepas membuat ujian menerusi kit ujian kendiri, saya didapati positif COVID-19 untuk kali kedua.
"Saya juga buat ujian itu untuk kali kedua dan keputusannya tetap sama (sambil menunjukkan alat ujian itu yang bertanda dua garisan merah).
"Rasa sakit teramat dan saya betul-betul tidak larat. Simptom yang saya alami ini sama seperti simptom klasik COVID-19 yang pernah saya baca sebelum ini.
"Masa mula-mula kena, saya tidak ada batuk atau hidung berair. Tetapi kali ini, keadaannya sangat teruk," luahnya melalui video durasi 2.51 saat itu.
Sehubungan itu, penyanyi yang baru muncul dengan single berjudul Ketentuan Takdir meminta kepada semua pihak yang pernah bersua atau bekerja dengannya sebelum ini agar menjalani ujian saringan.
"Kepada semua kru produksi yang terbabit dalam penggambaran muzik video Ketentuan Takdir dan petugas di pusat pemberian dos penggalak, saya harap anda semua dapat membuat pemeriksaan kerana menjadi kontak rapat saya," pinta penyanyi berusia 57 tahun ini,
Sementara itu, melalui hantaran berbeza, penyanyi bervokal nyaring ini sempat bergurau dengan pengikut biarpun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
"COVID-19 ini peminat lagu Janji Manismu agaknya sebab asyik nak ikut saya sahaja. Tidak mengapalah, Allah nak suruh saya berehat. Dapatlah saya berehat untuk beberapa hari.
"Jaga diri dan saya harap anda semua dapat doakan saya dan mereka yang sedang bertarung dengan virus ini," katanya.
Meninjau ruangan komen, peminat dan rakan selebriti mendoakan agar bekas anggota kumpulan The Fan Club itu tabah dan segera sembuh.
Akhir Ogos tahun lalu, Aishah dikejarkan ke Hospital Ampang selepas paras oksigen turun mendadak akibat jangkitan COVID19.