Topic followed successfully
Go to BHkuPenyanyi, penari SG ligat berseni sana sini
Penyanyi, penari SG ligat berseni sana sini
Rezeki mencurah sertai pesta antarabangsa, 'gig' dan keramaian di luar negara selepas sempadan dibuka
Penyanyi, penari SG ligat berseni sana sini
Artis setempat dan penggiat seni Singapura kian ligat menjelajah ke negara luar bagi menghiburkan orang ramai seperti dalam tempoh sebelum pandemik Covid-19. Kelab peminat artis Malaysia di Singapura pula sudah gigih merancang untuk menyambung semula kegiatan muhibah buat bintang pujaan mereka datang ke sini. BERITA MINGGU melaporkan.
HATI penyanyi dan penggubah lagu muda Singapura, Afrah Athasha Aman Shah, atau nama pentasnya Zalelo, berdebar-debar menantikan persembahan di Pesta Muzik Sungei Wang di Kuala Lumpur, Jumaat ini.
Ini menyusuli satu acara 'gig' Leypark Bazaar@B5 Johor Street Market (berdepan pusat beli-belah Angsana Mall) yang beliau jayakan atas undangan sahabatnya, Daniel Sky, juga penyanyi hip hop Singapura pada 10 dan 11 Jun lalu.
Bagi Afrah, 23 tahun, yang juga mahasiswi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), tiada yang lebih menggembirakan daripada peluang mengenalkan dirinya kepada pencinta muzik hip hop dan R&B di luar Singapura.
Maklumlah tempoh pandemik Covid-19 dengan pelbagai sekatan persembahan 'live' yang dikenakan demi keselamatan umum menimbulkan keresahan buatnya.
Ketika dihubungi Berita Minggu, Afrah yang merupakan anak penyanyi terkenal 1980-an, Aman Shah, dan juga anggota duo The Queens, Farah Diba Abdul Aziz, berkata:
"Dengan sempadan Singapura-Malaysia dibuka, banyak potensi yang saya boleh teroka dalam bidang seni. Saya tidak sabar menebarkan sayap seni saya ke Malaysia.
"Alhamdulillah selepas kerjasama dengan artis rap yang sangat berbakat, Rudeen, saya dapat peluang berkongsi pentas dengannya dalam acara 'Bla Bla Bla' sempena Pesta Muzik Sungei Wang.
"Bagaikan mimpi apabila diundang buat pesta yang mengenakan bayaran tiket ini. Suatu ketika dahulu, saya hanyalah budak yang menyanyi dalam wadah perkongsian muzik SoundCloud sebelum beralih ke pentas sekolah.
"Sekarang, kaki saya melangkah ke Kuala Lumpur pula. Saya bertuah sebab sesudah memenangi cabaran nyanyian rapper Malaysia, Zamaera, saya berpeluang membina rangkaian kenalan dengan artis Malaysia bahkan akan bekerjasama dengan seorang artis di sana yang masih perlu saya rahsiakan," katanya.
Ditanya mengenai sambutan 'gig' di Johor, beliau berkata penonton acara itu cukup 'menggila' dan memberi sokongan padu walaupun mereka mungkin tidak mengenalinya dan Daniel.
"Mereka gigih nak nyanyi bersama kami. Ada budak kecil, ada mak cik. Lebih menghiburkan sebab pengacara majlis kelakar, Roslan Shah yang mengenalkan diri saya sebagai anak Aman Shah.
"Walau apa pun, saya ingin buktikan kejayaan yang dicapai berkat penat lelah sendiri, bukan menumpang kepopularan ayah saya," katanya.
Daniel, 22 tahun, turut menantikan peluang membuat lebih banyak persembahan di Malaysia selepas lagunya Buang Masa disambut baik pendengar di Malaysia.
"Saya masih tidak dapat melupakan detik membuat persembahan di Leypark Bazaar. Suasananya meriah dan ramai yang menyanyi bersama. Ia merupakan persembahan yang dianggap batu loncatan agar saya lebih kerap membuat persembahan di seberang Tambak,
"Ada beberapa persembahan ditawarkan kepada saya selepas acara ini. Bulan depan, saya akan ke sana lagi. Mudah-mudahan, saya dapat perkenalkan diri dan muzik saya kepada ramai di luar Singapura," katanya.
HIBURKAN PENDUDUK PERTH
Sejak 2016, aktivis seni dan penggiat kumpulan PermaiSuara, Mahani Mahmud, sering diundang ke acara kebudayaan, Hari Ibu dan jualan amal anjuran Persatuan Melayu Australia Barat (Mawa).
Apabila Covid-19 melanda, peluang menghiburkan masyarakat Melayu dan orang Islam di Perth tidak lagi dapat dilaksanakan kerana sekatan kembara.
Namun bulan lalu, Mahani berpeluang membuat persembahan di Bosnian Club bagi acara sambutan Lebaran Christmas Islanders Indian Ocean Club, Let's Get Together Lah.
"Sebenarnya, sebelum ini sudah lima kali saya diundang ke acara Mawa di Australia.
"Kebetulan seorang saudara saya, Encik Hadi Assanteh, adalah Presiden Mawa. Beliau tahu saya dan anak saya berkecimpung dalam bidang seni suara dan muzik tradisional. Maka diundangnya saya ke Perth untuk terus melestarikan budaya Melayu.
"Kebiasaannya, saya akan menyanyikan lagu joget, asli, inang dan zapin. Saya pernah bergabung dengan kumpulan seni daripada Universiti Sains Malaysia (USM) pada November 2017.
"Saya juga pernah menyanyi di Makan2 Cafe di Perth dua kali sempena Hari Ibu. Jadi, seronoklah dapat kembali ke Perth untuk acara Hari Raya yang menyambung silaturahim selepas dua tahun tidak berkumpul berlebaran kerana Covid-19.
"Encik Hadi menyarankan kepada penganjur agar mengundang saya menyanyikan lagu-lagu Hari Raya dan juga sebuah lagu Inggeris buat hiburan hadirin bukan Melayu," jelas Mahani.
Baginya, semangat kemelayuan dalam kalangan masyarakat Melayu di Perth masih lagi menebal dengan hadirin datang berbaju kurung, kebaya, songkok dan kain samping serta masih lagi mengamalkan budaya kunjung-mengunjung sewaktu Hari Raya.
Selain ke Perth, Mahani juga diundang membuat persembahan Lebaran anjuran syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) di Kuala Lumpur.
"Saya berbesar hati diberi peluang membuat persembahan dalam pelbagai acara. Sebelum ini, pernah juga diundang menyanyi bagi acara permukiman korporat di Belitung dan majlis kahwin di Bali.
"Bagi saya, inilah peluang memperkenal lagu langgam dan tradisional Melayu agar tidak hilang ditelan zaman.
"Bangga juga melihat anak Melayu di negara 'Mat Saleh' ini belajar bertutur bahasa Melayu dan menghadam budaya Melayu di sebalik cabaran sekitaran berbahasa Inggeris dan budaya Barat," jelas Mahani.
Menjelaskan tentang bayaran yang diterima hasil undangan ke luar negara, Mahani berkata ia bergantung pada penganjur.
Kadangkala, beliau diberi bayaran tunai atau sagu hati, diberi produk, ditaja penerbangan dan tempat penginapan.
Jika ia merupakan acara amal, beliau tidak diberi wang dan hanya menerima tajaan penerbangan dan hotel.
KEMBALI KE PESTA SENI ANTARABANGSA
Sebelum pandemik, syarikat seni persembahan Sri Warisan Som Said Performing Arts Limited, sering menjelajah ke pelbagai pelosok dunia untuk pesta seni.
Baru-baru ini, delegasi seramai 23 orang termasuk pengarah urusan syarikat tersebut, Adel Dzulkarnaen Ahmad, telah ke Perancis bagi Pesta FestiRoche 2022. Turut serta kumpulan Nobat Kota Singa.
Budayawan Som Said sebagai pengasas Sri Warisan Som Said menyatakan ini adalah permulaan yang baik, selangkah demi selangkah bagi pesta antarabangsa 'live' disambung semula selepas pandemik.
"Ia merupakan perjalanan bersejarah dan bermakna buat duta-duta muda budaya Singapura yang ikut serta dalam kunjungan seni ini.
"Semoga banyak ilmu tentang kehidupan diraih pada pesta antarabangsa ini yang berteraskan mesej keamanan, persahabatan dan kasih sayang dengan seni tari itu dapat menjadi jambatan penghubung," katanya.

