Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Penyanyi Farisha Ishak jatuh hati dengan tugas mengacara

Juara 'The Final 1', terajui program YouTube 'Taboo' dan kendali dialog belia bersama Mufti
Jun 12, 2022 | 08:08 AM



JIKA masa boleh diputarkan semula, juara peraduan realiti The Final 1, Farisha Ishak, tidak akan membataskan kerjayanya hanya pada bidang nyanyian.



Baginya, itulah satu kesilapan kerana tidak terbuka meneroka cabang lain seperti bidang pengacaraan dan menjadi moderator forum sebagaimana yang beliau giat lakukan kini.



Namun, tidak terlambat melakukannya berbekalkan nyala rasa pada isu semasa dan perihal sosial yang berlegar dalam kehidupan belia dan wanita.



Buat masa ini, Farisha, 28 tahun, seorang karyawan dasar awam dan pembangunan kapasiti, mengacara rancangan dalam talian YouTube Entertainment - Mediacorp, Taboo, terbitan Screenbox.



Beliau juga pernah menjadi moderator dalam sesi perbincangan belia Islam bersama Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, sebagai sebahagian acara dialog Adab In Advocacy.



Pada masa yang sama, Farisha terlibat dalam projek panel belia AMP yang bakal membentangkan usulan dalam meneroka cara pertubuhan Muslim itu dapat mendekati belia dan memperkasa mereka meliputi aspek kepimpinan politik atau dalam menggalak mobiliti sosial.



Ketika dihubungi Berita Minggu dalam wawancara Zoom, Farisha menjelaskan:



"Satu kesilapan yang saya buat dahulu adalah membataskan diri saya hanya pada satu bidang iaitu menyanyi.



"Saya rasa selaku penyanyi, itu sahaja amanah saya. Saya tidak pernah terfikir untuk berkongsi pandangan saya tentang isu semasa.



"Saya mulakan segalanya secara perlahan-lahan. Apabila pengikut saya memberi respons tentang isu yang diketengahkan, saya mendapati ramai yang berkongsi cita rasa serupa dalam menyelongkar isu belia atau wanita yang penting dan genting untuk difikirkan."



Farisha gembira dapat mewujudkan perbincangan di media sosial tentang sesuatu isu bagi mewujudkan kesedaran ramai mengenainya.



Namun, selebihnya beliau berharap isu-isu yang diutarakan mampu mencapai jalan penyelesaian dan tidak setakat tular di media sosial.



"Apabila mendapatkan respons ramai mengenai pelbagai isu yang diutarakan, saya rasa gembira.



"Saya kini dapat melakukan dua bidang kerjaya sampingan sekali gus, sebagai pengacara, moderator atau penceramah di samping menyanyi yang merupakan cinta pertama saya," ujarnya.



Menurutnya lagi, ramai di luar sana yang sebenarnya mencari ruang dan wadah bagi mengemukakan pandangan.



Mereka hanya tidak tahu bagaimana melakukannya secara beretika.



"Saya hanya harap belia yang berbakat di luar sana dan ingin menyuarakan pandangan mereka dapat berbuat demikian tanpa mengabaikan adab.



"Memperjuangkan hak sesuatu isu juga perlukan adab. Zaman media sosial tidak bermakna semua orang boleh buat sesuka hati dalam luahan dan kupasan pandangan.



"Inilah yang banyak kami bincangkan bersama Mufti Dr Nazirudin yang cukup disegani kerana ilmu, kerendahan hati dan budi baiknya.



"Bagi saya, peluang menjadi moderator dalam sesi bersama Mufti amat saya hargai, Ia membuka minda dan sekali gus menekankan kepentingan menjaga adab dan etika walaupun ada perkara hangat untuk kita kemukakan bagi renungan bersama," jelas Farisha.



Menyentuh tentang Taboo pula, beliau menganggapnya sebagai peluang keemasan yang tidak diduga bak pucuk dicita, ulam mendatang.



"Hasil daripada perkongsian pandangan saya di Instagram, maka penerbit rancangan ini yang mengikuti saya di Instagram berasakan saya boleh ditawarkan peranan sebagai pengacara Taboo.



"Ada banyak isu larangan yang boleh dijadikan topik setiap episod. Kami ingin isu sebegini yang ramai tidak duga menjadi topik perbincangan masyarakat.



"Saya sendiri terkejut dengan beberapa penemuan dalam rancangan ini. Misalnya, kisah gadis yang menjadi 'sugarbaby' atau dibayar untuk menemani lelaki berusia yang kaya atau dipanggil 'sugardaddy'.



"Siapa yang sangka dek desakan kewangan, ada anak gadis yang sanggup melakukan kerja sebegini dengan dijanjikan pulangan lumayan.



"Apabila ingin keluar daripada tugas ini, bermacam dilema bersarang di fikiran mereka yang awalnya seronok diberi wang dan hadiah mewah.



"Kemudian ada kisah rawatan kontemporari oleh seorang wanita muda yang berpandukan buku jampi dan menggelar dirinya 'witch' atau ahli sihir.



"Ia sesuatu yang cukup mengerikan seandainya ada juga pelanggan Islam yang dikhuatiri terpesong aqidahnya hanya kerana menyatakan wujud ayat Quran dalam buku jampi itu," jelas Farisha.



Taboo juga menyentuh tentang penipuan melibatkan sindiket dari Afrika.



"Antara cabaran yang saya hadapi adalah mencungkil maklumat daripada mereka yang diwawancara.



"Memandangkan perkongsian mereka itu adalah isu larangan untuk dibincangkan masyarakat, saya perlu peka dengan situasi, membuat mereka selesa berkongsi dan mengimbangi rasa ingin tahu dengan kepekaan," tambahnya.



Buat Farisha, Taboo adalah program yang dapat menasihatkan orang ramai agar usah mudah terpedaya dan harus berhati-hati dalam membuat pilihan kehidupan.



Dalam kesibukan mengacara, Farisha yang telah berumah tangga dengan mantan teman kelas Mandarin di Universiti Nasional Singapura (NUS), Connor Cooke, 26 tahun, yang berasal dari Carolina Utara, Amerika Syarikat, ada perancangan baru untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana.



"Saya dan Connor akan jadi rakan sekuliah lagi. Kami akan mengambil kursus Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Sekolah Perniagaan Kenan-Flagler di Universiti North Carolina.



"Tak sabar untuk sama-sama memulakan kembara pengajian bersama. Persaingan antara kami akan bermula kini," selorohnya.



Bagaimana pula kerjaya nyanyiannya yang sebelum ini menghasilkan album berjudul Aligned pada 2014?



"Setelah sekian lama, saya bertuah dapat berduet lagu joget Kemenangan Hari Raya dengan Abang Elfee Ismail yang dimuatkan dalam koleksi lagu Raya baru yang diusahakan komposer Sha'aban Yahya," tambahnya.




TENTANG TUGAS MODERATOR



"Saya hanya harap belia yang berbakat di luar sana dan ingin menyuarakan pandangan mereka dapat berbuat demikian tanpa mengabaikan adab.

Memperjuangkan hak sesuatu isu juga perlukan adab. Zaman media sosial tidak bermakna semua orang boleh buat sesuka hati dalam luahan dan kupasan pandangan.

Bagi saya, peluang menjadi moderator dalam sesi bersama Mufti amat saya hargai, Ia membuka minda dan sekali gus menekankan kepentingan menjaga adab dan etika walaupun ada perkara hangat untuk kita kemukakan bagi renungan bersama.




TENTANG KEMBALI BURU SARJANA BERSAMA SUAMI



"Saya dan Connor akan jadi rakan sekuliah lagi. Kami akan mengambil kursus Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Sekolah Perniagaan Kenan-Flagler di Universiti North Carolina.

Tak sabar untuk sama-sama memulakan kembara pengajian bersama. Persaingan antara kami akan bermula kini."

- Farisha Ishak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >