Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Penyanyi legenda Neil Diamond mula terima hakikat penyakit Parkinson

Keadaan kesihatan sudah dikesan lebih 10 tahun lalu tetapi diabai hingga perlu henti konsert jelajah pada 2018
Apr 06, 2023 | 05:30 AM



PENDERITAAN menghidap penyakit Parkinson yang dialami penyanyi dan penggubah lagu veteran, Neil Diamond yang dikenali kerana karya malar segarnya Sweet Caroline memang sulit diluah dengan kata-kata.



Meskipun dikesan dengan penyakit saraf tersebut lebih sedekad lalu dan kemudian menghentikan konsert jelajahnya pada 2018 selepas mengumumkan tentang keadaannya, Diamond, 82 tahun, masih belum dapat menerima hakikat dirinya sakit sepenuhnya.



Ini didedahkan dalam satu wawancara penuh emosi dalam program sembang, CBS Sunday Morning baru-baru ini.



"Saya masih cuba menyesuaikan diri saya dengan keadaan saya ini. Saya memang tak suka dengan tangan yang menggeletar.



"Tapi ini tangan pemberian Tuhan. Saya harus memanfaatkannya dan saya akan melakukan apa sahaja dengan tangan ini sebaik mungkin," katanya.



Menurutnya, pada tahun pertama dan kedua dikesan dengan penyakit itu, beliau payah menerimanya dan menolak diagnosis doktor.



"Saya diamkan sahaja. Saya beritahu doktor saya banyak kerja dan akan bertemu dengannya selepas projek saya selesai," kongsi Diamond.



Bagaimanapun pelantun lagu, Song Sung Blue itu memberitahu ramai beliau kini benar-benar menerima suratan takdirnya itu sejak beberapa minggu lalu.



"Saya tidak boleh melawan ketentuan Tuhan. Saya menerimanya. Ini adalah penyakit Parkinson. Tiada rawatan buatnya dan saya tidak boleh mengelak daripada mengalami penyakit ini.



"Anda tak boleh setakat kata, 'Okay, cukup. Kita balik semula kepada kehidupan kita'. Keadaannya tidak seperti itu.



"Namun, saya perlu menerima keterbatasan saya kini dan meneruskan kehidupan dengan tenang dan gembira seadanya," jelasnya lagi.



Sejak beliau mula menerima keadaannya yang sakit itu, beliau akui ketenangan mula menyelinap masuk dalam 'taufan kehidupannya'.



Keadaan pula sepi seperti dalam studio rakaman di mana wawancara itu dibuat.



"Saya dapati saya lebih menyukai diri saya sekarang. Saya lebih tenang berurusan dengan orang. Saya tidak terlalu memberi tekanan pada diri saya sendiri.



"Rentak hidup ini masih diteruskan dan roda hidup terus berputar sehinggalah setelah saya pergi nanti," jelasnya menyentap tangkai hati wartawan penyiar yang mewawancaranya.



Diamond masih meraikan keadaannya yang masih boleh menyanyi dan kemungkinan meneruskan konsert jelajah dalam keterbatasannya.



"Saya hanya perlu menjalani hidup saya hari demi hari, menikmatinya, bersyukur yang saya masih diberikan hayat khususnya perjalanan seni yang menggembirakan dan memberi tuah buat saya," ujarnya.



Penyakit Parkinson adalah keadaan berkaitan saraf yang cepat melanda ramai di merata dunia. Buat masa ini, tiada penawarnya.



Ia menyebabkan kekejangan otot, pergerakan yang perlahan, tangan menggeletar, gangguan tidur, kepenatan yang teramat sangat serta mutu kehidupan yang menurun dan boleh membawa pada kecacatan anggota tubuh.



Ia juga merupakan penyakit saraf progresif yang merosakkan sel dalam sebahagian otak yang mengawal pergerakan.



Penghidap Parkinson dikatakan mempunyai bekalan dopamin yang semakin berkurangan kerana sel saraf yang menghasilkannya mati.



Dopamin adalah sejenis pengutus saraf dan hormon. Ia memainkan peranan penting dalam banyak fungsi tubuh termasuk pergerakan, ingatan dan dorongan yang membangkitkan semangat.



Tahap dopamin yang tinggi atau rendah dikaitkan dengan beberapa penyakit mental dan neurologi.



Tokoh terkenal yang bertarung dengan Parkinson termasuk Michael J. Fox, Muhammad Ali, Billy Connolly, Alan Alda, George H.W. Bush dan Ozzy Osbourne.



Fox dikenal pasti menghidap Parkinson pada usia muda 29 tahun pada 1991 dan menyembunyikan penyakit itu daripada pengetahuan ramai selama tujuh tahun.



Beliau mengangkat prop dengan tangan kirinya yang terjejas dan menggeletar menandakan kesan awal penyakit tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >