KUALA LUMPUR: Penyanyi Janji Manismu, Aishah, 56, mengesahkan dirinya positif Covid-19 petang Isnin (30 Ogos).
Aishah yang nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin berkata, keputusan diperoleh selepas menjalani ujian Covid-19.
"Selepas melakukan ujian Kit Ujian Pantas (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta, hanya saya seorang disahkan positif COVID-19.
"Doktor menyarankan saya segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan berikutan paras oksigen menurun kepada 92 peratus, petang ini," katanya kepada laman BH Online (Malaysia).
Penyanyi yang popular menerusi lagu Bahtera Merdeka dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu itu memaklumkan, keadaan kesihatannya beransur stabil selepas menerima rawatan kecemasan.
"Saya dibawa ke Hospital Ampang dengan menaiki ambulans, pada Maghrib. Sekarang, saya sudah berada dalam wad.
"Selepas mendapat bantuan pernafasan, saya rasa semakin baik," ujarnya.
Terdahulu, penyanyi bervokal nyaring ini turut mengumumkan khabar duka menerusi perkongsian video di Instagram (IG), petang Isnin
"Positif COVID-19. Tolong doakan kami," tulisnya.
Video sepanjang 3.01 saat itu memaparkan Aishah menjalani ujian Covid-19 dilakukan seorang petugas kesihatan di kediamannya.
Menyusul selepas video itu, bekas anggota kumpulan Aishah & The Fan Club ini turut berkongsi satu hantaran yang memaparkan foto menggunakan alat bantuan pernafasan.
"Pengalaman naik ambulans dengan berbunyi siren. Doakan saya," katanya.
Hantaran dimuat naik Aishah dalam media sosial turut mendapat perhatian peminat dan rakan artis.
Antara mereka yang berkongsi di Instagram dan meminta himpunan doa peminat adalah penyanyi Di Persimpangan Dilema, Nora.
"Permudahkan segala urusan rawatan kakakku, sahabatku Aishah. Dan berikanlah kesembuhan segera kepadanya supaya dapat kembali pulih seperti biasa," tulis Nora.
Lampiran posnya mendapat kiriman doa dari selebriti seperti Anuar Zain, Datin Alyah dan Datin Lisa Surihani. - Berita Harian Malaysia
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg